"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa DAP, tidak Umno?

Subky Latif
KETIKA saya pulang dari Langkawi semasa Dr. Mahathir baru menjadi Menteri Pelajaran pertengahan tahun 70an, saya bertemu di Alor Setar seseorang dari tanah seberang yang mengaku menjadi panasihat agama kepada Menteri Pelajaran itu.

Hari ini 13 Januari 2010 saya hendak ke Langkawi lagi. Sehari sebelumnya saya ketemu lagi orang seberang yang sama di Kuala Lumpur pula.

Pertemuan sekitar 35 tahun dulu dia bercakap tentang keyakinan tingginya Dr. Mahathir akan menjadi seorang pemimpin yang tinggi cita-citanya tentang Islam dan boleh melaksanakan cita-cita Islam sepenuhnya bagi menjadikan Malaysia sebuah masyarakat Islam sebagaimana yang dikehendaki Islam.

Dr. Mahathir yang disebutnya itu adalah Dr. Mahathir yang menjadi Menteri Pelajaran masa itu.

Pada pertemuan yang terbaru itu pula dia membayangkan rasa hampanya kepada Umno, bukan sekadar tidak berupaya meletakkan Islam di kedudukan sepatutnya yang diharapkannya sekitar 35 tahun lalu, peluang dan ruang dakwahnya sendiri pun banyak yang tersekat.

Tetapi dia memberi harapan yang menggunung tinggi pula kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin, kebetulan Menteri Pelajaran sekarang. Padanya Timbalan Presiden Umno ini lain dari pemimpin-pemimpin Umno yang lain dulu dan sekarang.

Tinggi harapannya Muhyiddin Yassin boleh dan akan mahu menegakkan syariat Islam. Harapannya itu kira-kira saya sama dengan yang diharapkannya kepada Dr. Mahathir dulu.

Kami tidak bercakap tentang Dr. Mahathir pada kesempatan itu. Tetapi bila dia menyebut harapannya kepada Muhyidin itu, seolah-olah Dr. Mahathir tidak memenuhi apa yang diharapkannya. Jika Dr. Mahathir telah memenuhi sangkaannya tentulah dia tidak menyebut harapannya tentang Muhyiddin pula.

Dalam kehampaannya kepada Umno itu, dia tetap mendekatkan dirinya kepada Umno hingga hari ini.

Disebutkannya keinginan dan kemungkinan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi ada kebimbangannya kalau dia dekat dan bersama PAS, tersekat peluangnya untuk berdakwah.

Dakwah itu saya rasakan ialah memberi ceramah agama kepada orang Umno dan mengisi program Umno dalam soal agama Islam, termasuklah memberi kuliah di surau dan masjid.

Kalau kegiatan itu memenuhi dakwah dan perjuangan, pendakwah boleh meneruskan hidup yang seadanya di dunia ini.

Persepsi saya tentangnya, dia tidak berbangga dengan penampilan Umno dalam Islam, tetapi hendak terus bersama Umno dengan harapan akan berubah dan menjadi tenaga yang dapat membangunkan Islam.

Apabila seseorang itu dekat dengan Umno dan ada sedikit sebanyak faedah dari Umno, maka biasanya jauhlah dia dari PAS.

Walau pun yang tidak digemarinya tentang PAS, tetapi tidak pula diletakkannya PAS sama tidak berguna dengan Umno. Mahu dia menyertai kegiatan PAS kalau kena syaratnya.

Saya tidak mahu menyungkil suasana mana memungkinkannya akan bersama PAS.

Apa pun seperti terkilan dia kerana PAS tidak sedia berkawan dengan Umno tetapi memilih pula untuk berkawan dengan DAP.

Mengapa PAS tidak mahu berunding sulit dengan Umno supaya dapat ditegakkan sebuah masyarakat Islam yang syumul di Malaysia. Jangan berunding di Malaysia. Berunding di luar negeri kalau boleh di Mekah. Buat perjanjian dengan Umno untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam.

Ajak Umno bersumpah.

Kalau sesudah PAS jumpa Umno dan ternyata Umno tidak mahu, maka tidak mahu lagi dia tinggal di Malaysia. Mungkin tiada tempat lain dia hendak dan boleh pergi melainkan balik ke tanah seberang yang sudah ditinggalkannya lebih 40 tahun.

Kata saya, tak payah ke Mekah atau ke mana-mana untuk berjumpa. Sekadar hendak berjumpa, boleh jumpa dalam negeri dan di Kuala Lumpur saja. Tak perlu tunggu Umno menyatakan lagi ia tidak sedia menjalankan apa yang PAS cita-citakan untuk meninggalkan Malaysia.

Kalau itu syaratnya tidak mahu mendekati Umno lagi dan tidak mahu tinggal lagi di Malaysia, sepatutnya dia sudah lama pergi kerana Umno tidak akan buat apa yang diharapkannya. Tak perlu cakap untuk meninggalkan Malaysia. Boleh terus tinggal di Malaysia tanpa mengharapkan Umno berubah sikap.

Pada saya Umno tidak akan kata ia tak mahu laksanakan Islam. Ia akan kata, ia pun mahu Islam dan mahu laksana apa yang PAS mahu malah apa yang Tuhan mahu. Kalau PAS minta dia laksana Islam, ia akan sanggup tetapi sekadar sanggup saja.

Ditanyanya apakah DAP akan terima negara Islam? Padanya mustahil DAP dapat memenuhi cita-cita PAS. Maka mengapa PAS lebih suka kepada DAP dari Umno sedang Umno itu adalah orang Islam?

PAS tahu apa yang ada DAP dan PAS pun tahu siapa Umno.

DAP tak tahu Islam dan kerana itu ia tidak bercakap tentang Islam. Umno tahu Islam tetapi dia tidak buat Islam seperti yang orang seberang itu hajat. Tetapi DAP mahu berkawan dengan PAS dan tidak suruh PAS jadi Umno, tetapi Umno suruh PAS jadi Umno dan PAS tutup kedai.

Berkawan dengan DAP, boleh sampaikan dakwah. Nak dakwah apa pada Umno kerana dia kata dia pun tahu dakwah sebaliknya ia tentang dakwah PAS.

Saya teringat zaman Rasulullah SAW. Musyirikin adalah penentang utamanya dan tidak menganut agama tauhid. Di samping itu adalah ahlil kitab yang menganut agama tauhid. Akhirnya yang menerima dakwah Rasulullah ia musyrikin tadi. Ahlil kitab yang tahu Allah, tahu tauhid dan tahu nabi akhir zaman adalah Nabi Muhammad SAW, terus tolak baginda dan dakwahnya.

PAS bertemu hal yang sama. Ia bersama DAP yang musyrikin dan Umno yang tahu agama tauhid. DAP yang musyrikin mahu berkawan dengan PAS. Umno yang Islam mahu menumbang kerajaan PAS. DAP belum terima perjuangan PAS tetapi ia berkawan dengan PAS. Umno mahu telan PAS.

Siapa kata mustahil musyrikin DAP terima Islam? Ia mungkin terima dan mungkin tidak. Kalau musyrikin Mekah terima Islam, tidak mustahil musyrikin yang berkawan dengan PAS jadi seperti musyrikin Mekah dulu. Tetapi ahlil Kitab dari dulu tidak berubah.

Orang seberang tadi pun tak berubah juga.

Tiada ulasan: