"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kantoi!! Abang e-hailing kantoi khalwat, sembunyi atas siling rumah isteri orang

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Penguatkuasa JAIJ menyerbu rumah teras dan menahan pasangan kerana disyaki berkhalwat. Gambar ihsan JAINJ
Penguatkuasa JAIJ menyerbu rumah teras dan menahan pasangan kerana disyaki berkhalwat. Gambar ihsan JAINJ
Kluang: Cubaan seorang pemandu e-hailing bersembunyi atas siling gagal apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan wanita yang masih berstatus isteri orang, semalam.

Kedua-dua pasangan itu ditahan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hasil aduan dan maklumat awam di sebuah rumah teres dalam daerah ini pada jam 10.30 pagi.

Ketika serbuan dijalankan, pasangan lelaki berusia 30-an ditemukan bersembunyi atas siling selepas cubaan melarikan diri melalui pintu belakang gagal disebabkan penguat kuasa sudah mengepung kawasan terbabit.

Menurut JAINJ, penguat kuasa menjalankan operasi susulan aduan diterima berhubung kekerapan lelaki yang bekerja pemandu e-hailing bertandang ke rumah pasangan berusia 30-an ketika suami keluar bekerja manakala anak ke sekolah.

"Pada hari tangkapan dilakukan, lelaki terbabit meletakkan keretanya sejauh satu kilometer dari rumah wanita bagi mengelak kehadirannya dikesan jiran dan juga penguat kuasa.

"Sebaik tiba di perkarangan rumah didiami wanita itu, penguat kuasa hanya menemui kereta milik wanita selain pintu pagar depan tidak berkunci.

"Sebelum memasuki rumah, dua anggota penguat kuasa ditugaskan untuk menjaga pintu belakang kerana bimbang salah seorang daripada mereka melarikan diri.

"Pada masa sama, penguatkuasa mendapati enjin kereta wanita itu masih panas, rupa-rupanya dia baru sahaja menjemput skandalnya kerana kenderaan diletakkan jauh dari situ," katanya dalam kenyataan.

Kata JAINJ lagi, kira-kira 10 minit selepas pintu diketuk, seorang wanita berpakaian seksi keluar menyebabkan penguat kuasa wanita menegurnya dan meminta menukar pakaian sopan.

Tambahnya lagi, ketika disoal, wanita mendakwa dia berseorangan kerana suaminya bertugas di luar kawasan sementara anak ke sekolah.

Bagaimanapun, penguat kuasa tidak berpuas hati dan tekaan mereka tepat apabila pemeriksaan menemukan siling dalam keadaan ternganga di sebuah bilik.

"Penguat kuasa naik ke siling dan menemukan lelaki tersebut sedang memeluk tiang di sebelah tangki air. Dia mahu melarikan diri melalui pintu belakang buat keputusan sembunyi atas siling selepas melihat kelibat anggota penguat kuasa.

"Lelaki itu sudah beristeri dan bekerja swasta serta menjadi pemandu e-hailing secara sambilan, menetap di daerah lain 100 kilometer dari sini.

"Apabila ditanya bagaimana hubungan dengan isterinya, lelaki menjawab mereka tiada masalah. Wanita pula memberitahu hubungannya dengan suami amat dingin dan berhasrat untuk bercerai," katanya.

Katanya, siasatan mendapati pasangan ini berkenalan sejak hampir setahun lalu tanpa pengetahuan isteri lelaki dan suami wanita itu.

"Kami bertanyakan tujuan lelaki itu datang ke rumah dan dia menjawab untuk hantar barang wanita ini. Alasannya ada juga logik tetapi masalahnya kenapa perlu masuk ke dalam rumah selain mengunci pintu serta menyorok atas siling?

"Justeru, kedua-dua mereka ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.

Tiada ulasan: