"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kartun Zunar ancam keperkasaan Umno-BN dan Najib Tun Razak

Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak bukan sahaja bimbang malah terpaksa bertindak tegas terhadap penerbitan kartun-kartun karya kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharam dan merampas buku kartun '1Funny Malaysia', 'Perak Darul Kartun' dan 'Isu Dalam Kartun'.

Syarikat Penerbitan Kinibooks yang juga anak syarikat Malaysiakini yang menerbitkan buku berkenaan berhadapan dengan ancaman hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini Zunar juga dilaporkan pernah memohon untuk mendapatkan permit penerbitan Gedung Kartun, tetapi ditolak oleh KDN. Ustaz Idris berkata, pemimpin Umno-BN yang menguasai kerajaan tidak dapat menerima secara terbuka kritikan, sindiran dan satira yang dikemukakan dalam edisi kartun-kartun ini.

"Mereka terdesak untuk menafikan pandangan rakyat terhadap kezaliman, penyelewengan dan keangkuhan mereka. PAS menyokong usaha Zunar dan Malaysiakini dalam memberikan gambaran alternatif kepada rakyat tentang Kerajaan yang selalunya digambarnya dengan imej positif sahaja melalui rangkaian media mereka," tegas.

Tegasnya, rakyat perlu tahu apa yang kerajaan sembunyikan dari mereka dan Zunar yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan diakui ramai pihak sebagai kartunis yang mempunyai daya kreativiti satira yang luar biasa dan mampu mengoyahkan kedudukan dan imej Najib.

Kes kapal selam, dasar-dasar Najib, pergaduhan pemimpin Umno-BN, kezaliman mereka, rasuah dan sebagainya adalah antara perkara yang tidak mampu dijelaskan oleh Najib tetapi mudah diterjemahkan dalam
bentuk kartun oleh Zunar, ujarnya.

Zunar juga kata Ustaz Idris, antara pengkartun yang berjaya menelanjangkan kebobrokan Mahathir dan Pak Lah serta Menteri-menteri mereka seperti Rafidah, Samy Vellu dan sebagainya sebelum ini dalam bentuk kartun.

"PAS melihat tindakan KDN ini membuktikan Najib, dan pemimpin Umno-BN cukup terasa dengan penangan kartun Zunar dan kawan-kawannya. Ruangan kartun Senyum Kambing dalam Utusan serta kartun-kartun lain diakhbar milik Umno-BN pun tak mampu menyaingi apa yang dihasilkan
oleh Zunar," tegas beliau.

Tiada ulasan: