"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Souvenir Teragung Razaleigh Untuk Kelantan

Mohd Sayuti Omar

MENURUT Tok Empat Umno Kelantan, Mustapa Mohamad tuntutan Kelantan untuk mendapat royalti petroleum (minyak) tidak ada fakta dan berasas. Katanya Pas sengaja menimbulkan isu tersebut untuk dijadikan modal pilihan raya. Sekarang ini tidak timbul apakah ianya untuk dijadikan modal pilihan raya atau sebaliknya. Yang penting kerajaan Kelantan dengan barisan Exco yang hebat-hebat belaka itu berjaya menimbulkan isu baru di Kelantan dan menyebabkan Umno 'belengas' sampai ke punggung.

Ada orang mengatakan isu minyak ini dikendali sepenuhnya oleh Exco bernama Husam Musa. Saya tidak hairan kerana di sinilah kebijaksanaan dan kelebihan Husam sebagai arkitek baru politik Kelantan dalam mencipta isu untuk mengharu birukan Umno dan meletakkan dirinya di rantingteratas dalam sirkuit politik Pas Kelantan!

Dulu Mustapa bersama Muhyiddin Yassin kata Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana pelantar minyak berada nun jauh di luar kawasan Kelantan. Kerana itu Kelantan menghantar rombongan untuk mengukur laut. Entah sampai entah tidak rombongan berkenaan, walahualam, tetapi kerja itu mendatangkan hasil. Umno menjadi kecut perut dengan gertakan rombongan kerajaan Kelantan itu menyebabkan Najib Razak terpaksa membuat pengumuman tidak semena-mena.

Semasa membentang Bajet 2010 di parlimen Najib mengumumkan yang kerajaan Kelantan akan diberikan wang ehsan sebagai menggantikan royalti sebanyak 5 peratus. Dengan pengumuman Najib itu, secara automatik ia menjelaskan bahawa tuntutan kerajaan Kelantan sebelum ini berasas. Bahawa dakwaan Mustapa dan Muhyiddin adalah palsu dan tertolak ke neraka!

Kalau ianya tidak berasas dan tidak berfakta, masakan Najib jadi semurah itu untuk mengumumkan langkah pemberian wang ehsan itu kepada Kelantan! Sejarah telah merakam sudah berpuluh dekad kerajaan BN menzalimi rakyat Kelantan menafikan hak rakyat dengan membelakangkan semangat federalisme. Pengumuman Najib ini menyebabkan Mustapa sebagai Tok Empat Umno Kelantan kalah 1 – 0 dan 'terkinyih-kinyih' macam tupai mabuk gula!

Kini Mustapa sekali lagi nampaknya mencelupkan jari ke dalam air panas dengan mendakwa kerajaan Kelantan tidak ada asas ekoran tuntutan terbaru kerajaan Kelantan. Jumaat lalu Pas telah menghantar rombongan Petroleum yang diikuti sama oleh Ketua Pemuda Pas, Abdul Latiff Abdul Rahman bagi berbincang dengan menyerahkan nota tuntutan kepada Pegawai Eksekutif Petronas, Hassan Marican.Apakah Mustapa telah berfikir panjang dengan dakwaannya itu? Ingin ingatkan Mustapa agar berhati-hati dalam permainan ini. Ingat minyak ini bahan cecair licin tersalah pijak boleh jatuh tergolek! Apakah beliau perlu sekali lagi mendengar kenyataan dan keputusan Najib untuk mengakui bahawa apa yang didakwa kerajaan Kelantan itu benar? Kali ini bukan di sebelah Kelantan kena nyatakan bukti dan fakta sebagai menjawab dakwaan Mustapa itu. Sebaliknya Mustapa sendiri kena dedahkan fakta dan bukti yang dimilikinya. Kalau beliau berani kata fakta Pas tidak berasas dan rekaan, maka beliau kena dedahkan akan kesahihan dan kebenaran fakta yang beliau milik.

Kalau Mustapa juga enggan mendedahkannya ini bermakna fakta Mustapa juga tidak berasas dan rekaan buta semata-mata. Kalau sebelum ini Pas telah mengemukakan bukti dengan mengukur laut, apakah Mustapa juga kena berbuat demikian juga? Rasanya tidak menjadi masalah sebab Jurukur Teguh masih ada dan sedia untuk melakukan kerja ukur laut.

Bagi Pas bukan saja tidak perlu menjawab dakwaan Mustapa itu, tetapi Pas sudah bernasib baik. Kerana pada 29 Januari ini orang yang mengasas Petroleum Nasional (Petronas) Tengku Razaleigh Hamzahsendiri akan bercakap fasal minyak di Kelantan. Beliau akan mendedah dan mengemukakan fakta serta hujah kenapa Kelantan harus diberikan royalti seperti yang layak diterima Terengganu, Sabah dan Sarawak. Pastilah dalam penjelasan itu nanti Tengku Razaleigh akan bercakap benar atau ‘sengoti’ sekaligus menjawab dakwaan Mustapa itu. Rakyat Kelantan akan dapat mengukur kenyataan atau fakta siapa lebih akurat dan genuine apakah yang ada kepada Tengku Razaleigh atau Mustapa Mohamad.Nampaknya isu minyak ini kalau ia dicipta untuk dijadikan isu pilihan raya, Pas berjaya kerana ia telah meletakkan pemimpin Umno Kelantan bertelagah sesama sendiri. Yang jelas Tengku Razaleigh lebih mahu menjadi jagoh membela hak Kelantan daripada parti yang pernah diketuainya itu. Apa yang berlaku kepada Tengku Razaleigh menjelaskan akan ketidakteraturan Umno. Bukankah Tengku Razaleigh Hamzah orang Umno yang sepatutnya bercakap untuk kepentingan Umno?

Saya yakin Tengku Razaleigh akan bercakap perkara benar pada 28 Januari di Dewan Utama Kelantan Trade Centre nanti. Sebagai anak Kelantan beliau akan mendedahkan fakta yang menguntungkan rakyat Kelantan. Tentu tidak tergamak untuk beliau berbohong kepada rakyat Kelantan dalam usia sudah lebih separuh abad. Mungkin Tengku Razaleigh menganggap usaha itu sebagai kebajikan terakhirnya untuk Kelantan.

Lagipun tidak ada gunanya Tengku Razaleigh menjaga kepentingan Umno kerana parti itu tidak pernah menjaga kepentingannya! Malahan sejak Abdullah Badawi jadi PM sehingga ke era Najib kini Tengku Razaleig Hamzah hanya menjadi kulat malam di siang hari sahaja. Tahu kulat malam, ianya cerah waktu malam dan putih waktu siang, cahayanya tidak bermakna dan diperlukan ketika suasana terang benderang!Umno memerlukan Tengku Razaleigh hanya di masa-masa tertentunya. Bila keperluan Umno sudah tidak ada ia ‘kehak’ Tengku Razaleigh macam kucing memuntahkan perut tikus yang ditelannya. Jadi adalah baik bagi Tengku Razaleigh bangkit menjadi jaguh di Kelantan dengan membela anak buahnya untuk mendapat royalti minyak. Biarlah kalau Tengku tidak dapat jadi PM tidak mengapa asalkan rakyat Kelantan mendapat manfaat royalti minyak hasil perjuangan anak raja Kelantan itu. Itu lebih besar.

Saya sendiri yakin suara bekas Menteri Kewangan itu lebih keramat berbanding dengan 12 suara pemimpin kerajaan Pas hari ini termasuk Nik Abdul Aziz sendiri. Makanya Tengku Razaleigh boleh ambil kesempatan untuk meletakkan dirinya di atas ‘par’ sanjungan dan penghormatan rakyat Kelantan terhadap beliau sebagai pemimpin tunggal negeri yang sepatutnya sudah dinobatkan sebagai perdana menteri menerusi isu tuntutan royalti petroleum itu.

Bagi rakyat yang bawahan, yang mana yang akan jadi pemikul balang gas atau pengisi minyak petrol di stesen minyak kalau industri gas dan minyak mendarat di Kelantan, akan menunggu bicara dan tuntutan Tengku Razaleigh Hamzah nanti. Diharap rakyat Kelantan akan datang beramai-ramai memberi semangat kepada Tengku Razaleigh. Saya optimis dalam hal ini suara Tengku Razaleigh masih bernilai dan dihormati. Sekiranya apa yang Tengku Razaleigh perkatakan semuanya fakta, Najib tidak ada pilihan lain untuk memberi royalti minyak kepada Kelantan. Lagipun kalau itu yang Najib laksanakan ia tidak merugikan. Sekiranya pandangan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Abdul Halim Abdul Rahman di dewan satu masa benar, ini bermakna Umno akan berjaya menambah kerusi kalau pun tidak berjaya menawan Kelantan apabila royalti minyak diagihkan.

Kata Ustaz Abdul Halim, kalau Umno beri minyak kepada Kelantan (royalti) mungkin Umno boleh menang dalam pilihan raya. Dan katanya selagi Umno tidak beri minyak (royalti) selama itulah Umno akan kalah! Akhirnya sekiranya Tengku Razaleigh telah memberi sumbangan besar kepada rakyat Kelantan pada ucapan itu nanti, maka rakyat Kelantan hendaklah membalasnya dengan cenderamata yang setimpal dengan apa yang dilakukan itu. [wm.kl. 8:05 pm 12/01/10]

http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan: