"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes 1MDB yang terang dan nyata tak dapat nak disembunyikan lagi

Kes 1MDB: 10 perkara didedah bekas pegawai khas Najib

 (Dikemaskini )
 
KES 1MDB | Lima hari pertama perbicaraan kes rasuah 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak setakat ini telah menyaksikan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin tampil sebagai saksi penting pendakwaan.
Amhari, 43, yang berkhidmat untuk Najib selama 10 tahun, memberi butiran mengenai kerja-kerja pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan urusan mereka dengan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Amhari memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia selepas tamat pengajian pada 1999, sebelum dipindahkan ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sebagai pegawai khas Effendi Norwawi, yang merupakan menteri yang bertanggungjawab memantau EPU di bawah PMO pada tahun 2006.
Dua tahun kemudian, Amhari kembali ke BNM sebagai pengurus Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia dan sempat berkhidmat selama dua bulan ketika ditawarkan untuk menjadi pegawai khas Najib.
Amhari kemudian ditugaskan untuk menguruskan media sosial dan komunikasi dalam talian untuk Najib, yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri. Tugas lain termasuk mempromosikan jenama 1Malaysia.
Amhari diletakkan di bawah pengawasan Azlin. Apabila Najib menjadi perdana menteri keenam pada April 2009, Azlin menjadi pengarah Bahagian Ekonomi PMO, dan Amhari telah ditugaskan menjadi pegawai khas kepada PM yang turut berada di jabatan yang sama.



Amhari Efendi Nazaruddin.
Selepas kematian Azlin dalam nahas helikopter pada tahun 2015, Amhari kemudian diberikan tugas Azlin, termasuk urusan yang sangat sulit bagi mewakili pihak perdana menteri.
Pada 2016, Amhari dipindahkan dari Bank Negara ke Khazanah Nasional Bhd, dan menerima gaji bulanan sebanyak RM55,000. DIa memperoleh RM25,000 sebulan ketika berada di bawah BNM.
Menurut keterangannya di mahkamah, sejak pemindahannya ke Khazanah Nasional, Amhari memperoleh RM75,000 sebulan, termasuk RM20,000 lagi sebagai pengarah Orb Solutions Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada tahun 2010 untuk membantu mempromosi Najib dalam talian.
Antara perkara penting dari keterangannya adalah seperti berikut:
1) Pegawai Najib mengadakan pertemuan rahsia dengan Jho Low
Amhari memberi keterangan mendakwa bahawa dian dan pegawai atasannya di PMO, Allahyarham Azlin Alias, telah bertemu Jho Low secara rahsia berhubung 1MDB tetapi hanya menyedari ia merupakan satu skandal apabila nama syarikat tersebut mula timbul dalam berita.
Menurutnya, ini kerana kerja-kerja mereka dibahagikan secara berasingan, dan hanya Najib dan Jho Low "mempunyai gambaran keseluruhan mengenai apa yang dirancang".
Amhari memberi keterangan bahawa pertemuan dengan Jho Low dilakukan pada waktu malam di Prince Hotel di Kuala Lumpur di mana projek dan keputusan utama dibincangkan.
2) Amhari mendakwa Jho Low berada dalam lingkungan keluarga Najib
Amhari pertama kali berjumpa dengan Jho Low pada tahun 2007 ketika menjadi pegawai khas kepada Mohd Effendi Norwawi, kemudian Menteri yang bertanggungjawab memantau EPU.
Menurutnya, sejak pertama kali bertemu dengan Jho Low, ahli perniagaan itu banyak bercakap tentang keluarga Najib seolah-olah dia berada di dalam keluarga keluarga timbalan perdana menteri itu.
Jho Low juga kemudian memberitahu Amhari bahawa dia rapat dengan Najib, dan Jho Low mengenali ahli parlimen Pekan itu melalui anak Najib, Riza Aziz memandangkan Jho Low sudah mengenali Riza sejak zaman remaja mereka.
"Banyak kali Jho bercakap tentang kekerapan pertemuannya dengan keluarga Najib dan kadang-kadang dia tahu lebih banyak mengenai rancangan yang telah dibuat oleh keluarga Najib walhal saya sendiri, sebagai pegawai khasnya, tidak tahu mengenainya," kata Amhari.
Amhari juga mendakwa bahawa isteri Najib, Rosmah Mansor sering menerima panggilan daripada Jho Low.
3) Jho Low tahu lebih banyak maklumat daripada pegawai Najib sendiri
Menurut Amhari, Najib sering berjumpa dengan Jho Low untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk hal-hal sulit.
Amhari yang menggambarkan Jho Low sebagai 'penasihat penting' kepada Najib berkata ahli perniagaan yang kini dalam buruan itu telah mengenali Najib sebelum Amhari menjadi pegawai khasnya.
Amhari turut menggambarkan Jho Low 'sangat rapat’ dengan Najib dan isterinya, Rosmah.
Menurutnya, terdapat juga situasi ketika arahan khusus yang melibatkan perkara sulit diberikan kepadanya atau Azlin oleh Jho Low.



Jho Low
Dia percaya bahawa Najib telah meluluskan arahan ini kerana ketika mereka mengesahkan perkara tersebut dengan Najib, Najib mengetahuinya dan mengarahkan Amhari dan Azlin untuk mengikuti arahan yang diberikan oleh Jho Low.
Amhari juga memberi keterangan bahawa dia percaya yang Jho Low adalah “pakar manipulasi”, yang dapat memperoleh perkara yang diinginkan.
"Sepanjang pengalaman saya berurusan dengan Jho Low, saya mendapati dia pandai dan manipulatif ketika berurusan dengan pegawai dari pelbagai peringkat dan pangkat, dari Malaysia atau luar negara, yang kebanyakannya diketahui Najib," katanya.
4) Jho Low menggunakan pembantu Najib untuk membuka akaun bank
Pada 2012, Amhari dan Azlin membuka akaun bank di luar negara atas arahan Jho Low, dan Jho Low mendakwa ia sebagai akaun ‘standby’ dan ‘just in case’ yang akan dikendalikan olehnya.
Walaupun kedua-dua mereka menyatakan kebimbangan, Amhari berkata mereka terpaksa mengikut perintah Jho Low kerana mereka takut sesuatu yang buruk akan berlaku kepada mereka atau kerjaya mereka jika mereka memilih untuk melawannya.
Amhari kemudian mendapat tahu pada tahun 2016 bahawa akaunnya dengan BSI Switzerland mempunyai lebih dari AS$800,000 ketika dia menerima panggilan daripada bank. Bagaimanapun, akaun itu terpaksa ditutup atas arahan BSI dan dia terpaksa membuka akaun lain di Bangkok.
Dia mendakwa kedua-dua akaun itu berada di bawah kawalan Low dan tidak tahu apa yang berlaku kepada wang itu.
5) Jho Low mengarahkan pembantu Najib untuk hapuskan dokumen, tetapi Amhari tidak melupuskan kesemuanya
Amhari di mahkmah juga mendakwa bahawa Jho Low sentiasa mengingatkan dia dan Azlin untuk menghapuskan dokumen yang mereka miliki selepas setiap mesyuarat.
Selain dokumen, pegawai-pegawai juga dimaklumkan untuk memadamkan setiap e-mel dan mesej Blackberry Messenger yang Jho Low telah hantar kepada mereka.
Menurut Amhari, ketika menghapuskan dokumen dari perbincangan mereka, ada beberapa yang dia terlepas pandang.
Amhari bagaimanapun percaya bahawa Azlin mungkin telah menghapuskan semua dokumen dalam simpanannya kerana menurutnya Azlin merupakan seseorang yang pandai menyimpan rahsia.
6) Jho Low bertemu dengan Agong terdahulu mengenai 1MDB
Amhari pertama kali menyertai mesyuarat berhubung rancangan untuk menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), (nama sebelum ditukarkan kepada 1MDB), atas perintah Jho Low, yang mendakwa bahawa dia mendapat kelulusan Najib untuk meyakinkan Amhari.
Sekitar akhir 2008, pertemuan itu diadakan di Istana Terengganu di Kuala Lumpur, dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.



Menurut Amhari, Jho Low telah membangkitkan rancangan untuk menubuhkan TIA kepada Agong ketika itu, tetapi Tuanku Mizan tidak memberikan sebarang keputusan.
Amhari berkata dia mula mengetahui tentang rancangan untuk menubuhkan TIA menerusi kutipan dana apabila Jho Low menjelaskan kepadanya tentang idea menggunakan papan putih di dapur rumah Jho Low di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.
Jho Low juga memaklumkan kepadanya bahawa rancangan TIA mengambil model dana kekayaan Mubadala di Abu Dhabi, dan TIA adalah projek Najib.
Amhari juga memberi keterangan bahawa Jho Low terlibat dalam perancangan kerjasama 1MDB dengan IPIC dan Aabar. Bagaimanapun, Amhari berkata dia tidak mempunyai banyak maklumat kerana kebanyakan perbincangan telah dikendalikan oleh Azlin.
7) Jho Low arahkan naratif mengenai kawalan kerosakan 1MDB
Selepas skandal 1MDB mendapat tumpuan, PMO terutamanya Azlin yang merupakan ketua setiausaha sulit Najib perlu mendapatkan penyelesaian untuk melindungi imej Najib sebagai perdana menteri.
Amhari berkata, Jho Low telah memainkan peranan dalam usaha menangani kesan skandal 1MDB, dengan  beliau telah menyediakan kandungan ucapan dan pelan tindakan untuk PMO.
Ahli perniagaan tersebut juga telah memberikan soalan-soalan lazim (FAQ) kepada PMO untuk digunakan apabila menjawab soalan 1MDB.
Menurut keterangan Amhari, pada satu tahap, Jho Low juga menyediakan dokumen yang menyangkal dirinya sendiri mempunyai sebarang peranan dalam 1MDB.
Amhari berkata apabila pihak berkuasa Malaysia menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat isu 1MDB, Jho Low menyerahkan dokumen kepadanya dan Azlin untuk membuktikan, antara lain, tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Petrosaudi.
8) Pelan rasionalisasi 1MDB datang dari Jho Low
Antara lewat tahun 2014 dan awal 2015, Amhari menerima dokumen yang disediakan oleh Jho Low, yang memperinci rancangannya untuk menyelesaikan hutang 1MDB.
Menurut saksi, dokumen yang bertajuk '1MDB Rationalisation Plan Overview: Accompanying Notes' menerangkan pelan rasionalisasi untuk 1MDB.
"Dokumen ini adalah rancangan Jho Low untuk menyelesaikan hutang 1MDB. Nota ini adalah untuk menjelaskan pelan rasionalisasi untuk 1MDB. Pelan ini merupakan isu hangat ketika itu.
"Oleh kerana isu 1MDB tersebut tidak begitu baik, rancangannya adalah untuk menjual semua aset dan liabiliti 1MDB, dan untuk menutup 1MDB.
"Jho Low mahu menjual semua aset dan liabiliti 1MDB untuk menampung masalah hutang yang dihadapi oleh 1MDB."
9) Najib mengarahkan Amhari untuk berunding penyelesaian IPIC
Apabila Abu Dhabi berhasrat membawa Malaysia ke mahkamah antarabangsa berikutan hutang 1MDB kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) pada tahun 2016, Najib kemudian mengarahkan Amhari untuk mengadakan misi rundingan.
Dia diminta berunding dengan ketua pegawai eksekutif Mubadala, Khaldoon Mubarak di Abu Dhabi.
"Najib menjelaskan jika Abu Dhabi mengheret Malaysia ke mahkamah antarabangsa kerana gagal membayar hutang bon yang dijamin oleh IPIC, ia akan menjejaskan hubungan dua hala antara negara, dan juuga mencetuskan risiko politik dalam pilihan raya umum akan datang.
"Pada masa itu, isu 1MDB masih menjadi topik hangat di seluruh dunia," katanya.



Menurut Amhari, satu siri rundingan kemudiannya dijalankan, termasuk antara 1MDB dan IPIC dan peguam kedua-dua syarikat tersebut, sebelum perjanjian penyelesaian akhirnya ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada pertengahan 2017.
10) Tiga rundingan dengan China bertujuan untuk menyelamatkan 1MDB
Sekitar masa yang sama ketika rundingan dengan Abu Dhabi sedang berjalan untuk mencapai penyelesaian hutang 1MDB, Amhari juga telah dihantar untuk misi lain ke China - bagi membincangkan projek-projek yang akan menyelamatkan 1MDB.
Amhari berkata dia diarahkan oleh Najib untuk terlibat dalam perbincangan pelaburan China-Malaysia bagi menyelamatkan 1MDB.
"Seperti yang ditunjukkan oleh (ahli perniagaan itu) Low Taek Jho menerusi kandungan ucapan dan pelan tindakan kepada saya, perjanjian dan usaha (antara Malaysia dan China) bertujuan untuk menjadi pelaburan yang akan membantu membayar hutang 1MDB (bailout) seperti hutang kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).
"Saya juga boleh mengesahkan bahawa lawatan saya ke China (pada tahun 2016) hanya diketahui oleh Jho Low dan Najib," kata Amhari.
Projek-projek yang Amhari maksudkan adalah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Bentuk (MPP) dan Saluran Gas Paip Trans Sabah (TSGP).
Merujuk kepada dokumen yang bertajuk 'Action Point: China-Malaysia Economic Programme' yang dihantar melalui e-mel kepada Amhari oleh Jho Low, Amhari berkata e-mel itu bertujuan untuk memastikan Najib memberi Terence Geh, rakan sekutu Jho Low, peranan penyelaras untuk 1MDB dan program penyelesaian hutang SRC yang dikaitkan dengan rundingan pelaburan Malaysia-China.
Saksi itu berkata dokumen menyatakan cadangan projek yang boleh menyelamatkan 1MDB.
"Dokumen tersebut memiliki nota pada maklumat (talking points) untuk mengemas kini status projek itu dan juga susulan kerja kepada tiga projek iaitu TSGP, MPP dan ECRL," kata Amhari.
Pada Nov 2016, Najib mengunjungi China untuk membuat beberapa perjanjian dengan negara tersebut dan syarikat-syarikat di negara itu.
Menurut Amhari, perjanjian tersebut merupakan:
1. Perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan di antara China Communications Construction Company (CCCC) dengan ECRL Sdn Bhd, dan CPP dengan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER)
2. Perjanjian pembiayaan penuh antara China Exim dan ECRL dan antara China Exim dan SSER.
3. Perjanjian penuh Bon Renminbi antara China dan ECRL, dan antara SSER dan pihak China.

Tiada ulasan: