"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Hadi Awang melucukan, kata Husam

Anne Muhammad

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa menyifatkan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai melucukan.

Ini kerana, kata Husam, beliau belum pernah mendengar mana-mana pihak yang kalah dalam saman sivil tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).

“Kenyataan Hadi sangat melucukan. Saya tak pernah dengar orang yang kalah dalam sivil kes di mahkamah tidak dapat bertanding pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.

Malah, kata Husam lagi, Hadi seolah-olah membuat kesimpulan beliau telah kalah dalam kes tersebut.

“Oleh kerana kes ini tidak dibawa ke mahkamah atau belum dibawa ke mahkamah, kita tidak tahu siapa yang akan menang atau kalah, jadi macam mana dia boleh boleh buat kesimpulan saya yang akan kalah kes,” katanya.

Husam berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi sebelum ini bahawa beliau sengaja tidak mahu bertanding dalam PRU14 dengan mendakwa PAS menerima dana sebanyak RM90 juta.

Ia kerana, kata Abdul Hadi, sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah dan mendapati Husam kalah kerana berbohong menyebabkan beliau tidak layak untuk bertanding dalam PRU14.

Abdul Hadi turut menyifatkan tindakan Husam membangkitkan isu berkenaan hanyalah helah untuk tidak mahu bertanding PRU.

Mengulas lanjut, Husam berkata, Abdul Hadi seharusnya menggunakan satu perkataan sahaja kerana kenyataannya sebelum ini sukar difahami.

Husam turut meminta Abdul Hadi menyatakan pendiriannya untuk meneruskan saman tersebut atau tidak.

“Pemimpin besar macam Ustaz Hadi sebagai Presiden PAS sepatutnya guna satu perkataan sahaja atau dalam bahasa Arab, kalam wahid bukan dua perkataan yang tidak dapat dibaca maksud sebenar.

“Oleh kerana itu dia perlu tegaskan nak teruskan saman ataupun langsung tidak menyaman saya,” katanya.

Sebelum ini, Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa, beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Beliau yang dipecat daripada PAS pada Mei tahun lalu atas dakwaan melanggar disiplin membayangkan butiran mengenai dana itu akan muncul menjelang pilihan raya umum akan datang.

Jumaat lalu, Tuan Ibrahim berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat laman web Sarawak Report sebelum ini.

Tiada ulasan: