"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jais beri Khalid Samad amaran keras

SHAH ALAM, Jan 14: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad agar berhenti daripada mempertikai keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.

Jais turut menolak dakwaan wakil rakyat itu bahawa pihaknya dan Mais sengaja ‘mempolitikkan’ isu berkenaan.

Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor.

“Seharusnya sebagai Ahli Parlimen yang duduk di Shah Alam, beliau sepatutnya berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’ dan sebagai rakyat Selangor beliau perlu hormati dan patuhi titah Sultan.

“Benda ini bukan boleh dipermain-mainkan kerana ia melibatkan soal akidah dan sepatutnya orang Islam hormati keputusan yang sudah dibuat ini,” kata beliau yang menghadiri Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2009 di sini hari ini.

Beliau turut menafikan kenyataan yang mengaitkan Jais dengan Umno.

“Saya tidak faham ada orang tuduh kita (Jais) ini Umno, kita buat kerja berdasarkan undang-undang yang telah dikuatkuasakan di Selangor dan ia bukannya dibuat oleh saya.

“Walaupun ia dibuat oleh kerajaan terdahulu tetapi ia mendapat perkenan daripada Sultan Selangor. Seharusnya beliau atau sesiapa sahaja perlu hormati undang-undang ini.

“Sehubungan itu saya menafikan sekali lagi dengan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen itu dan kita harap selepas ini tidak ada lagi individu, ahli politik atau sesiapa sahaja di negeri ini yang akan mempertikaikan perkara ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Khalid yang menyarankan supaya Jais dan Mais menyertai atau menubuhkan parti politik.

Gesaan itu dibuat susulan daripada kegagalan kedua-dua pihak berkenaan gagal mengawal tindak-tanduk orang ramai yang menyertai demonstrasi isu penggunaan kalimah Allah di Masjid Negeri Shah Alam Jumaat lalu.

Mohamed Khusrin berkata, keputusan berkaitan kalimah Allah adalah titah Sultan Selangor dan rakyat negeri itu perlu menghormati serta mematuhi keputusan itu.

Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan mana-mana orang yang bertindak melanggar, mengingkari atau menghina kuasa yang sah atau mempertikaikan arahan atau melanggar keputusan Mais atau mufti adalah satu kesalahan.

“Isu ini adalah soal akidah bukannya soal politik yang didakwa oleh pihak terbabit.

“Ia bukan keputusan politik tetapi keputusan Mais kerana ia melibatkan kepentingan orang Islam di negara ini.

“Keputusan itu juga dibuat berdasarkan kajian serta penyelidikan yang kita buat dan mesyuarat yang kita buat sebelum ini sebulat suara melarang penggunaan kalimah Allah pada majalah tersebut,” katanya.
-themalaysianinsider-

Tiada ulasan: