"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun Mahathir lucu, kata Nik Aziz


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencabarnya melaksanakan hukuman hudud di Kelantan sebagai lucu.

Ini kerana Mahathir semasa pentadbirannya pernah memberi Nik Aziz surat rasmi menghalang pelaksanaan hukum itu, dan kini mahu Nik Aziz meminta kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membenarkan negeri itu melaksanakan hukum itu melalui undang-udang negeri.

“Saya katakan, surat yang dihantar oleh beliau dulu atas sifatnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak pernah mendengar dasar bahawa mana-mana surat yang dihantar oleh Perdana Menteri akan tamat tempoh kuatkuasa apabila Perdana Menteri tersebut meletakkan jawatan.

“Adakah semua perkara akan tamat tempoh dan perlu diperbaharui apabila berlaku peralihan Perdana Menteri,” soalnya dalam laman sosial Twitter dan Facebook akaunnya pagi tadi.

Sehubungan itu, beliau mahu Najib agar menarik balik surat yang pernah diberi oleh Mahathir suatu ketika dulu, sekaligus membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika Umno benar-benar ikhlas berjuang untuk agama.

Cetus porak poranda

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PAS pagi tadi berkata Mahathir sengaja mahu mencetuskan porak poranda dalam Pakatan Rakyat sekaligus menimbulkan ketegangan antara parti komponen.

“Kali ini Tun silap membuat congakan. Dia ingat dia berdepan dengan PAS seperti dia pernah lakukan dulu.

“PAS tak akan silap membuat keputusan sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan hanya akan mengambil pelaksanaan legislatif ini dengan sokongan rakyat.

“Kita yakin rakyat tak akan takut dengan undang-undang Islam kerana ia akan membawa kebaikan dan undang-undang ini hanyalah bagi mereka yang bersalah sahaja,” katanya yang menjelaskan undang-undang hudud ini hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kelulusan Parlimen.

Dr Mahathir dalam responnya semalam meminta Nik Aziz memperkenalkan hukum hudud di Kelantan sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi perdana menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanakannya.

“Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib kot dia nak bagi… ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya.

Tiada ulasan: