"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jais juga larang bukan Islam guna 25 kalimah

PETALING JAYA, Jan 15: Orang bukan Islam yang menggunakan secara bertulis atau lisan 25 perkataan yang dilarang akan dikenakan tindakan mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Antara perkataan itu adalah,
Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, Kaabah, hadis, rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, Syeikh, Iman dan dakwah.

Bukan Islam juga dilarang menggunakan 10 perbahasan seperti subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, mereka boleh dikenakan tindakan sekiranya terdapat aduan berhubung perkara itu.

Setakat ini di Selangor tiada individu disabitkan di bawah enakmen itu.

“Tetapi kita akan jalankan siasatan lanjut dan kemukakan bukti jika ada menerima aduan mengenai penggunaan perkataan larangan tersebut,” kata beliau dipetik Sinar Harian.

Mohamed Khusrin berkata, gesaan itu dibuat untuk memberi peringatan kepada bukan Islam supaya menghormati agama Islam.

“Kita harap mereka tidak akan guna pakai perkataan-perkataan yang telah disenaraikan itu dalam apa juga keadaan sama ada percakapan atau penulisan dalam mana-mana penerbitan bukan Islam,” katanya.

Katanya, di Pahang terdapat satu (1) kes mengenainya telah dibicarakan dan disabitkan kesalahan.

Enakmen ini juga telah diguna pakai oleh 10 negeri termasuk Selangor dan Pahang dan perkara ini perlu untuk memberi penjelasan kepada bukan Islam agar menghormati dan menjaga keharmonian Islam, kata beliau.

Sepuluh negeri mempunyai peruntukan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam mengikut enakmen itu kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini Timbalan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Abdul Halem Hapiz Salihin pernah berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 31 Dis lalu membenarkan Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam),

Enakmen itu digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan umat Islam.

Kata Abdul Halem, keputusan itu akan meletakkan pemohon iaitu gereja Katolik sebagai pihak yang melakukan kesalahan jenayah mengikut Seksyen 9 enakmen berkenaan.

Ia berikutan tindakannya menggunakan kalimah Allah iaitu yang menjadi satu perkataan bersumberkan Islam yang disenaraikan dalam bahagian I jadual enakmen itu yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam.

“Penghakiman ini juga bertentangan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang menyatakan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci khusus bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam lain.

“Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan jika ada unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


MAIM SENARAI UNGKAPAN DILARANG

Kelmarin, Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menyenaraikan 33 perkataan termasuk kalimah Allah dan 15 ungkapan dalam Islam yang tidak boleh digunakan penganut agama lain dalam penerbitan atau percakapan mereka.

Perkataan tersebut ialah firman Allah, ulama, hadis, ibadah, kaabah, kadi, Ilahi, wahyu, mubaligh, syariat, kiblat, haji, mufti, rasul, dan iman.

Selain itu ialah dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, imam, nabi, sheikh, akhirat, azan, al-Quran, al-Sunnah, hauliak, karamah, shahadah, masjid dan Baitullah.

Setiausaha Maim, Idrus Md. Jani berkata, perkara itu terkandung di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang diwartakan di negeri ini.

Menurutnya, bagi ungkapan pula ialah Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilhamd, Allahu Akbar, insya-Allah, Astaghfirullah Azim, Tabaraka Allah, masya-Allah, Lahaula Walaquata Illabillahil Azim, Assalamualaikum, Wallahi, Wabillahi, Watallahi dan Auzubillah.

-themalaysianinsider-

Tiada ulasan: