"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jadi penceramah buruan selepas digelar ulama muda Umno

Zulkifli Sulong
KUALA LUMPUR, 30 Jun:
Baru minggu lepas, Ustaz Mohd Hosni Mubarak bin Abdul Hamid, 27 tahun, digelar salah seorang dari 40 ulama muda yang menyertai Umno.

Kini, Mohd Hosni
(gambar) adalah antara penceramah yang top di dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Hampir setiap malam beliau mendapat undangan untuk memberikan ceramah di seluruh negara.

Malam tadi beliau bersama dengan Haji Mohamd Sabu berceramah... dan malam ini beliau akan ke Klang pula. Esok dan lusa beliau akan ke Johor dan Melaka untuk memberikan ceramah.

Semuanya kerana gelaran ulama muda yang diberikan oleh Umno kepada beliau dan 39 yang lain.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Mohd Hosni ketika datang berkunjung ke pejabat Harakahdaily.

Mohd Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albyt, Jordan adalah antara mereka yang bersama dalam majlis menyerahkan borang menyertai Umno oleh 40 ulama muda kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Ke empat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada salah seorang rakan mereka kononnya Perdana Menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

"Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan Perdana Menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Intergrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan di bawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan di bawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya berdasarkan pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni lagi. Namun tidak lama kemudian, kesemua mereka disuruh berbaris kerana PM sudah mahu sampai.

Lalu mereka berbaris menyambut ketibaan PM dengan dihujani oleh lampu flash juru gambar yang memenuhi majlis itu.

Selepas itu, Datuk Seri Shahidan menyerahkan satu sampul surat kepada PM dan memberitahu itu adalah borang-borang permohonan menyertai Umno dari 40 ulama muda yang ada dalam majlis itu.

Najib tanpa bercakap apa-apa terus meninggalkan majlis selepas itu dan Shahidanlah yang mengendalikan sidang akhbar selepas itu.

Mulai dari situ, barulah Mohd Hosni dan tiga rakannya lagi sedar bahawa mereka telah tersalah tempat dan terpedaya kerana bukanlah hajat mereka mahu menyertai Umno.

Namun, kesan dari situ, Mohd Hosni kini menjadi buruan majlis-majlis ceramah Pakatan Rakyat khasnya majlis ceramah PAS.

Nama beliau dan isu ulama muda menyertai Umno menjadi pelaris kepada majlis ceramah PAS kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di majlis itu.

Isu Wahabi

Bagi rakan kepada Mohd Hosni yang turut ke pejabat Harakahdaily, Mohd Khairul Hafis Salihin, 27 tahun,
(gambar) beliau seakan bersetuju dengan satu analisis yang dibuat oleh satu laman web berkaitan motif sebenar mereka yang menyertai Umno ini.

"Bagi saya mereka hendak menyertai Umno tidak salah walaupun saya nampak ia ada kepentingan sendiri tetapi memperdaya dan menyalahgunakan orang satu yang tidak baik," kata Mohd Khairul.

Bagi beliau, teori golongan Wahabi di negara ini mahu menyertai Umno untuk mengelakkan tekanan ke atas mereka ada kebenarannya.

"Saya kenal Fathul Bari, anak kepada Ustaz Mat Jahaya ini pada tahun 2002 lagi ketika saya menyertai satu kursus bahasa Arab di Bagan Lalang yang dianjurkan oleh kerajaan Arab Saudi dengan kerjasama pelajar dari Madinah ini. Fathul ini salah seorang pengajarnya kerana ketika itu dia sedang pulang bercuti," kata Mohd Khairul.

Menurut Khairul, dia datang lambat untuk mendaftar kursus itu dan ketika itu peserta dan jurulatih sedang sembahyang subuh berjamaah.

Oleh kerana lewat, beliau hanya mengikut mereka sembahyang separuh sahaja dan menyambung dengan rakaat kedua dan membaca qunut.

"Selepas sembahyang, Fathul Bari ini telah 'tashkil' (syarah) saya hampir setengah jam soal baca qunut ini bidaah," cerita Mohd Khairul.

Sejak itulah beliau kenal Fathul sebagai pembawa ajaran Wahabi ke negara ini. Antara cirinya adalah, kumpulan ini berpendapat, bacaan doa qunut dalam solat subuh, talqin dan tahlil itu bidaah dan salah.

Isu ini hanya soal cabang sahaja di dalam Islam tetapi kebanyakan jabatan agama (kecuali Perlis) menganggap ia boleh memecahkan umat Islam dan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

"Sebab itu saya tidak terkejut beliau ditahan oleh jabatan agama di Negeri Sembilan dan tidak dibenarkan mengajar di Selangor kerana isu ini," kata beliau.

Jadi, beliau mengesyaki, agenda mereka menyertai Umno adalah untuk mengelakkan tindakan di ambil ke atas mereka atau sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan jabatan-jabatan agama kepada mereka.

Tiada ulasan: