Izz Laily Hussein

Nahas tiga kenderaan di Kilometer 66.6 Lebuhraya Senai-Desaru, menyebabkan seorang maut dan enam lagi cedera. – Foto ihsan polis
KOTA TINGGI: Seorang lelaki maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 66.6 Lebuhraya Senai-Desaru, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa yang maut, Chua Bing Xuan, 26, adalah penumpang Perodua Myvi.
Beliau berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu pada jam 11.50 pagi.
“Kemalangan membabitkan Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun bersama empat penumpang, selain Proton Exora dipandu lelaki berusia 56 tahun bersama seorang penumpang dan Mazda CX-30 dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
“Pemandu dan semua penumpang Perodua Myvi serta Proton Exora parah dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, Hospital Pasir Gudang (HPG) Johor Bahru dan Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya melalui kenyataan.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung Proton Exora dari arah bertentangan.
“Mazda CX-30 pula melanggar bahagian belakang Proton Exora, manakala pemandunya tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan