"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seks ganas 3P: 2 lelaki asing bakal didakwa membunuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua warga asing yang ditahan berhubung kematian seorang lelaki tempatan dipercayai akibat aktiviti seks ganas tiga individu (3P) pada Mei lalu akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Arifai Tarawe yang dipetik Sin Chew Daily semalam berkata, dua lelaki yang terdiri daripada seorang warga Pakistan dan India itu ditahan kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu di Jalan Ipoh, ibu negara.

Menurutnya, lelaki Pakistan itu adalah buruh berusia 28 tahun manakala warga India itu pula adalah penganggur berumur 24 tahun.

Kedua-duanya memasuki negara ini dengan dokumen sah.

Jelasnya, dua suspek itu direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau percaya kematian akibat seks ganas ini adalah kes pertama seumpamanya di negara ini kerana polis tidak pernah mengendalikan kes sedemikian.

Mangsa korban adalah seorang lelaki Cina berusia 47 tahun yang merupakan penolong pengurus besar sebuah syarikat televisyen dalam talian.

Mangsa ditemui dalam keadaan bogel dengan mulut dan kakinya berikat, manakala alat sulitnya ditutupi kain di sebuah kondominium di Sri Hartamas kira-kira jam 12.17 tengah hari 16 Mei lalu.

Sementara itu, Oriental Daily melaporkan hasil siasatan polis mendapati, mangsa dan suspek dipercayai berkenalan menerusi aplikasi WeChat.

Difahamkan, mereka berjumpa selepas mendapati masing-masing mempunyai “minat seks” yang sama.

Ketika kejadian, mangsa baru kali ketiga menemui suspek dari India itu manakala lelaki Pakistan terbabit julung kali bertemu mangsa.

Polis masih mencari bukti-bukti berkaitan, termasuk menerusi telefon bimbit mangsa.

Tiada ulasan: