"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang peniaga diberkas disyaki sewakan pistol kepada perompak

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga berusia 39 tahun diberkas selepas disyaki menjadi pembekal senjata api buatan sendiri dan dua peluru penabur kepada dua pelajar institusi kemahiran yang merompak sebuah kedai serbaneka di Kemaman, kelmarin.

Lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Jalan Jakar, Chukai, kira-kira jam 2 petang kelmarin, selepas dua suspek kes samun yang juga pelajar berkenaan diberkas di rumah masing-masing di Taman Perwaja secara berasingan kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata penahanan terakhir itu menjadikan tiga individu berusia 20 hingga 39 tahun kini ditahan bagi membantu polis menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, mereka akan direman seminggu bermula tengah hari semalam sehingga Isnin ini.

“Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan serta menggunakan senjata.

“Selain itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti lebih berat) 1971 kerana memiliki pistol buatan sendiri dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam.

Harian Metro semalam melaporkan, dua lelaki ditahan membabitkan rampasan pisau dan pistol selain wang sejurus satu rompakan di sebuah kedai serbaneka dekat Kemaman kira-kira jam 6 pagi kelmarin.

Penahanan itu menjadikan ia antara kes terpantas diselesaikan polis Terengganu dan Shukri ketika dihubungi memberitahu akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkara berkenaan.

Dalam sidang akhbar sama, Shukri berkata, penahanan itu hasil kerjasama orang awam menyebabkan polis menjalankan tindakan segera sebaik menerima gambaran serta identiti suspek.

“Selepas menerima laporan seorang pekerja kedai berkenaan yang memberitahu penjenayah bertopeng dan memakai topi keledar melarikan diri menggunakan sebuah Perodua MyVi bernombor pendaftaran TAW 9794, semakan kenderaan terbabit terus dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan: