"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shabery Cheek ganti MB Terengganu?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Sept: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mungkin sempat berkhidmat satu penggal sahaja nampaknya ekoran usaha keras sedang dibuat untuk menggantikan beliau.



Namun, usaha itu bukan senang kerana Umno Terengganu sehingga kini masih terbelah dua, penyokong Ahmad Said dan penyokong bekas MB, Datuk Seri Idris Jusoh.


Ekoran itu, calon yang boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak sedang dicari oleh para pencatur politik Umno khasnya di Terengganu.

Kalau nama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin naik di Johor untuk mengambilalih jawatan MB dari Datuk Abdul Ghani Othman, nama seorang menteri juga naik di Terengganu.

Nama Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan disebut-sebut akan menggantikan Ahmad Said sebagai MB Terengganu.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat ketika bercakap kepada Harakahdaily menceritakan spekulasi terbaru itu.

Menurut Hanafiah, Shabery yang kini anggota parlimen Kemaman disebut-sebut akan bertanding di DUN Chukai, Kemaman dalam PRU 13 nanti bagi membolehkan beliau dilantik menjadi MB.

Namun nama Shabery bukan satu-satunya nama yang disebut untuk menggantikan Ahmad Said.

Calon lain

Turut disebut adalah Datuk Nasir Ibrahim Fikri, anggota Parlimen Kuala Nerus. Namun tidak dipastikan kerusi manakah yang akan ditandingi Nasir.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ketika melawat Terengganu awal Mei lalu memilih empat kawasan dalam Parlimen beliau untuk dilawati.
"Sebenarnya saya sangat teruja mahu mencatatkan sesuatu sebaik selesai lawatan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Parlimen Kuala Nerus, Sabtu lalu. Namun, disebabkan kekangan waktu, baru sekarang saya mempunyai sedikit kelapangan untuk menulis.

"Umumnya, saya mengucapkan terima kasih kapada YAB Perdana Menteri kerana telah memilih Parlimen Kuala Nerus sebagai sebahagian daripada destinasi lawatannya ke Terengganu ini selain di DUN Manir, di Parlimen Hulu Terengganu dan DUN Bandar di Parlimen Kuala Terengganu.

"Istimewanya lawatan ini, seperti yang saya ucapkan pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong tempoh hari, ialah kerana YAB Perdana Menteri telah memilih empat tempat di Parlimen Kuala Nerus ini untuk siri lawatannya kali ini.

"Selain Pekan Batu Enam, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melawat Kampung Pangkalan Arang, Bukit Tunggal dan Pulau Duyong. Inilah yang saya sifatkan sebagai lawatan berganda dari PM ke Parlimen Kuala Nerus," catat Nasir dalam blognya selepas lawatan PM (gambar) itu.

Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu selepas pilihan raya ke 12 2008 lalu ekoran penolakan pihak istana Terengganu terhadap Idris Jusoh.

Ekoran itu, berlaku perpecahan jelas dalam Umno Terengganu kerana sebahagian mereka merasakan Ahmad bukanlah calon yang layak untuk menjawab jawatan itu.

Ekoran itu, para penyokong Idris dikatakan membuat demonstrasi di perkarangan rumah MB Terengganu.

Antara sepanduk yang dinaikkan adalah "Kami nak Idris natang". Ia dipercayai ditujukan kepada pihak Istana Terengganu yang melantik Ahmad Said.

Ekoran perlantikan Ahmad Said, pelbagai pihak yang menentang perlantikan itu menyifatkan Ahmad Said sebagai MB Istana.

Menurut mereka, banyak projek di Terengganu sekarang dikuasai oleh pihak berkenaan bukan lagi melalui tender terbuka. Ia termasuk kawasan lombong dan kawasan balak.

Tiada ulasan: