"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah Rayuan belum putus MB Perak yang sah

Harakahdaily
IPOH, 14 Jan:
Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menafikan Mahkamah Rayuan telah mengumumkan siapa Menteri Besar (MB) Perak yang sah.

Setiausahanya, Drs Khalil Idham Lim berkata, walaupun pendengaran kes di hadapan lima hakim pada 5 November 2009 telah pun lengkap dan habis bagi peguam di pihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kini Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan.

“Oleh itu, isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Merujuk kepada isu yang disebarkan melalui sms mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada Menteri Besar (MB) Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan media seperti di bawah:

Saya menafikan bahawa pihak Mahkamah Rayuan telah mengumumkan bahawa siapakah MB Perak yang sah.

Namun begitu, pendengaran kes di hadapan lima hakim pada 5hb November, 2009 telah pun lengkap dan habis bagi peguam di pihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan saya mengesahkan bahawa Nizar masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan. Oleh itu, isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit.

Namun begitu, Pakatan Rakyat Perak mengambil sikap dan suka menghebahkan kepada umum di mana kami berpendirian bahawa besar kemungkinan keputusan adalah memihak kepada Nizar sebagai MB Perak yang sah, sehingga telah melebihi dua bulan masih tidak diumumkan oleh hakim Mahkamah Rayuan. Satu tempoh yang begitu lama dan tidak munasabah yang diambil oleh hakim bagi menentukan siapakah MB yang sah menguatkan lagi jangkaan itu.

Selain itu, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Zambry, kenapakah ianya tidak diumumkan dan mengambil masa yang begitu lama untuk disahkan. Satu persoalan yang pada pandangan kami menyebabkan wajar timbul isu dan cakap-cakap yang mengatakan keputusan memihak kepada Nizar.

Kerana itu, saya menyeru kepada seluruh penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat di Perak supaya terus mempertingkatkan usaha untuk menyusun seluruh kekuatan melalui semua jentera di semua parti PAS, DAP dan PKR serta pada gabungan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Dun Perak.

Segala langkah yang perlu bagi memastikan semua calon Pakatan Rakyat yang bertanding menang adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Seterusnya merealisasikan hasrat parti dan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat kembali memegang tampuk pemerintahan di Negeri Perak yang kita cintai.

Tiada ulasan: