"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Beranikah Ali Rustam buru jerung judi haram?

Ahmad Danial
MELAKA, 24 Sept: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari (gambar) berkata kerajaan negeri mesti membanteras pusat perjudian tidak kira siapa yang menjadi tuannya.

"Jangan hanya mengejar bilis sahaja.


"Beranikah Ketua Menteri mengambil tindakan terhadap jerung judi haram?" soalnya dalam blognya.


Adly berkata, judi haram di Melaka bukan perkara baru, antara pusat judi haram terbesar terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Baru, yang Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menjadi wakil rakyatnya.

"Berselindung di sebalik ‘Kelab Eksklusif’, berapa puluh tahun kelab itu beroperasi ?" ujar Adly.

Menurutnya, isu judi haram di Melaka memang sudah lama dibincangkan tetapi tiada penyelesaian dan tindakan tegas diambil sehingga ianya berakar umbi dan sukar dibanteras.

Katanya, semua itu membuktikan kegagalan kerajaan BN Melaka mentadbir negeri ini.

Adly berkata dalam sidang Dun yang lalu, wakil DAP sudah membangkitkan isu itu sehingga keluar dari mulut wakil kerajaan Melaka bahawa ‘judi adalah budaya Cina’.

"Akhirnya isu judi ini tidak dibahaskan, tapi wakil rakyat DAP yang dihalau keluar," tambah Adly yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Dua hari lepas kerajaan Melaka, kononnya melancarkan perang habis-habisan terhadap premis dan aktiviti judi haram.

"Macam kata pepatah Melayu, ‘sudah terantuk baru tengadah, sudah terbolos baru melantai’, judi haram sebenarnya banyak melibatkan remaja Melayu, terutamanya pelajar sekolah.

"Judi haram sebenarnya sudah sampai kekampung-kampung, melalui pusat siber, contohnya di Kampung Gangsa sahaja ada dua pusat judi haram," tegas Adly.

Menurut Adly, persoalannya sekarang ialah beranikah kerajaan negeri Melaka membanteras jerung judi haram yang sudah bertapak di Melaka lebih 20 tahun lalu.

“Jangan sampai orang gelar Melaka sebagai ‘Batam Malaysia’, kata Adly.

Tiada ulasan: