"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Arab hanya dapat demokrasi

Subky Latif
RAKYAT Tunisia serentak melancarkan revolusi secara tiba-tiba bagi mendapatkan demokrasi. Revolusi itu berjaya apabila mereka dapat menumbangkan presiden diktatornya, Zine al Abidene Ben Ali.

Atas kejayaan revolusi di Tunisia itu rakyat Mesir pula melancarkan dengan tiba-tiba juga revolusi menggulingkan regim diktator Hosni Mubarak yang bermaharajalela selama 30 tahun itu. Ia juga berjaya.

Maka ia diikuti oleh Yaman, Libya, Baharain. Maghribi dan Jordan juga ada keinginan yang sama.

Rakyat Tunisia dan Mesir tidak tahu apa yang mereka buat itu satu revolusi. Yang mereka tahu ialah mahukan demokrasi. Sesudah mereka berada di medan Dataran Tahrir, sesudah dapat bertahan beberapa hari, maka baru mereka tahu dari orang-orang yang memerhatikannya bahawa itulah satu revolusi. Merekapun mengaku yang mereka buat itu adalah revolusi.

Mereka sanggup mati bagi mendapatkan demokrasi. Dan memang ramai yang mati. Di Libya, Yaman dan Baharin yang belum berjaya ketika rencana ini ditulis, sudah ramai yang mati dan cedera untuk mendapatkan demokrasi itu.

Dan dipercayai umat Arab yang memulakan satu bentuk revolusi yang baru itu akan beroleh apa yang mereka mahu iaitu demokrasi. Seseorang atau sesuatu kaum itu akan dapat apa yang dia niat.

Mereka mahu demokrasi. Mereka menuntut dan memperjuangkan demokrasi. Mereka sanggup mati dan ada yang mati kerana hendakkan demokrasi, maka mereka mulai dapat jalan menuju demokrasi itu.

Alangkah indahnya kalau revolusi itu dilancarkan bagi mendapatkan Islam. Mereka akan dapat Islam. Tenaga dan pengorbanan yang dicurahkan bagi mendapatkan demokrasi dan Islam adalah sama. Niat yang menentukan apa yang mereka dapat.

Setakat ini hanya rangkaian Ikhwanul Muslimun di semua wilayah yang mencampuri revolusi itu berniat untuk menuntut kedaulatan Islam melalui wadah demokrasi.

Demokrasi adalah baik dan mulia dibandingkan dengan pemerintahan zalim, tetapi demokrasi itu kedua baiknya selepas Islam. Islam menjamin demokrasi tetapi demokrasi tidak menjamin Islam. Kalau revolusi rakyat di bumi Arab itu bertujuan untuk mendaulatkan Islam, mereka akan dapat Islam dan dapat demokrasi. Apabila matlamat revolusi untuk demokrasi, mereka akan dapat demokrasi saja.

Semasa hijrah Rasul SAW, ada yang menyertai hijrah itu tujuannya untuk mendapat wanita kekasihnya. Dia juga Islam tetapi hijrahnya bukan kerana Islam. Matlamat hijrah Rasul itu berjaya menegakkan Islam, tetapi yang berhijrah kerana wanita tadi dapat wanita saja, dia tidak dapat pahala hijrah Islam.

Tanah Arab adalah tapak bermulanya Islam dan ia menjadi sarang Islam. Tetapi Islamnya sudah pudar dan ia perlu didaulatkan semula. Umat Islam Arab bangga menjadi orang Islam tetapi tidak ramai yang berbangga dengan kesyumulan Islam.

Rata-rata umat Arab selepas kegagalan revolusi tahun 1950 mengubah matlamat, menggantikan revolusi yang gagal itu dengan revolusi menegakkan demokrasi. Revolusi yang baru ini tidak dapat disekat.

Seluruh umat Islam yang tertindas bangun untuk mendapatkan demokrasi, dan harapan menegakkan demokrasi itu cerah dan berada di ambang kejayaan.

Tetapi mereka belum tentu dapat Islam kerana Islam itu tidak termasuk dalam matlamat revolusi itu. Umat Arab berjaya menumbangkan diktator Ben Ali, diktator Mubarak dan Ghadafi. Mereka juga boleh membenamkan Ali Abdullah Saleh dan lain-lain. Tetapi mereka belum dapat Islam.

Islam tidak tertegak sendiri tetapi ia mesti diperjuangkan sama seperti mereka memperjuangkan demokrasi. Umat Arab baru dapat menumbangkan regim yang zalim, tetapi perjuangan umat Islam belum selesai.

Ia memerlukan satu tahap perjuangan lagi dan ia mungkin sama susahnya dengan menumbangkan regim-regim yang zalim sekarang. Kalau umat Arab mengambil masa 60 tahun unuk menggantikan kezaliman revolusi yang ditegakkan tahun 1950 itu, ia juga mungkin memerlu masa yang panjang juga bagi mendapatkan Islam.

Tetapi kelau keadilan demokrasi itu dapat ditegakkan, maka demokrasi yang sewajarnya menghormati pandangan majoriti dan mengambil kira pandangan minoriti, maka ia boleh memberi laluan kepada Islam. Demokrasi itu jangan jadi seperti janji demokrasi Amerika. Apabila rakyat Algeria membuat keputusan melalui demokrasi bagi menegakkan Islam, lalu ia dikhianati.

Revolusi tentera yang dipimpin oleh Gamal Abdul Nasser telah mengkhianati gerakan menegakkan Islam. Ia berakhir dengan kegagalan hingga rakyat memulakan revolusi baru 2011. Jika revolusi rakyat 2011 ini mengikut jejak revolusi tentera 1951 juga, maka Islam memerlukan gerakan perubahan lagi kerana yang tercapai sekarang ialah manis demokrasi, dan ia tidak menjanjikan keindahan Islam.

Tiada ulasan: