Alor Setar: Tindakan seorang pelajar lelaki berdua-duaan dengan pasangannya dalam sebuah bilik hotel bajet di Lebuhraya Darulaman, di sini, mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) ketika cuba melarikan diri, awal pagi kelmarin.
Sebelum itu, anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik sebelah untuk membuat pemeriksaan jam 1 pagi, tetapi pelajar lelaki berusia 18 tahun yang juga penuntut sebuah universiti awam di negeri ini tiba-tiba keluar dari bilik sambil membawa beg dalam keadaan tergesa-gesa.
Pelajar terbabit menutup semula pintu biliknya selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, tetapi dia membuka pintu dan membenarkan anggota berkenaan masuk ke dalam bilik selepas diketuk berkali-kali.
Penolong Pengarah Operasi Bahagian Penguat Kuasa JAIK Syeikh Mohd Rasydan A Rahman berkata, ketika pemeriksaan, pihaknya mendapati keadaan bilik gelap dan ada seorang wanita berusia 18 tahun hanya bertuala dan memakai baju sejuk di atas katil.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan mengaku berkenalan sejak lebih setahun lalu.
“Hasil siasatan mendapati, bilik itu disewa pelajar perempuan terbabit dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Balai Polis Alor Setar bagi dibuat laporan tangkapan.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat,” katanya yang mengetuai operasi bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi itu.
Dalam pada itu, Mohd Rasydan berkata, pihaknya mengesan taktik baru dilakukan pasangan Islam menyewa hotel murah bersama pasangan mereka apabila mengunci mangga dari luar untuk mengelak kegiatan maksiat dikesan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan