"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua Undang-Undang Baru Ganti ISA Mungkin Lebih Ketat- Anwar


KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan dua undang-undang baru yang akan diperkenalkan kerajaan lebih ketat daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Justeru beliau berpendirian bahawa rakyat mampu menilai cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Najib Razak sebagai cara untuk menambat hati rakyat menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Dua soalan yang perlu difikirkan bilakah ISA akan dimansuhkan? Dan apakah kedua-dua undang-undang yang menurut maklumat daripada Umno, akan sama ketat dan terhad untuk menggantikan ISA?" ujar beliau.

Anwar yang ditemui media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menyifatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak konsisten dengan pendirian bersabit perlaksanaan ISA.

Menurutnya, kerajaan pada bulan lalu menyiarkan kepada media akan keyakinan terhadap akta tersebut berjaya membantu mengekang sebarang anasir jahat yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam siaran berita media utama yang lalu, tiga individu bekas tahanan ISA memuji layanan yang diberikan kerajaan terhadap mereka ketika ditahan di kem Kemunting atas kesalahan terlibat dengan kes pemerdagangan manusia.

Namun kini kata Anwar, kerajaan mengambil tindakan drastik memansuhkan akta tersebut dengan alasan mengembalikan demokrasi bagi menerajui pencapaian negara di masa hadapan.

"(Umno) hanya pada bulan lepas telah memuji dan mempertahankan ISA. Kini berikutan pengumuman itu, kita mendapati editorial memuji penyingkiran," jelasnya lagi.

Bersempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia pada Khamis lalu, Najib tampil mengumumkan pemansuhan ISA dan berjanji akan mengkaji semula undang-undang yang lebih efektif menggantikan akta itu.

Dua undang-undang tersebut akan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan hadapan.

Dalam pada itu Pakatan Rakyat yakin pengumuman oleh Najib itu hasil daripada desakan pemimpin-pemimpin pembangkang agar ISA dimansuhkan.

Namun kerajaan membidas dakwaan terbabit dengan menyatakan ianya adalah sebahagian daripada janji kerajaan untuk meminda undang-undang yang dianggap kontroversi untuk memastikan kemakmuran negara.
-tvsnews-

Tiada ulasan: