"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasat Kes Teoh : PM Didakwa Hanya 'Menanam Tebu Ditepi Bibir'


SHAH ALAM, 5 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dilabel ibarat sekadar 'menanam tebu di tepi bibir' sahaja apabila dilihat masih tidak mampu menunaikan janji yang telah diberi kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sewaktu mengadakan pertemuan kali pertama dengan keluarga itu.

Adik Mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan berkata, jika Perdana Menteri ikhlas mahu membantu menyiasat kes ini, beliau sepatutnya memenuhi segala permintaan yang dibuat keluarga mendiang supaya dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin.

"Ini keikhlasannya tidak dibukti dengan perjalanan inkues sepanjang setahun lebih, sekarang Suruhanjaya Diraja menolak semua permintaan kami hanya kerana mereka tidak mahu kes ini ditukar lagi tetapi pada asalnya siapa yang menukarkan keadilan, kebenaran sepanjang kes ini," katanya.

Lee Lan juga turut mempersoalkan sebelum Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan, inkues Teoh Beng Hock jelas menunjukkan mereka hanya menjalankan siasatan yang disifatkan sebagai berat sebelah.

"Semua orang boleh lihat bagaimana inkues menjalankan tugasnya dan anda beritahu saya, adakah mereka menyiasat dari segi membunuh diri atau dibunuh, jawapan yang sangat nyata, mereka hanya menyiasat dari segi dibunuh.

Perdana Menteri meyakinkan kita bahawa inkues akan memberikan satu jawapan tetapi tidak, malah dianggap tidak munasabah. Kemudian beliau (PM) berjanji untuk menubuhkan satu siasatan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock," katanya.

Lee Lan berkata demikian ketika ditemubual oleh TV Selangor dalam program Fokus Berita.

Turut menemani beliau adalah, Penyelaras Rakyat Menyokong Beng Hock, Eng Yap Hwa.

Sebelum ini Najib Razak menemui anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock di Pejabat Perdana Menteri pada 28 Julai tahun lalu.

Pada pertemuan itu, Najib sekali lagi menyampaikan takziah kepada bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee, emaknya, Teng Shuw Hor, abangnya, Beng Kee, adik perempuannya, Lee Lan dan juga tunangnya, Soh Cher Wei.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
-tvsnews-

Tiada ulasan: