"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ceramah Azmil Mustapha yang sangat tegas


Petang tadi di Surau Al-Mawaddah, Teluk Ketapang, Seberang Takir, saya berpeluang untuk mendengar ceramah atau kuliah petang yang disampaikan oleh Ustaz Haji Mohd Azmil Dato' Mustapha.

Ceramah anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus itu mendapat sambutan yang sangat baik, khususnya dari kalangan muslimat di sekitar kampung ini. Kebetulan pula ini merupakan kali pertama Azmil datang ke kawasan Seberang Takir ini.

Azmil Mustapha adalah seorang pelakon Melayu lelaki yang menjadi fenomena pada lewat tahun 80-an. Antara filem-filem yang yang melonjakkan nama beliau seperti Ali Setan 1 dan Ali Setan 2. Filem-filem lain beliau seperti Ali Setan (1985), Mekanik (1983), Iman Alone (1998) dan Fifty/Fifty (1991).

Namun kini beliau telah bersara dari dunia lakonan dan lebih menumpukan hidup beliau sebagai pendakwah.

Ceramah beliau selama lebih sejam itu banyak berkisar kepada persoalan kepatuhan kita kepada hukum Allah. Kadang-kadang suara beliau meninggi dalam menegaskan sesuatu yang sesungguhnya tidak ada kompromi dalam perkara yang berkait dengan agama.

Antara yang menarik juga dari apa yang beliau jelaskan dalam ceramah itu ialah bagaimana kehidupan beliau sekarang berbanding dengan dahulu yang penuh dengan kemewahan dalam dunia glamour. Beliau sangat tenang dan redha dengan suasana sekarang walaupun hidup tidak mewah dan kadang-kadang tidak punya wang.

Ceramah yang disampaikan beliau sangat menarik dan mampu memberi kesedaran tentang keyakinan untuk berpegang dengan hukum Allah SWT.

Tiada ulasan: