JAKARTA, 18 Sept: Puluhan wanita dan kanak-kanak dengan mengenakan skirt mini dan seluar ketat berhimpun di tengah Jakarta hari ini sambil mengecam kenyataan seorang pegawai kerajaan yang mendakwa pakaian yang “provokatif” sebagai punca serangan seksual.
Protes itu diadakan ekoran kenyataan gabenor Jakarta Fauzi Bowo yang kelmarin berkata kaum wanita tidak harus mengenakan pakaian-pakaian mendedahkan aurat jika mahu mengelak mereka menjadi mangsa rogol atau mana-mana bentuk serangan seksual.
Fauzi dengan segera memohon maaf tetapi kenyataannya mendapat liputan meluas menerusi media tempatan dan Twitter.
Protes hari ini menggesa pihak polis dan kerajaan Indonesia mengambil tindakan lebih menyeluruh untuk melindungi kaum wanita dan membantu mangsa serangan seksual.
Para peserta membawa sepanduk tertera mesej “Jangan beritahu kami bagaimana untuk berpakaian, beritahu mereka jangan merogol”, dan “Badan saya bukan lucah, sebaliknya minda anda kotor”.
“Pegawai-pegawai kerajaan seharusnya berdiam diri daripada membuat kenyataan berbaur diskriminasi terhadap wanita.
“Mereka seharusnya sensitif dan menjadi tanggungjawab mereka mencari penyelesaian ke atas kes-kes keganasan terhadap wanita,” kata jurucakap penganjur protes Tunggal Prawestu.
Awal bulan ini seorang wanita dirogol oleh sekumpulan lelaki dalam sebuah van mini, yang digunakan sebagai pengangkutan awam, pada lewat malam.
Mengikut data Suruhanjaya Nasional Indonesia Bagi Hal Ehwal Wanita terdapat lebih 100,000 kes keganasan ke atas wanita tahun ini. Empat peratus daripada kes itu melibatkan kejadian rogol.
-Reuters-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan