"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zulkifli Sulong: 'Ini Perkara Malang'

Zulkifli Sulong, Pengarah Harakah, lidah rasmi PAS menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung permit akhbar Suara Keadilan sebagai suatu tindakan yang berlebih-lebihan.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau mengesyaki tindakan keras ini didalangi pihak tertentu yang takut dengan laporan lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR)..

Zulkifli menyatakan laporan muka depan Suara Keadilan berkaitan kepincangan Felda tidak ada kena mengena, apatah lagi mengugat keselamatan negara.

Beliau juga menganggap sempadan kuasa KDN terlalu luas dan mudah diperkuda pihak tertentu.

“Mungkin yang didakwa salah pada Suara Keadilan adalah kerana terbitkan cerita Felda Bankrap. Ia tidak ada kaitan dengan keselamatan negara. Ini isu undang-undang.

"Tapi, (tindakan) menggantung permit sudah terlalu lebih. Buat orang tertanya-tanya kenapa sampai gantung permit?” katanya.

Selepas memberi surat tunjuk sebab yang dijawab dan dipatuhi pengurusan Suara Keadilan, KDN masih tidak berpuas hati dan kemudian memutuskan untuk menggantung permit Suara Keadilan.

KDN menjadikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sebagai alasan untuk menghalalkan penggantungan akhbar ini.

Zulkifli berpendapat penggantungan ini menjadikan kebebasan maklumat di negara ini kian terkebelakang ketika semua negara berlumba- lumba menuju kea rah dunia tanpa sempadan.

“Ini satu perkara malang. Ketika dunia ke arah tanpa sempadan, kerajaan sekat satu akhbar mingguan. Padahal tidak boleh sekat sebab ada laman web. Sepatutnya kerajaan lawanlah secara gentleman,” katanya.

Zulkifli berpendapat, biarlah mahkamah yang membuat keputusan terhadap laporan Suara Keadilan dan bukannya dilakukan mana-mana kementerian termasuk KDN.

“Kalau betul-betul salah, saman di mahkamah. Dan hujahlah. Kalau salah mahkamah akan jatuhkan hukuman. Bayar denda. Fair (Adil). Masalahnya sekarang, kerajaan buat keputusan sendiri - gantung permit,” katanya.

Bagi Zulkifli, tindakan ini hanya memperlihat ketakutan kerajaan kepada Suara Keadilan.

“Suara Keadilan ditakuti kerajaan. Terpaksa tutup. Kalau tidak takut, dia (kerajaan) boleh lawan. PKR hanya ada satu saja. Kerajaan ada tv, radio, akhbar. Tapi sebab mereka tidak berani lawan, jadi dia tutuplah,” katanya.

Tiada ulasan: