LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR

Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah awal pagi tadi. - Foto IHSAN JBPM
PASIR SALAK – Dua beradik maut apabila motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.29 pagi.
Katanya, kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Yaris dan motosikal Yamaha Y15.
“Setibanya jentera di lokasi didapati kereta Toyota Yaris telah berada di dalam parit dan terdapat seorang mangsa cedera iaitu Mohamad Nor Afifi Harun, 31, di dalam kereta namun mangsa tidak tersepit.
“Penunggang dan pembonceng motosikal yang maut turut berada di dalam parit. Mereka ialah Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, dan adiknya, Adam Danial, 18.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota untuk mengangkat ketiga-tiga mangsa menggunakan stretcher.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian manakala mangsa yang parah iaitu pemandu Yaris dibawa ke Hospital Seri Iskandar.
“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan