Ahmad Fadli
KUALA LUMPUR: Pakar tulang dari Jerman yang pernah merawat Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes fitnah II.
Perkara itu dinyatakan peguam Anwar, Sankara Nair yang ditemui selepas perbicaraan tersebut selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Dr Thomas Hoogland pernah merawat kecederaan tulang belakang yang dialami Anwar pada 2004 selepas dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor ketika dalam tahanan polis pada 1998.
Beliau akan memberi keterangan pada 6 Oktober depan apabila perbicaraan kes itu bersambung semula 3 sehingga 7 Oktober depan.
Justeru itu, pakar berkenaan dijangka akan mengesahkan tentang tahap kesihatan dan keupayaan fizikal Anwar, 64.
Bercakap lanjut, Sankara memberitahu Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Dr Lim Kong Boon akan hadir untuk memberi keterangan pada 3 Oktober depan.
Lim Kong Boon adalah watak sama yang pernah terlibat dalam kes Fitnah 1998 sebagai pegawai kimia yang juga merupakan saksi pendakwa pada masa itu.
Beliau juga sebelum ini dalam keterangan Nor Aidora Saedon bertanggungjawab memberikan arahan khas kepada Aidora untuk melakukan analisa segera ke atas sampel dari putik kapas yang diperolehi daripada pegawai penyiasat, Jude Pereira.
Dalam perkembangan sama, permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah Mansor untuk mengenepikan perintah sapina ke atas mereka akan didengar pada 29 September ini.
Jika permohonan sapina mereka ditolak, mereka juga dijangka memberi keterangan minggu depan, kata Sankara.
Dalam permohonan Najib itu, kedua-dua pasukan peguam Anwar dan juga pasukan pendakwa raya akan bertindak sebagai defendan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan