"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh warga Indonesia tiga anggota polis diperintahkan membela diri

SHAH ALAM: Bapa kepada Syafiah Humaira Sahari, kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati dibunuh teman lelaki ibunya Februari lalu, Sahari Usul, dan dua rakan sekerjanya diperintahkan membela diri di akhir kes pendakwaan, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Badariah Sahamid memerintahkan Sahari yang berpangkat Konstabel, rakan sekerjanya, Korporal Ailias Yahaya dan Konstabel Saiful Azlan Shah Abdullah, membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Sahari yang sebelum ini bertugas di Balai Polis Subang Jaya, manakala Ailias dan Saiful Azlan Shah bertugas di Balai Polis Sungai Plong, didakwa mengikut Seksyen 302 yang dibaca bersama dengan Seksyen 34, Kanun Keseksaan, membunuh pekerja bengkel, Yusrizal Yusuf, seorang warga Indonesia, di Ladang Caledonia KM 22, Jalan Kuala Lumpur – Kuala Selangor, Batu Arang, Gombak, antara jam 10 hingga jam 11.30 malam pada 13 Januari 2006.
Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Menurut keterangan saksi sebelum ini, mangsa pernah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita, Zainun Talib, antara Mei dan Jun 2005 dan hubungan sulit itu diketahui suami wanita berkenaan, Alias Mohamad Isa.

Alias yang juga Saksi Pendakwaan ke-20 (SP20) kes berkenaan, ketika dalam keterangannya memberitahu mahkamah beliau mengetahui mengenai hubungan sulit itu daripada seorang lelaki Abdul Aziz bin Osman (SP17).

SP20 sebelum ini memberi keterangan bahawa mangsa pernah menghubunginya dan mengugut untuk melarikan isterinya melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS), menyebabkannya membuat laporan polis mengenai ugutan itu di Balai Polis Kuang.
Beliau juga menjelaskan pada 11 Januari 2006, beliau nampak mangsa berkeliaran di kawasan tempat tinggal beliau dan isterinya.

Pada 13 Januari 2006, ketika Alias ke pejabatnya di Sungai Buloh beliau memberi keterangan ada menerima panggilan telefon daripada Sahari, supaya mengambil laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kuang.

Saksi itu kemudian memberitahu mahkamah, beliau ada ke Balai Polis Sungai Plong untuk serahan salinan report kepada Sahari.

Ketika di balai polis berkenaan, Alias memberitahu mahkamah, beliau nampak mangsa berada di situ bersama-sama tiga orang lain termasuk Sahari, sebelum beliau memarahi mangsa.

Alias turut memberitahu mahkamah beliau ada membuat laporan polis membabitkan ugutan oleh mangsa dua minggi sebelum kejadian yang mengatakan kalau abang pukul saya, pukul sampai mati, kalau saya tak mati saya akan bunuh semua anak beranak abang dan 7 keturunan”.

Mahkamah juga diberitahu, Alias dan dan isterinya pulang ke rumah dan masuk tidur pada jam 10 malam hari yang sama.

Bagaimanapun, pada jam 11 malam, Alias menerima panggilan telefon daripada seorang bernama Sulaiman Mohamad (SP33) dan meminta Alias membawa kad sim telefon yang di ambil dari telefon mangsa sebelum itu sebelum berjumpa dengan Ailias, Sulaiman dan Saiful Azlan Shah.

Ketika menyerahkan kad sim itu kepada Ailias, tertuduh kedua menunjukkan tiga kelongsong peluru dan berkata "Dah padamlah".

Mahkamah juga mendengar keterangan Sulaiman bahawa pada 13 Januari 2006 pada malam kejadian, beliau nampak Saiful Azlan Shah melepaskan tiga tembakan di kepala mangsa yang ketika itu sedang melutut dengan tangan digari di belakang.

Pendakwaan dijalankan Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd Azari Harun dan dibantu timbalan pendakwa raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala pembelaan diwakili peguam Kuldeep Kumar, M Athimulan dan Ravi Shankar Ghandi.

Tiada ulasan: