"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

The Herald Mahu Rujuk Ulama Islam

SHARIFAH AZMAWATI SYED ABDUL AZIZ
Ketua pengarang warta Katolik, The Herald Weekly, Reverand Lawrence Andrew meminta kerajaan membenarkan dialog antara ulama Islam dan ketua-ketua paderi diadakan bagi merungkai kebuntuan isu kalimah Allah.

Beliau berkata perbincangan melalui sesi dialog ini perlu diadakan dengan segera bagi memastikan rakyat tidak keliru dengan maksud sebenar Allah.

“Saya menyambut baik saranan untuk mengadakan dialog walaubagaimana pun kita mempunyai sedikit masalah apabila ianya tidak disokong oleh kerajaan.

“Berdasarkan pengalaman yang lepas, kita juga pernah menerima penolakan untuk sesi dialog itu semasa di bawah pimpinan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Bangi, jadi kami harap semua ulama akan datang pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata banyak isu Islam-Kristian yang perlu diperbincangkan dan bukan sekadar menjurus kepada polemik kalimah Allah semata-mata.

“Banyak isu yang memberi kesan kepada kita dan tiada satu isu yang memberi kesan hanya kepada satu agama sebaliknya ianya memberi kesan kepada kita semua kerana dalam dunia ini hanya ada satu Tuhan dan Tuhan kamu adalah sama dengan Tuhan kami, mereka tidak boleh kata kita adalah berlainan,” katanya.

Beliau berkata penggunaan nama Allah merupakan satu perkara yang tidak seharusnya menjadi isu ekoran nama Allah sudah lama dinyatakan di dalam kitab Al-Quran mahupun kitab Bible.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan media tidak mensensasikan dan mengelirukan cerita sehingga membangkitkan ketegangan di kalangan rakyat.

“Sungguh menyedihkan, ini adalah kerana isu ini dipolitikkan, bahkan sesetengah orang Muslim mengatakan ianya adalah diterima dengan terbuka dan sebahagian daripadanya menolak, sebagai contoh di negara luar dan negara Islam lain, bagi mereka ini tidak menjadikan masalah.

“Tapi mengapa di Malaysia ianya adalah sangat unik jadi sebab itu saya tidak faham. Jadi, dari kesan sosial, mereka telah cuba menimbulkan soal musuh dan ini adalah tidak adil,” katanya.
-tvselangor-

Tiada ulasan: