"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peguam: Respons SPRM positif, mahu keselamatan Bala dijamin

G. Manimaran dan Adib Zalkapli

PETALING JAYA, Jan 14: Peguam kepada P. Balasubramaniam melihat kesediaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menemui detektif persendirian itu di luar negara — menemui salah satu syaratnya — bagi mendapatkan keterangan berhubung maklumat terbaru kes wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebagai “respons positif.”

Bagaimanapun peguam Americk Sidhu menegaskan, pihaknya mahu SPRM menghubungi terus mereka berhubung penerimaan syarat-syarat yang dikenakan oleh Balasubramaniam untuk diambil keterangan termasuk di luar negara.

“Sudah pasti ia (kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM semalam) kelihatan sebagai satu kenyataan positif tetapi kita perlu menunggu untuk SPRM menghubungi kami terus dengan penerimaan syarat-syarat yang ditetapkan untuk temu bual,” kata Americk kepada The Malaysian Insider.

Salah satu syarat yang dikenakan oleh Balasubramaniam ialah dia hanya bersedia untuk ditemu bual oleh SPRM sama ada di Singapura ataupun London.

Sehubungan itu kata Americk, pihaknya sudah pun menyatakan kesediaan mereka untuk membantu siasatan SPRM dalam apa jua cara dengan syarat keselamatan Balasubramaniam tidak dikompromi.

“Oleh itu kami ingin mendengar (maklum balas) daripada SPRM dalam waktu terdekat,” katanya.

Semalam, Datuk Abu Kassim Mohamed, yang mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak 1 Jan lalu berkata suruhanjaya itu bersedia untuk menemui Balasubramaniam di mana saja walaupun di luar negara untuk mendapatkan keterangannya ekoran pendedahan terbaru mengenai Altantuya menerusi siri rakaman akhir tahun lalu.

Balasubramaniam berada di luar negara sejak lebih setahun lalu selepas membuat akuan bersumpah kedua mengenai kes wanita Mongolia itu yang dibunuh pada 2006. Akuan bersumpah kedua Balasubramaniam menafikan akuan bersumpah pertama yang dibuatnya sehari sebelum itu.

Semalam Abu Kassim menyifatkan Balasubramaniam adalah saksi utama dalam siasatan SPRM.

Bagaimanapun katanya SPRM belum menemui Balasubramaniam lagi setakat ini.

Oleh itu kata beliau, SPRM akan menyediakan segala kemudahan untuk Balasubramaniam membantu siasatan mereka.

Awal bulan lalu Balasubramaniam menerusi peguamnya menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada SPRM ekoran pendedahan rakaman temu bual mengenai kes itu.

Dalam surat emel dihantar kepada SPRM, Balasubramaniam mengenakan enam syarat antaranya temu bual dimaksudkan harus dikendalikan di Singapura ataupun London.

Menjawab emel Balasubramaniam pada 17 Dis lalu, SPRM mahukan permintaan formal bagi membolehkan pihaknya melayan kesediaan penyiasat persendirian itu yang berhasrat untuk memberi keterangan kepada agensi itu berhubung pendedahan rakaman temu ramah terbaru berkaitan kes Mongolia.

SPRM menyatakan pendirian pihaknya dalam surat bertarikh 17 Dis kepada Americk.

Balasubramaniam telah menjawab secara formal kepada SPRM menerusi surat peguam Manjeet Singh Dhillon.

Balasubramaniam menyatakan kesediaannya dalam emel yang dikirim kepada SPRM beberapa hari selepas Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd. Akin diambil keterangan oleh SPRM pada 4 Dis lalu.

Dalam surat tersebut, kata Americk, Balasubramaniam telah melahirkan hasrat untuk sedia bekerjasama dengan SPRM.

Pada 4 Dis lalu, Shamsul Iskandar yang membuat laporan dan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya dengan Datuk Seri Najib Razak kepada SPRM. Balasubramaniam membuat pengakuan itu dalam satu wawancara dengan tiga peguam terkenal di Singapura tahun lalu.

Selepas portal-portal tempatan menyiarkan temu bual itu, beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor.

-themalaysianinsider-

Tiada ulasan: