"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 maut, 24 cedera nahas bas di Giza, Mesir

BERNAMA
10 orang terkorban manakala 24 lagi cedera dalam nahas perlanggaran antara sebuah bas dan lori di Wilayah Giza, Mesir.
KAHERAH – Seramai 10 orang terkorban manakala 24 lagi cedera dalam nahas perlanggaran antara sebuah bas dan lori di Wilayah Giza, Mesir, menurut Kementerian Kesihatan Mesir pada Sabtu berdasarkan jumlah korban awal.

Nahas itu berlaku di persimpangan Jalan Lingkaran Tengah dan Lebuh Raya Al-Dabaa, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 20 ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian dan kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan perubatan. -Bernama

Penduduk kebas ubat bertaburan jatuh di jalan raya

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan orang ramai mengambil ubat-ubatan yang terjatuh dari sebuah lori. - Instagram
JAKARTA – Penduduk di Labuhan Batu, wilayah Sumatera Utara menerima kecaman orang ramai kerana mengambil beribu-ribu kotak berisi ubat selepas sebuah lori yang membawa muatan barang itu terlibat dalam kemalangan. 

Kejadian berlaku di Jalan Lintas Sumatera, Bilah Hulu, baru-baru ini. 

Sebuah bas dilaporkan memotong selekoh sebelum melanggar lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan, menyebabkan ubat-ubatan tersebut bertaburan di tengah jalan. 

Kemalangan itu turut menyebabkan lima orang cedera serta kesesakan lalu lintas sepanjang 15 kilometer. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @pointofview.news menunjukkan orang ramai berpusu-pusu meletakkan ubat ke dalam beg serta guni.

Perbuatan itu mengundang kecaman netizen. Mereka menuduh penduduk setempat hanya mementingkan diri sendiri dan tidak berperikemanusiaan. – AGENSI

Rafizi: Penyokong Bersama akan 'sembelih' saya jika bincang nak gabung

N Faizal Ghazali

Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, secara berseloroh berkata penyokong parti itu akan “menyembelihnya” jika Bersama menyertai mana-mana gabungan politik.

Menurutnya, pengundi semakin bosan dengan kerjasama politik yang dibentuk atas dasar perebutan kuasa.

“Saya rasa kalau Bersama buat keputusan tiba-tiba nak masuk, nak bincang dengan gabungan, dia orang (penyokong) ini akan sembelih saya.

“Jadi keadaan politik di Malaysia sekarang ini jadi kucar-kacir sebab gabungan dan gabungan ini atas alasan pragmatik kononnya untuk berkuasa,” katanya kepada media ketika mengiringi calon Bersama di DUN Bukit Katil, Melaka, hari ini.

Bersama bertanding secara solo dengan meletakkan calon di 16 kerusi pada PRN Melaka yang akan berlangsung pada 14 Nov ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata rakyat akhirnya akan mencari alternatif kepada keadaan politik yang kucar-kacir akibat pembentukan pelbagai gabungan.

“Yang rakyat nampak ialah kucar-kacir politik ini, sebenarnya mencelarukan semua, jadi memang kalau nak kira Bersama ambil risiko kerana conversation wisdom kena ada gabungan semua.

“Tapi saya rasa parti-parti politik juga terlalu yakin dengan rakyat kononnya akan kekal dengan mereka sampai bila-bila.

“Rakyat bila sampai masa dia bosan dan dia mula mencari antithesis kepada apa yang berlaku, antithesis kepada kecelaruan politik yang berlaku ini ialah satu parti yang berprinsip, yang berani untuk masuk sendiri dan kekal dengan prinsip sendiri,” jelasnya yang juga bekas timbalan presiden PKR.

DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi dibubarkan pada 23 Sept selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 Nov.

Seramai 687,697 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.

Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung pada 20 Nov 2021, BN memenangi 21 kerusi DUN, dengan Umno menguasai 18 kerusi, MCA (dua) dan MIC (satu), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

PH pula memenangi lima kerusi menerusi DAP (empat) dan Amanah (satu), manakala PN memperoleh dua kerusi.

2 beranak disyaki kasari penguat kuasa MPM direman dua hari

Alias Abd Rani
Gambar tular seorang penguat kuasa MPM terjatuh selepas bergelut dengan wanita ketika operasi menangkap anjing. Foto tular
MUAR: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap dua beranak yang disyaki mengasari anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika menjalankan operasi menangkap anjing liar di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua beranak berusia 24 dan 52 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awan dan Seksyen 353 kanun sama, menggunakan kekerasan jenayah.

Menurut Raiz Mukhliz, dua beranak itu juga direman di Mahkamah Majistret Muar selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 5.45 pagi kelmarin ketika anggota MPM menjalankan operasi bersepadu menangkap anjing liar di kawasan berkenaan.

“Tindakan itu mencetuskan pergelutan apabila seorang anggota penguat kuasa wanita cuba meleraikan situasi itu,” katanya.

Menurutnya, anggota penguat kuasa MPM berusia 45 tahun itu cedera di lengan kiri berdasarkan pemeriksaan perubatan dijalankan.

Tambahnya, dua beranak itu kemudiannya ditahan pada hari kejadian di rumah mereka di Bukit Pasir.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua beranak itu negatif bahan terlarang. Polis masih menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan saksi berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa ketika operasi penguatkuasaan dijalankan serta tidak bertindak menghalang penjawat awam menjalankan tugas mereka,” katanya.

Disyaki terlibat pergaduhan di Ampang Jaya, 17 individu ditahan

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan 17 individu bagi membantu siasatan insiden pergaduhan di kawasan Flat Lembah Jaya, Ampang Jaya, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian di Jalan 3, Lembah Jaya Utara itu pada 2.07 pagi.

"Anggota peronda telah diarahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan, bagaimanapun mendapati tiada pergaduhan berlaku.

"Namun, terdapat sekumpulan orang awam berkumpul di lokasi dan bertindak menahan 17 individu bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan semua yang ditahan direman antara dua hingga ke tiga hari.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

Terdahulu tular dua video di media sosial memaparkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan tempat letak kereta flat berkenaan.

-- BERNAMA

Penduduk lapah jerung paus yang terdampar di pantai

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan penduduk tempatan menarik jerung paus itu ke darat sebelum mengambil dagingnya. - Lambe Turah
JAKARTA – Penduduk di Kabupaten Sikka, wilayah Nusa Tenggara Timur menerima kecaman orang ramai kerana dirakam memotong seekor jerung paus yang terdampar di sebuah pantai, lapor laman berita Lambe Turah. 

Jerung paus itu ditemukan terdampar di Pantai Lowolabo di Desa Lowolabo, baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan penduduk tempatan serta nelayan menarik haiwan marin itu ke darat menggunakan tali sebelum mengambil isinya dan diagihkan kepada orang ramai. 

Pegawai tempatan bernama Fransiskus Ignasius Sino berkata, jerung tersebut masih mempunyai peluang yang cerah untuk hidup jika ia menerima bantuan yang sewajarnya. 

“Ia masih boleh diselamatkan tetapi kekurangan pemahaman orang ramai, mereka mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.

“Kami akan mengambil pendekatan yang sesuai terhadap individu yang terlibat, salah satunya adalah dengan memberi amaran,” kata Fransiskus. 

Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk segera melaporkan sebarang haiwan marin yang terdampar supaya ia dapat dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP). – AGENSI

3 budak minta tolong bomba, wang belanja RM2 tersangkut pada basikal

KOSMO

JAKARTA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Jakarta Timur terkejut apabila diminta oleh tiga kanak-kanak lelaki untuk ‘menyelamatkan’ wang belanja 10,000 rupiah (RM2) yang tersangkut pada pemegang (handle) basikal, lapor laman berita Lambe Turah. 

Ketiga-tiga budak lelaki itu datang ke Balai Bomba Mantraman selepas wang saku milik salah seorang daripada mereka tersangkut pada pemegang basikal. 

Pasukan bomba segera bertindak balas selepas menerima aduan tersebut dan wang bernominasi 10,000 rupiah itu berjaya dikeluarkan tanpa rosak. 

Jabatan Bomba dan Penyelamat Jakarta Timur memberi nasihat kepada kanak-kanak untuk sentiasa melindungi wang saku mereka. 

“Jabatan Bomba Jakarta Timur sentiasa bersedia untuk sebarang aduan tanpa mengira tahap kepentingannya,” katanya di media sosial. – AGENSI

Renjat ayam hingga mati, premis di Puchong didapati sembelih bangkai

Bernama

SHAH ALAM: Premis yang dipercayai menjadi lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah di Puchong didapati menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dalam proses pengendalian ayam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Salehuddin Saidin berkata, pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik dipercayai digunakan terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum melalui proses penyembelihan.

“Siasatan awal mendapati premis itu menggunakan kaedah ‘stunning’ (dan) ayam didapati mati sebelum disembelih. Ini seolah-olah mereka menyembelih bangkai dan bukan lagi ayam hidup seperti mana diperlukan mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.

Salehuddin berkata demikian ketika ditemui pada Program Deklarasi Fundamental Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau berkata, siasatan di premis itu tengah malam tadi diketuai Jais dan melibatkan polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Menurutnya, keadaan itu jelas menimbulkan keraguan terhadap pematuhan hukum syarak dan status halal produk ayam diproses yang menjadi fokus utama siasatan pihak berkuasa.

Salehuddin berkata, siasatan awal mendapati pusat penyembelihan yang beroperasi dari 2004 itu dipercayai dimiliki individu beragama Islam dan membekalkan ayam diproses kepada restoran dimiliki umat Islam.

“Perbuatan mematikan ayam sebelum disembelih adalah perbuatan amat tidak bertanggungjawab. Kita akan pastikan tindakan tegas diambil,” katanya.

“Syarikat telah beroperasi lebih 20 tahun, bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dan mengapa mereka begitu mudah memperdayakan orang Islam.”

Susulan dapatan itu, Salehuddin berkata, pihak berkuasa telah mengarahkan penutupan premis kilang tersebut selama dua minggu di bawah peruntukan kesihatan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Beliau menggesa pemilik restoran yang menerima bekalan daripada syarikat itu agar menghentikan penggunaan produk ayamnya serta-merta dan melaporkan sebarang maklumat meragukan kepada Jais, Jakim atau polis.

“Saya juga menyeru umat Islam serta pemilik restoran dan pengusaha makanan apabila mendapatkan bekalan ayam, semak dari mana sumbernya kerana mereka perlu memastikan makanan halal untuk umat Islam,” katanya.

Terdahulu, Jais merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Op Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong pada 12.40 tengah malam tadi.

Anggota polis direman terima wang RM3,000 Oleh

NOR AINNA HAMZAH
Suspek dibawa untuk proses permohonan reman di Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah RM3,000. Foto IHSAN SPRM
SEREMBAN – Seorang anggota polis direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM3,000 daripada pasangan suami isteri sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung kes gaduh membabitkan ahli keluarga mereka.

Perintah reman sehingga 3 November ini dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 10 malam semalam di sebuah ibu pejabat polis di negeri ini.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah itu kelmarin ketika menyiasat kes membabitkan pasangan suami isteri di pejabatnya.

Wang itu dipercayai sebagai balasan supaya suspek tidak mengambil tindakan terhadap kes pergaduhan yang melibatkan ahli keluarga pasangan berkenaan.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Bila agaknya masalah pendatang haram ni nak selesai: 181 PATI ditahan di Pasar Raja Bot

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Seramai 181 warga asing disyaki Pati ditahan dalam Op Mega di Pasar Raja Bot di Chow Kit, Kuala Lumpur hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Seramai 181 warga asing disyaki Pati ditahan dalam Op Mega di Pasar Raja Bot di Chow Kit, Kuala Lumpur hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil 
Kuala Lumpur: Suasana sekitar Pasar Raja Bot di Chow Kit, di sini, yang menjadi tumpuan warga asing terutama dari Indonesia bertukar kecoh apabila kira-kira 200 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) mengepung kawasan itu.

Timbalan Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan Ops Mega Bersepadu itu bermula pada 9.40 pagi menyaksikan 181 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, lokasi itu dikenal pasti sebagai antara 224 kawasan panas di seluruh negara yang menjadi tumpuan PATI terutama dari Indonesia.

Katanya, warga asing yang ditahan itu membabitkan 106 lelaki, 41 wanita serta kanak-kanak warga Indonesia, lelaki Bangladesh (20), lelaki India (3), lelaki Nepal (5), lelaki Pakistan (1) dan empat dewasa serta seorang kanak-kanak daripada lain-lain kewarganegaraan.

"Keseluruhan individu ditahan terdiri daripada 136 lelaki dan 45 wanita berusia 10 hingga 55 tahun, mereka dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Menurutnya, operasi bersepadu itu membabitkan 264 pegawai dan anggota daripada JIM Kuala Lumpur, JIM Perak, JIM Pahang, JIM Melaka, JIM Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, secara keseluruhannya seramai 512 individu diperiksa dalam operasi berkenaan.

"Pelbagai cara digunakan warga asing termasuk menyorok di atas bumbung bagi mengelak ditahan, namun penggunaan dron membolehkan mereka dikesan," katanya.

Wartawan yang mengikuti operasi sempat merakam pelbagai gelagat dan kerenah warga asing ketika cuba melarikan diri termasuk memberikan 1,001 alasan tidak munasabah ketika diberkas.

Antara alasan yang paling kerap diberikan membabitkan mereka yang tiada dokumen perjalanan sah bagi mengelak ditahan termasuk, 'datang beli ikan', 'beli makanan sahaja' dan 'jumpa kawan'.

Pada masa sama, ada juga warga asing yang memiliki dokumen perjalanan sah namun melarikan diri dan bersembunyi kerana panik.

Petrol campur air: Stesen minyak di Sungai Buloh disiasat

MEDIA MULIA
​SUNGAI BULOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan memulakan siasatan ke atas sebuah stesen minyak di daerah ini yang didakwa menjual petrol bercampur air pada 19 Oktober lalu.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, sepasukan pegawai dihantar ke premis tersebut pada hari sama bagi menyiasat aduan tersebut.

​”Sebanyak tiga sampel petrol RON95 diambil dari pam untuk dihantar untuk tujuan analisis oleh Jabatan Kimia bagi mengesahkan sekiranya wujud campuran seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Muhamad Hanif berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan satu kertas inkuiri dibuka bagi menyiasat perkara berkenaan.

​Katanya, premis tersebut turut diberikan nasihat dan amaran supaya sentiasa memastikan kualiti petrol serta mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan.

​Terdahulu, tular di media sosial berhubung satu hantaran dimuat naik pengguna Threads yang mendakwa membeli petrol RON95 di pam minyak yang bercampur dengan air.

Sebelum ini Muhamad Hanif dilaporkan berkata, pihaknya menerima sebanyak 10 aduan berhubung isu minyak petrol disyaki bercampur air di tujuh pam minyak di Selangor.

PRN Melaka: Senarai penuh calon yang bertanding dalam pilihan raya

N1. Kuala Linggi

Rosli Abdullah (BN)
Mukhlisul Mubin Julasapiyah (PH)
Dr Farhana Hamzah (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Rosli Abdullah (BN) – 3,554 undi (majoriti 1,836 undi).

N2. Tanjung Bidara

Ab Rauf Yusoh (BN)
Yunazri Mustamiri (PH)

Pemenang PRN 2021: Ab Rauf Yusoh (BN) – 3,559 undi (majoriti 364 undi).

N3. Ayer Limau

Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN)
Jaimi Dimon (PH)

Pemenang PRN 2021: Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN) – 3,838 undi (majoriti 1,085 undi).

N4. Lendu

Abdul Hakim Abdul Wahid (BN)
Nazri Ramli (Bersatu)

Pemenang PRN 2021: Sulaiman Ali (BN) – 4,486 undi (majoriti 3,104 undi).

N5. Taboh Naning

Zulkiflee Zin (BN)
Junainah Sahat (PH)

Pemenang PRN 2021: Zulkiflee Zin (BN) – 3,170 undi (majoriti 1,825 undi).

N6. Rembia

Ahmad Norazril Aziz (BN)
Khuzairie Kamal Kannan (PH)
Aman Akil Abdul Talib (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Jailani Khamis (BN) – 4,224 undi (majoriti 860 undi).

N7. Gadek

S Nadarajah (BN)
Jegasilan K (PH)
B Laveen (Bersama)
Laila Norinda Maon (Putra)

Pemenang PRN 2021: VP Shanmugam (BN) – 3,022 undi (majoriti 559 undi).

N8. Machap Jaya

Ngwe Hee Sem (BN)
Ginie Lim (PH)
B Prasanth Kumar (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Ngwe Hee Sem (BN) – 3,732 undi (majoriti 938 undi).

N9. Durian Tunggal

Mustafa Musa (BN)
Ashraf Mukhlis Minghat (PH)

Pemenang PRN 2021: Zahari Abdul Khalil (BN) – 3,663 undi (majoriti 559 undi).

N10. Asahan

Fairul Nizam Roslan (BN)
P Denesh (PH)

Pemenang PRN 2021: Fairul Nizam Roslan (BN) – 5,659 undi (majoriti 2,993 undi).

N11. Sungai Udang

Rais Yasin (BN)
Abdullah Mahadi (Bersatu)
Ridzuan Abdul Rahman (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Dr Aleef Yusof (PN) – 6,789 undi (majoriti 530 undi).

N12. Pantai Kundor

Tuminah Kadi (BN)
Asmah Samat (Bersatu)

Pemenang PRN 2021: Tuminah Kadi (BN) – 3,960 undi (majoriti 827 undi).

N13. Paya Rumput

Azman Abidin (PH)
Rafie Ahmad (PN)
Abdul Rashid Abu Bakar (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Rais Yasin (BN) – 6,830 undi (majoriti 629 undi).

N14. Kelebang

Lim Ban Hong (BN)
Farzana Hayani Nasir (PH)
Ali Mohamad (Bersatu)
Young Jie Yu (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Lim Ban Hong (BN) – 5,028 undi (majoriti 876 undi).

N15. Pengkalan Batu

Siti Aisyah Mahmood (BN)
Jason Tze-Xi Nathan (PH)
Norhizam Hassan Baktee (Bersatu)
Goh Han Koon (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Kalsom Nordin (BN) – 4,839 undi (majoriti 131 undi).

N16. Ayer Keroh

Kerk Chee Yee (PH)
Michael Gan (PN)
Hamnaim Mohamad (Bersatu)
Muhaimin Lau Abdullah (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Kerk Chee Yee (PH) – 9,459 undi (majoriti 5,624 undi).

N17. Bukit Katil

Adly Zahari (PH)
Ridzuan Sarif (PN)
Aliza Che Amran (Bersama)
Abu Bakar Sabudin (Bebas)

Pemenang PRN 2021: Adly Zahari (PH) – 6,805 undi (majoriti 1,057 undi).

N18. Ayer Molek

Ridhwan Ali (BN)
Hakimin Mokhtar (PH)

Pemenang PRN 2021: Rahmad Mariman (BN) – 6,348 undi (majoriti 2,802 undi).

N19. Kesidang

Allex Seah (PH)
Albert Kok (PN)
Dr Bryan Kek (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Allex Seah (PH) – 14,769 undi (majoriti 10,237 undi).

N20. Kota Laksamana

Melvin Chua (BN)
Low Chee Leong (PH)
Ethan Lim (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Low Chee Leong (PH) – 13,508 undi (majoriti 11,494 undi).

N21. Duyong

Noor Helmy Abdul Halem (BN)
Poo Long Suan (PH)

Pemenang PRN 2021: Noor Helmy Abdul Halem (BN) – 4,684 undi (majoriti 200 undi).

N22. Bandar Hilir

Jasmine Lok (BN)
Leng Chau Yen (PH)
Nor Rashidi Ab Jalil (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Leng Chau Yen (PH) – 9,091 undi (majoriti 7,778 undi).

N23. Telok Mas

Abdul Razak Abdul Rahman (BN)
Mohamad Jaafar (PH)
Hazwan Mustafa (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Abdul Razak Abdul Rahman (BN) – 6,052 undi (majoriti 2,076 undi).

N24. Bemban

Dr Yadzil Yaakub (PN)
Rabaie Ab Hamid (Bersatu)
Dr Solehin Saleh (Bersama)
Abd Halim Said (Bebas)

Pemenang PRN 2021: Dr Yadzil Yaakub (PN) – 4,211 undi (majoriti 328 undi).

N25. Rim

Khaidiriah Abu Zahar (BN)
Esma Eazreen Husin (PH)

Pemenang PRN 2021: Khaidiriah Abu Zahar (BN) – 4,037 undi (majoriti 1,327 undi).

N26. Serkam

Azman Abdullah (BN)
Faiq Azman (PH)
Saffie Yasan (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Zaidi Attan (BN) – 5,038 undi (majoriti 79 undi).

N27. Merlimau

Dr Akmal Saleh (BN)
Rahayu Hamzah (PH)

Pemenang PRN 2021: Dr Akmal Saleh (BN) – 5,633 undi (majoriti 3,248 undi).

N28. Sungai Rambai

Jezlee Pit (BN)
Aminuddin Abdul Jalil (PH)
Norrizan Jantan (Bebas)

Pemenang PRN 2021: Siti Faizah Abdul Aziz (BN) – 3,801 undi (majoriti 1,137 undi).

Wanita lumpuh ditembak pada 1997 dianugerah RM350,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas pendandan rambut yang lumpuh akibat insiden tembakan melibatkan isteri seorang pegawai kanan polis 29 tahun lalu dianugerahkan RM350,000 dalam penghakiman persetujuan direkodkan Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Pesuruhjaya Kehakiman Budiman Lutfi Mohamed turut membatalkan penghakiman persetujuan dimeterai pada 2007 dalam saman terdahulu melibatkan plaintif dan pasangan tersebut.

“Penyelesaian ini dicapai tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh mana-mana pihak dalam perkara ini.

“Perjanjian (2007) melalui penghakiman persetujuan ketika itu dengan ini dibatalkan berkuat kuasa serta-merta dan tanpa kebebasan untuk mana-mana pihak memfailkan semula,” katanya pada Rabu.

Firma guaman yang menguruskan penyelesaian 2007 tersebut, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman itu, bersetuju membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada plaintif yang berusia 58 tahun.

Peguam plaintif, M Manoharan, berkata penghakiman persetujuan 2007 menghendaki pasangan itu membayar RM500 sebulan kepada anak guamnya. Katanya, jumlah RM114,000 telah dibayar di bawah pengaturan tersebut.

Dalam dokumen mahkamah dilihat FMT, plaintif mendakwa dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas satu das tembakan dilepaskan ketika berlaku pertengkaran, di sebuah apartmen di Johor Bahru pada 28 Dis 1997.

Pada 2019, plaintif memohon peningkatan jumlah pembayaran bulanan daripada pasangan berkenaan kerana menganggap jumlah itu tidak mencukupi, mengambil kira kos perubatan yang kian meningkat, namun permohonannya ditolak.

Dia memfailkan semula saman dua tahun kemudian bagi menuntut ganti rugi RM2.8 juta.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada mulanya membatalkan saman terbabit.

Namun, Mahkamah Rayuan mengembalikan semula saman itu pada 2024 dan memerintahkan kes tersebut diteruskan ke peringkat perbicaraan.

FMT tidak mendedahkan identiti semua pihak yang terlibat.

Plaintif diwakili M Manoharan dan M Hariharan, manakala G Ravi dan Aida Hassan bertindak bagi pihak defendan. S Gunasegaran mewakili firma guaman berkenaan.

Nik Abduh dibalun netizen

‘Harap asah pedangnya tak lama’, Nik Abduh gembira makan bersama Eric See-To
Harapandaily

Senator Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkongsi gambar pertemuannya dengan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi berhubung penggunaan kalimah al-Quran.

Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok itu dilihat tersenyum ketika menikmati hidangan bersama Eric di sebuah restoran.

“Gembira bersama Dato Eric hari ini. Harap saya, asah pedangnya tak lama,” tulis Nik Abduh ringkas menerusi hantaran berkenaan.

Bagaimanapun, ungkapan mengenai ‘asah pedang’ itu mengundang pelbagai tafsiran dan sindiran dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk mereka yang mempersoalkan hubungan rapat kedua-duanya.

Pengguna Facebook, Mohd Noh Hakim menyindir, “Demi sesuap nasi apa saja ditunggang,” manakala Rendy Ismail pula menulis, “Mengaji dari Eric rupanya…”

Tidak kurang juga yang mengaitkan pertemuan itu dengan pendirian Nik Abduh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih menghormati Eric dari PMX,” sindir Nasrullah Mohamed Gani.

Sementara itu, Daniel Taboh Nyala secara sinis menyifatkan pertemuan itu sebagai “Sifu bersama anak muridnya”, sementara Wan Omar mempersoalkan, “Pedang apa pulak ni. Pelik-pelik ustaz jadian zaman sekarang.”

‘Air mani terbuang’

Malah, ada netizen yang kembali mengungkit ungkapan kontroversi “air mani terbuang” yang pernah digunakan Nik Abduh dalam tulisannya pada 2018 ketika berlaku perbezaan pendirian politik dengan abang kandungnya, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

“Baru tahu siapa air mani yang terbuang,” sindir pengguna dikenali sebagai Nik Ahmad Gomo, manakala Abu Mukhlis turut mengaitkan pertemuan itu dengan ungkapan berkenaan.

Muhamad Ibrahim pula membandingkan perwatakan Nik Abduh dengan Nik Omar yang menurutnya lebih lemah lembut, merendah diri dan menggunakan bahasa yang baik meskipun mempunyai pendirian politik berbeza.

Untuk rekod, Nik Abduh pernah menulis ungkapan “Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina” ketika mengulas keputusan Nik Omar bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pertemuan Nik Abduh dengan Eric kali ini turut menarik perhatian kerana beliau sebelum ini secara terbuka mempertahankan bekas pegawai komunikasi BN tersebut susulan kontroversi perkataan ‘lighad’ yang digunakan Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.

Eric ketika itu dikecam selepas mengaitkan perkataan ‘lighad’ dengan ‘liwat’ dalam ulasan politiknya, sehingga mengundang bantahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Nik Abduh kemudiannya tampil mempertahankan Eric dengan menyifatkan kontroversi berkenaan sebagai salah faham yang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum seseorang tanpa memahami niat sebenar.

“Semua orang tahu dia nak bergurau, sindiran politik. Tanpa dia sedar, itulah yang perlu kita pegang bahawa dia tidak berniat langsung menghina.

“Jadi, kita jangan menzalimi dia,” katanya dalam satu rakaman audio siar yang dilaporkan media pada 13 Oktober lalu.

Tular lelaki patah kaki dilanggar, kes disiasat cuba membunuh

FMT Reporters

Polis berkata kejadian disyaki berpunca perselisihan faham akibat wang.
Tular sejak semalam video seorang lelaki yang patah kaki dilanggar sebuah kereta. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kejadian tular sebuah kereta melanggar seorang lelaki yang patah kaki dipercayai berlaku disebabkan isu pinjaman, kata polis.

Ketua Polis Iskandar Puteri Ramlan Radin Taha, berkata perselisihan faham antara dua pihak saling mengenali itu menjurus pergaduhan fizikal dengan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Katanya, tiga individu terdiri seorang lelaki dan dua wanita berusia 34 hingga 53 tahun ditahan selepas laporan dibuat semalam dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai.

“Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami patah kaki kanan susulan insiden melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang individu terlibat.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat.

Saringan air kencing terhadap tiga suspek berkenaan mendapati negatif dadah dengan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Ramlan berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Isu Tabung Haji tak cukup tekan Umno berubah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Isu salah urus Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka tidak memberi kesan besar kepada undi Melayu, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap Umno untuk membuktikan parti itu sudah berubah menjelang PRN Melaka, kata penganalisis.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Umno sepatutnya menjawab persoalan mengenai kelemahan pengurusan TH, namun tuntutan akauntabiliti tidak semestinya mempengaruhi pilihan pengundi.

“Pada tahap ini, Umno nampaknya tidak begitu mengambil berat untuk menampilkan dirinya sebagai parti yang sudah berubah, terutama ketika sokongan kelihatan beransur kembali,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jurang antara prinsip dan tindakan boleh menjejaskan kepercayaan pengundi, tetapi tidak menjangkakan isu itu memberi kesan besar kepada PRN Melaka atau PRU16.

“Isu ini nampaknya tidak begitu penting dalam perbincangan politik sekarang. Malangnya, ia dilayan seperti salah satu daripada banyak skandal yang pernah kita hadapi,” katanya.

Beliau berkata, tindakan terhadap individu mungkin memadai dari sudut politik, sedangkan penyelesaian menyeluruh memerlukan penelitian terhadap kelemahan sistem dan kegagalan pengawasan yang membolehkan masalah berlaku.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, yang didedahkan pada 29 Julai, mengenal pasti kelemahan tadbir urus serta campur tangan politik dalam pengurusan dan agihan keuntungan institusi itu.

Dalam wawancara dilaporkan pada 25 Okt, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan kekecewaan terhadap salah urus TH, sambil menegaskan dana bagi tujuan keagamaan mesti diurus dengan akauntabiliti dan tanggungjawab.

Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata belum terdapat bukti tinjauan khusus yang mencukupi untuk mengukur kesan isu tersebut terhadap pengundi di Melaka atau peringkat nasional.

Katanya, pengundi turut menilai prestasi ekonomi, kepimpinan dan pembangunan setempat, namun Umno tetap bertanggungjawab menjelaskan kelemahan pengawasan, pelantikan dan perlindungan institusi.

“Mengakui kelemahan tadbir urus terdahulu tidak bermakna menerima kesalahan secara kolektif. Tanggungjawab politik perlu dibezakan daripada liabiliti jenayah,” katanya.

Katanya, pembaharuan perlu dibuktikan melalui pelantikan profesional, pengawasan bebas dan pelaporan kewangan telus, bukan sekadar pengisytiharan parti sudah berubah.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting pula berkata, kesan salah urus TH tidak semudah kenaikan harga barang untuk dirasai secara langsung, manakala identiti, kesetiaan parti dan kepentingan setempat turut mempengaruhi pilihan pengundi.

Katanya, kerajaan semasa juga perlu membuktikan pembaikan melalui pemulihan aset, ketelusan kewangan dan tindakan terhadap pihak bertanggungjawab, bukan sekadar menyalahkan pentadbiran terdahulu.

“Bagi saya, ujian sebenar Umno bukan sama ada rakyat sudah melupakan skandal lama, tetapi sama ada Umno berani membersihkan rumahnya sendiri walaupun rakyat tidak lagi menuntutnya,” katanya.

Lelaki bersenjata tajam larikan barang kemas bernilai RM300,000 di Damansara Damai

Nor Azizah Mokhtar
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang bersenjatakan senjata tajam, melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM300,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Damansara Damai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 1.19 tengah hari.

Katanya, suspek melarikan barang kemas selepas menyamun premis berkenaan menggunakan senjata tajam.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan masih diteruskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Remaja dipenjara lapan tahun kerana simbah asid terhadap pelancong Singapura

Agensi

Hong Kong: Remaja yang mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap dihukum penjara lapan tahun selepas menyimbah asid ke arah seorang pelancong warga Singapura.

Serangan itu didakwa dilakukan dengan bayaran upah sebanyak $HK10,000 (kira-kira RM5,100), lapor South China Morning Post.

Hakim Mahkamah Tinggi, Andrew Chan Hing-wai semalam berkata, tertuduh, Anson Kew, 19, meninggalkan kesan sepanjang hayat terhadap mangsa, Jiang Wen, 36, yang mengalami kecederaan melecur tahap kedua dalam serangan pada 9 Jun 2025.

Kew dipercayai melakukan perbuatan itu ketika wanita berkenaan mahu memasuki kenderaan di Wan Chai. Mangsa menjerit kesakitan dan rebah selepas wajah serta kakinya seperti terbakar.

Kew yang berpakaian hitam serta memakai topi dan pelitup muka ketika itu kemudian melarikan diri.

Menurut laporan The Standard, cecair yang digunakan ialah asid sulfurik dengan kepekatan hampir 70 peratus.

Serangan itu menyebabkan Jiang dirawat di hospital selama 61 hari dan terpaksa menjalani beberapa prosedur untuk membuang tisu rosak serta cantuman kulit sebelum pulang ke Singapura bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa turut didiagnosis mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) dan mengalami parut kekal. Laporan perubatan menunjukkan kira-kira 10 hingga 11 peratus permukaan tubuhnya melecur terutama pada muka dan anggota badan.

Bukti di mahkamah menunjukkan Kew meninjau lokasi serangan di Burrows Street, Wan Chai beberapa hari sebelum kejadian. Walaupun akhirnya menyerah diri kepada polis, dia tidak menjelaskan sebab menyasarkan mangsa atau sama ada mengenalinya.
-hmetro

Tak tahan bunyi penggera, lelaki bakar kereta jiran

Agensi
TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan Gohel melihat kereta jirannya yang terbakar sebelum meninggalkan tempat kejadian.
TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan Gohel melihat kereta jirannya yang terbakar sebelum meninggalkan tempat kejadian.
Ahmedabad: Berang dengan penggera kereta jirannya yang sering berbunyi setiap kali orang melintas berhampiran kenderaan itu, seorang lelaki bertindak membakarnya dalam kejadian di daerah Morbi, wilayah Gujarat.

Perbuatan lelaki dikenali sebagai Shikhar Jayesh Gohel itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman berkenaan dikongsi pihak polis bagi membantu siasatan.

Kejadian berlaku di kawasan Waghpara membabitkan kereta jenis Maruti Swift milik seorang peguam, Pushpa Bhatt, 63, dan suaminya, Kaushik Bhatt.

Rakaman CCTV menunjukkan suspek dikenali Gohel tiba dengan menaiki sebuah kereta pada jam 4.39 petang Rabu lalu sebelum beberapa kali berlegar berhampiran kenderaan pasangan berkenaan sambil memegang telefon bimbit.

Dia kemudian dilihat membawa bekas plastik berisi cecair sebelum menyimbah kandungannya ke atas bonet dan cermin hadapan kereta berkenaan.

Pada jam 4.44 petang, Gohel menyalakan mancis sebelum mencampakkannya ke arah kereta itu sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan terbakar.

Rakaman turut menunjukkan lelaki terbabit memerhatikan kereta itu terbakar dan kedengaran jeritan seorang wanita dari rumah berhampiran. Dia hanya meninggalkan lokasi terbabit pada jam 4.48 petang.

Timbalan Superintendan Polis Morbi, J M Aal dalam kenyataan video yang dilapor The Indian Express berkata, suspek menggunakan cecair mudah terbakar untuk membakar kereta itu, dipercayai kerana berang penggera sering berbunyi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bomba Morbi, Devendrasinh Jadeja berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 5 petang dan kebakaran tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Bagaimanapun, kenderaan itu mengalami kemusnahan dengan kerugian dianggarkan 350,000 rupee India (kira-kira RM15,000).
-hmetro

Padah buat hantaran jelik terhadap Tuanku Muhriz, dua diheret ke mahkamah, seorang dah hilang kerja

Harapandaily
Gara-gara membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di media sosial, dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan Ashadi Zul’izzi Zainal Abidin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.

Abdullah Aidid yang menggunakan akaun TikTok untuk membuat hantaran berkenaan merayu supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah kerana kini tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurutnya, dia telah dibuang kerja sejak tiga bulan lalu susulan kes tersebut dan terpaksa bergantung kepada kerja sambilan di bengkel milik rakannya untuk meneruskan kehidupan.

“Buat masa ini, saya tiada pendapatan tetap dan hanya mengambil upah bekerja di bengkel rakan jika diperlukan,” katanya ketika mengemukakan rayuan di hadapan hakim.

Pendapatan tidak menentu

Sementara itu, Ashadi Zul’izzi yang bekerja sebagai pereka grafik sambilan turut memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana pendapatannya tidak menentu.

“Pendapatan saya bergantung kepada tempahan pelanggan. Saya mohon jumlah jaminan rendah,” katanya, dipetik BH.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Aidid didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran bersifat jelik melampau terhadap Tuanku Muhriz menggunakan akaun TikTok bernama “rookiebenz_albenzauto”.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang pada jam 11.27 malam, 1 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan berasingan, Ashadi Zul’izzi pula didakwa melakukan kesalahan sama menerusi akaun Threads “@razakahmad725” pada jam 2.39 petang, 4 Ogos lalu.

Kedua-dua hantaran berkenaan kemudian dilihat oleh pengadu di Jalan Dutamas Seroja 5, Taman Segambut, masing-masing pada 4 dan 5 Ogos lalu.

Susulan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya berdepan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Peruntukan tersebut juga membolehkan denda tambahan sehingga RM5,000 dikenakan bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, selepas mendengar rayuan kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam, mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM12,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

Solat Jumaat tergendala: JHEAINS ambil alih sementara pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Jelebu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan mengambil alih sementara pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang susulan insiden solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan di masjid berkenaan, hari ini.

Susulan kejadian itu, jemaah terpaksa menunaikan solat Zuhur sebagai ganti bagi solat Jumaat.

JHEAINS dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya tidak pernah menerima notis peletakan jawatan secara bertulis daripada Imam 1 masjid berkenaan, sebaliknya hanya menerima makluman secara lisan berkenaan hasrat beliau untuk berbuat demikian.

Menurut kenyataan itu, individu berkenaan juga masih menerima elaun bagi jawatan imam yang disandangnya.

Berikutan insiden itu, pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang akan diambil alih sementara oleh JHEAINS Daerah Jelebu bagi memastikan pengurusan masjid dan pelaksanaan ibadah berjalan lancar serta kepentingan jemaah terus terpelihara.

"JHEAINS memandang serius perkara ini dan akan menjalankan penelitian lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.

"Jabatan ini juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing," menurut kenyataan itu.

JHEAINS turut menegaskan bahawa segala tindakan pentadbiran dilaksanakan berdasarkan amanah dan ketetapan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan menegaskan pendiriannya untuk kekal berkecuali daripada kepentingan politik kepartian serta berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, integriti dan etika perkhidmatan awam.

JHEAINS turut komited menambah baik prosedur pentadbiran serta mengingatkan semua jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di Negeri Sembilan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa agama serta peraturan ditetapkan.

"Kelancaran pelaksanaan ibadah, ketenteraman awam, pemeliharaan kesucian institusi masjid serta kepentingan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.

"Tiada mana-mana individu, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh, terkecuali daripada mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.

Terengganu: Warga emas maut digilis bas ketika melintas jalan

Nazdy Harun
Warga emas maut dalam kemalangan berhampiran laluan masuk Terminal Bas MBKT.- Foto PDRM
KUALA TERENGGANU: Warga emas maut digilis sebuah bas ketika melintas jalan berhampiran laluan masuk Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Jalan Masjid Abidin, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Mat Ghani Mamat, 77, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan jam 12.28 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika bas berkenaan sedang membelok ke kanan untuk memasuki laluan terminal.

Beliau berkata, secara tiba-tiba mangsa melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu bas berusia 66 tahun itu tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa.

“Bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Besut menuju ke Terminal Bas MBKT, manakala mangsa pula datang dari arah sebuah kedai makan menuju ke terminal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kejadian berlaku di jalan berselekoh, manakala bas terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

Bapa tertinggal bayi atas bumbung kereta bergerak

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan bayi itu ditinggalkan di atas bumbung sebuah kereta yang sedang bergerak baru-baru ini. - Newsflash
BANDAR RAYA MEXICO – Pengguna jalan raya di timur laut Mexico terkejut selepas melihat seorang bayi ditinggalkan di atas bumbung kereta yang dipandu oleh seorang lelaki, lapor akhbar The Sun UK. 

Kejadian berlaku di jalan Avila Camacho di Torreon, Coahuila, baru-baru ini. 

Rakaman video kejadian menunjukkan bayi yang berada di dalam pembawa bayi (carrier) itu terletak di atas bumbung kereta yang sedang bergerak, dengan orang ramai cuba memberi amaran kepada pemandu. 

Seorang individu dilihat menjerit dengan kuat dan berulang kali membunyikan hon untuk memberitahu lelaki berkenaan bahawa bayi tersebut berada dalam bahaya. 

Selepas beberapa kali diberi amaran, pemandu terbabit menghentikan kenderaannya.

Dia dilihat cuba berkonfrontasi dengan individu berkenaan sebelum menyedari ‘carrier’ berada di atas bumbung kereta. 

Dia kemudian keluar dari kereta, mengalihkan pembawa bayi itu lalu diletakkan di tempat duduk belakang. 

Pemandu itu juga cuba meminta individu yang menyelamatkan bayi tersebut untuk memadamkan rakaman. 

Masih belum diketahui sama ada pihak berkuasa telah membuka siasatan mengenai kejadian itu. – AGENSI

Ayam direndam air panas sampai mati, sembelihan 6.5 tan dirampas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lebih 6.5 tan ayam mentah disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut syarak dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong. 

Turut ditahan dalam Ops Taring Chiller ialah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan dipercayai terlibat aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Mohd Zaki Ashar, berkata serbuan pada 12.40 tengah malam itu mendapati premis terbabit disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan, dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal sah.

Katanya, pemeriksaan awal menemukan proses pengendalian dan penyembelihan ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan,” katanya menurut Bernama.

Operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Kesihatan Petaling.

“Semua 6.5 tan ayam mentah di dalam 468 bungkus plastik itu dianggar bernilai RM85,400.

“Bekalan diperoleh dari beberapa ladang ayam di sekitar Sepang manakala ayam yang telah diproses dipercayai diedar kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya sekitar Lembah Klang.”

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Semua warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mahu putus hubungan punca wanita disimbah asid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita melecur dipercayai disimbah cecair mengandungi asid oleh kekasihnya kerana mahu memutuskan hubungan dengan suspek.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10 pagi Selasa lalu membabitkan mangsa berusia 20-an yang bekerja di sebuah kedai makan.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shamsudin Mamat, berkata mangsa dan suspek ialah warga asing yang juga pasangan kekasih.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan apabila mangsa mahu memutuskan hubungan dengan suspek.

“Mangsa sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat melecur dipercayai terkena simbahan cecair yang disyaki asid,” katanya menurut Sinar Harian.

Jelasnya, usaha mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian giat dijalankan.

Beliau berkata, polis mengambil keterangan beberapa saksi untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Polis buka siasatan video lelaki potong kabel bawah jejambat

NURUL IZZATI ZAINI
Aksi tular seorang individu disyaki menjalankan kegiatan mencuri kabel di Bulatan Kampung Pandan, semalam.
KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan seorang lelaki disyaki memotong kabel di bawah jejambat berhampiran Bulatan Kampung Pandan, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat laporan polis selepas mengambil maklum mengenai hantaran yang tular menerusi aplikasi Threads itu.

“Untuk makluman, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah membuat laporan polis berhubung hantaran Threads berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular rakaman memaparkan seorang lelaki berada di bawah struktur jejambat sebelum dilihat menarik dan memotong kabel yang tergantung di kawasan berkenaan.

Berdasarkan hantaran pengguna media sosial terbabit, kejadian didakwa berlaku berhampiran sebuah bank di Bulatan Kampung Pandan kira-kira pukul 4.52 petang semalam.

Pemilik akaun itu kemudian memaklumkan dia melalui semula lokasi berkenaan kira-kira pukul 5.19 petang dan mendapati lelaki tersebut sudah tiada.

“Baru lalu semula 5.19 petang. Dah licin dah kabel bawah-bawah tu. 30 minit je buat kerja, tinggal kabel berjuntai.

“Siapa-siapa yang lalu nanti cubalah ambil gambar sikit,” katanya.

Rakaman tersebut turut menunjukkan lelaki berkenaan melakukan perbuatan itu secara terbuka ketika kenderaan sedang melalui kawasan berkenaan.

Di ruangan komen, pengguna media sosial rata-rata terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan yang didakwa dilakukan ketika keadaan jalan raya masih sibuk.

“Kalau semua kenderaan di situ bunyikan hon tanpa henti mesti dia bengang dan panik. Masa inilah sepatutnya korang gunakan hon,” kata Natasya.

Seorang lagi pengguna, Iliani berkata: “Terang-terang buat kerja. Patut hon kuat-kuat bagi dia terkejut.” – KOSMO! ONLINE

Wanita bersenjata kapak maut ditembak di Australia

Bernama

CANBERRA: Polis Adelaide, ibu negeri Australia Selatan, menembak mati seorang wanita bersenjatakan kapak yang didakwa mengancam pegawainya awal pagi Khamis, lapor Xinhua. 

Menurut Polis Australia Selatan, pegawainya dikerahkan ke sebuah rumah di pinggir timur bandar itu sejurus sebelum 2 pagi (waktu tempatan) selepas menerima laporan seorang wanita bersenjatakan kapak.

Setibanya di sana, pegawai terbabit didakwa diugut wanita itu. Mereka kemudiannya menggunakan pistol perenjat elektrik, namun tidak berkesan, sebelum melepaskan tembakan.

Pegawai memberikan bantuan kecemasan sehingga ambulans tiba, tetapi wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang pegawai polis cedera ringan. Detektif dari cawangan jenayah utama dan perkhidmatan siasatan dalaman melancarkan siasatan.

Cedera atau mati dibunuh? LFL sekolahkan Bukit Aman dalam kes Noorizwan

Malaysiakini

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar disekolahkan tentang mengenai perbezaan antara individu yang cedera tetapi masih hidup dengan individu yang sudah tidak 

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Rania Aljunied, berkata bahawa polis sepatutnya menyiasat kematian, Noorizwan Zulkefly, yang ditemui mati dalam tahanan polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan dengan kesalahan membunuh.

Dia berkata demikian bagi membalas kenyataan Kumar bahawa kematian itu disiasat di bawah Seksyen 331, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan.

“Pertama, Seksyen 331 ialah kesalahan cedera. Noorizwan telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rania berkata bahawa apabila kecederaan yang dilakukan dengan sengaja menyebabkan kematian, kesalahan itu bukan lagi sekadar kesalahan, sambil menambah bahawa keadaan kes tersebut menuntut siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302.

“Ia adalah pembunuhan, dan dalam kes ini syarat-syarat Seksyen 302 dipenuhi. Klasifikasi sesuatu siasatan mesti mencerminkan akibat sebenar yang berlaku.

“Menyiasat kematian sebagai ‘cedera parah’ memperlakukan seorang lelaki yang telah dibunuh seolah-olah dia masih hidup,” katanya.

Bagi menyorot apa yang disifatkannya sebagai ketidakselarian ketara dalam penerapan undang-undang, Rania membuat perbandingan dalam kes memandu dalam keadaan mabuk yang mengakibatkan kematian, apabila pemandu berdepan pertuduhan membunuh.

“Bagaimana pemandu mabuk yang secara tidak sengaja membunuh pengguna jalan raya dianggap melakukan pembunuhan, tetapi pukulan yang dilakukan dengan sengaja dan teruk oleh polis terhadap seorang tahanan sehingga menyebabkan kematian bukan pembunuhan?

“Tiada orang yang waras akan bersetuju bahawa kecederaan mengerikan yang dialami Noorizwan dan kematiannya yang berikutan itu wajar menerima pertuduhan yang lebih ringan berbanding pemandu mabuk yang membunuh pengguna jalan raya.

“Undang-undang mesti dilaksanakan secara adil dan berkadar; melakukan sebaliknya bercanggah dengan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dengan kata lain, menurut peguam itu, kes Noorizwan jauh lebih berat. Seksyen 331 hanya membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun.

“Itu bukan ukuran akauntabiliti bagi pembunuhan,” katanya.

Dia juga berkata pilihan kesalahan oleh Bukit Aman sendiri sangat bermakna kerana Seksyen 331 itu sendiri mengandaikan bahawa kecederaan parah dilakukan secara sengaja.

Dalam kata lain, polis sudah pun bertindak atas dasar bahawa seseorang telah menyebabkan kecederaan itu secara sengaja, katanya.

"Ini sama sekali tidak dapat diterima oleh keluarga. Satu-satunya klasifikasi yang boleh diterima ialah pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Apa-apa yang kurang daripada itu adalah kegagalan keadilan, dan keluarga tidak akan sekali-kali menerimanya,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Kumar sebagai berkata bahawa keputusan mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 331 dibuat susulan keterangan yang dirakam daripada pakar perunding perubatan forensik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, yang menjalankan bedah siasat dan mengesahkan kecederaan luaran pada beberapa bahagian badan Noorizwan.

Kumar berkata corak kecederaan itu konsisten dengan trauma daya tumpul dan bukan kecederaan yang dilakukan sendiri.

"Bagaimanapun, laporan lengkap bedah siasat yang mengesahkan punca kematian belum diperoleh, dan polis masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital berhubung perkara ini," katanya.

Namun Rania berhujah bahawa laporan yang belum selesai itu tidak akan mengubah apa-apa ataumengatasi dapatan pakar patologi bahawa trauma tumpul yang menyebabkan kematian Noorizwan.

Katanya, ujian toksikologi serta pemeriksaan darah dan sampel lain mungkin hanya boleh menjawab sama ada faktor lain turut menyumbang, tetapi tidak akan menyangkal dapatan tersebut.

“Ia tidak dapat mengatasi dapatan pakar patologi bahawa trauma tumpul menyebabkan kematian.

“Sesuatu siasatan sentiasa boleh diklasifikasi semula, tetapi klasifikasi yang memperkecilkan kesalahan sejak awal menentukan cara siasatan dijalankan, pegawai mana yang dilayan sebagai suspek, dan apa yang dipelihara,” katanya,

Bagi pihak keluarga Noorizwan, LFL mendesak Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, supaya mengklasifikasikan semula kes berkenaan dan menyiasat kematian itu sebagai kes bunuh.

Rania turut mengkritik sikap berdiam diri Peguam Negara yang berterusan, sambil menggesanya masuk campur bagi memastikan siasatan mematuhi bukti dan peruntukan undang-undang yang relevan.

“Sementara itu, kebisuan berterusan Peguam Negara amat mengecewakan. Kami menggesa beliau campur tangan bagi memastikan siasatan berjalan mengikut fakta dan keterangan kes serta peruntukan undang-undang yang betul.

“Noorizwan tidak terselamat daripada kecederaannya. Siasatan mesti mencerminkan hakikat itu,” kata Rania.

Banjir: Pesara KKM maut, Myvi dihanyut arus deras

NOR AINNA HAMZAH
Keadaan kereta mangsa yang dihanyutkan arus, di Rembau, malam ini. -Foto IHSAN BOMBA
REMBAU – Seorang pesara Kementerian Kesihatan (KKM) berusia 74 tahun maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya dihanyutkan arus deras ketika melalui jalan dinaiki banjir berhampiran parit bersebelahan Sungai Kampung Kundur Hulu di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, mangsa ditemukan terperangkap di dalam keretanya yang dibawa arus deras ketika banjir.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.22 malam selepas menerima panggilan kecemasan.

“Pihaknya menerima maklumat daripada waris mangsa yang memaklumkan bapanya terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dihanyutkan arus ketika melalui jalan berkenaan.

“Operasi menyelamat turut dibantu anggota Pasukan Penyelamat Di Air BBP Teluk Kemang yang berjaya mengeluarkan mangsa dari kenderaan tersebut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Akhbar Singapura lapor tiga kem Umno rebut jawatan MB Negeri Sembilan

Harapandaily

Belum pun genap tiga bulan mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan, Umno kini dilaporkan berpecah kepada tiga kem yang masing-masing mempunyai calon tersendiri untuk menduduki kerusi Menteri Besar, ketika krisis antara kerajaan negeri dengan Istana masih belum menemui penyelesaian.

Menurut laporan akhbar Singapura, The Straits Times bertarikh 28 Oktober, persaingan itu membabitkan kem Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim; Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; serta Mohd Asna Amin kem yang dikaitkan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Akhbar berkenaan melaporkan ketiga-tiga kem sedang berusaha mendapatkan sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi merealisasikan hasrat masing-masing.

Ismail yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu dilaporkan berusaha mempertahankan kedudukannya, meskipun hubungannya dengan Istana semakin tegang. 

Menurut akhbar itu, Ismail berharap baginda membenarkannya terus menerajui pentadbiran sekiranya beliau menarik balik pendirian bertarikh 17 September yang mengiktiraf dakwaan bahawa takhta Yang di-Pertuan Besar telah kosong.

Sementara itu, Jalaluddin pula dilaporkan mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada keseluruhan 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). 

Memetik sumber dalam kalangan pemimpin kanan politik, The Straits Times mendedahkan bahawa Pengerusi Umno negeri itu telah menghadap Tuanku Muhriz pada 9 Oktober lalu, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada beliau sedang berusaha mendapatkan perkenan untuk menggantikan Ismail.

Dalam perkembangan sama, nama ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin turut muncul sebagai calon Menteri Besar yang dilaporkan menjadi pilihan Zahid. 

Bagaimanapun, Asna mempunyai isu tersendiri apabila beliau merupakan antara 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang pelantikannya dibatalkan oleh Istana pada 20 September lalu susulan pertikaian berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.

Laporan akhbar Singapura itu turut memetik seorang sumber yang mendakwa Ismail mempertahankan tindakannya dalam kemelut Istana dengan alasan hanya melaksanakan arahan kepimpinan tertinggi parti.

“Ismail tetap bertegas bahawa beliau sekadar mengikut arahan daripada kepimpinan tertinggi parti,” kata sumber berkenaan kepada The Straits Times, menurut terjemahan laporan tersebut.

Menariknya, ketiga-tiga pemimpin itu bukan nama baharu dalam percaturan jawatan Menteri Besar. Selepas kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos, nama mereka telah dikemukakan untuk pertimbangan Tuanku Muhriz sebelum baginda akhirnya memperkenankan pelantikan Ismail. 

Bagaimanapun, beberapa hari selepas mengangkat sumpah, Ismail menandatangani dokumen proklamasi yang mendakwa baginda bukan lagi pemerintah negeri, sebelum membuat laporan polis dengan alasan beliau dipaksa menandatanganinya.

Ketegangan semakin memuncak apabila Ismail kemudiannya menyokong pendirian Exco negeri yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz. Jabatan Peguam Negara bagaimanapun menegaskan bahawa tindakan menyingkirkan baginda tidak mengikut peruntukan perlembagaan negeri. 

Malah, pada 16 Oktober lalu, Tuanku Muhriz secara terbuka menegur Ismail ketika bertemu di sebuah masjid di Kuala Pilah.

“Selagi dia tidak tarik balik apa yang dia kata, jangan datang jumpa saya. Pergi, jangan jumpa saya, saya tidak mahu jumpa kamu, faham?” titah baginda dalam rakaman video yang tular, sekali gus memperlihatkan ketegangan hubungan antara Menteri Besar dengan Istana.

Bagaimanapun, Jalaluddin sebelum ini menafikan sebarang usaha untuk menjatuhkan Ismail, termasuk melalui usul undi tidak percaya. Pada 10 Oktober lalu, beliau menegaskan bahawa tiada masalah kepimpinan dalam Umno Negeri Sembilan. 

“Biar Ismail buat kerja beliau sebagai menteri besar, dan saya sebagai ketua parti akan buat kerja sebagai ketua parti,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Ismail pula pada 27 Oktober menafikan khabar angin kononnya beliau akan meletakkan jawatan, sebaliknya menegaskan masih mempunyai sokongan penuh 24 ADUN kerajaan yang lain.

 “Itu semua khabar angin sahaja. Memang banyak khabar angin yang tersebar tetapi saya mendapat sokongan penuh ADUN kerajaan,” katanya, sambil menegaskan tumpuan beliau adalah memastikan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dibentangkan pada 27 November ini.

Apa yang pasti, laporan mengenai persaingan tiga kem itu muncul ketika kerajaan Negeri Sembilan masih beroperasi tanpa barisan Exco selepas pelantikan 10 anggotanya dibatalkan lebih sebulan lalu.

 Walaupun masing-masing dikaitkan dengan sokongan politik berbeza, pelantikan Menteri Besar tetap tertakluk kepada peruntukan perlembagaan negeri dan pertimbangan Yang di-Pertuan Besar mengenai siapa yang mendapat kepercayaan majoriti ADUN. 

Persoalannya, mampukah Umno menyelesaikan kemelut kepimpinannya sendiri ketika krisis Istana yang dijanjikan untuk diselesaikan selepas PRN lalu masih berlarutan?

Sindiket seludup Pati guna dron, media sosial elak dikesan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) kini menggunakan dron untuk mengesan pergerakan pasukan keselamatan, kata Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain.

Selain dron, beliau berkata, sindiket turut menggunakan media sosial untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Tegasnya, sindiket sentiasa menukar laluan, masa dan kaedah, oleh itu strategi penguatkuasaan PGA juga perlu sentiasa disesuaikan.

“Modus operandi sindiket ini memang berubah mengikut keadaan dan tahap kawalan di sempadan. Selain menggunakan Sungai Golok dan pangkalan haram, kita kini mengesan pergerakan yang beralih kepada laluan laut, sungai-sungai kecil dan Sungai Kelantan bagi mengelak dikesan.

“Selepas masuk ke Malaysia, Pati akan dibawa ke lokasi transit sebelum dihantar menggunakan kenderaan persendirian, e-panggilan atau pengangkutan awam ke destinasi masing-masing.

“Kita juga mengesan pembabitan ejen, tekong dan runner tempatan yang menguruskan pergerakan mereka,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, antara cabaran utama dihadapi PGA ialah Sungai Golok yang panjang serta bentuk muka bumi luas dan kompleks, termasuk hutan, kebun, lorong tikus dan banyak laluan tidak sah yang menyukarkan pergerakan penyeludup serta Pati dikesan.

“Selain itu, faktor keselamatan anggota juga perlu diberi perhatian berikutan kemungkinan mereka mempunyai senjata.

“Bagaimanapun, perkara ini tidak menghalang Briged Tenggara PGA daripada terus melaksanakan tugas. Sebaliknya, kita perlu sentiasa menyesuaikan strategi, memperkukuhkan risikan dan meningkatkan kerjasama antara agensi.”

Mohd Shuhaily kembali ke pangkuan PDRM lepas khidmat di AKPS tamat

Malaysiakini

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan terhadap Mohd Shuhaily yang dalam tempoh peminjaman di AKPS diputuskan pada minggu lepas.

“Sebab beliau kader polis ke AKPS, jadi kita kembalikan kepada pasukan. Pihak polis akan menyusunnya kemudian.

“Kita sudah buat keputusan minggu lepas,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi KDN di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Awang Alik Jeman, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Mohd Rosli Abdullah.

Ditanya siapa yang akan dilantik untuk menerajui AKPS, Saifuddin Nasution hanya berkata: “polis”.

Semalam, Mohd Khalid berkata kedudukan Mohd Shuhaily sedang diteliti dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, selain turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis.

KDN pula memaklumkan urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily masih dalam proses untuk dimuktamadkan bagi memastikan ia dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.

Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.

Pada 21 Okt, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.

- Bernama

Pelakon wanita ditahan polis, didakwa ugut keluarga ahli politik jika tak bayar RM2.6 juta

mStar | 27/10/2026 

PELAKON India Urmila Sanawar ditahan polis selepas didakwa mengugut untuk membunuh keluarga seorang bekas ahli politik sekiranya gagal menyerahkan wang sebanyak 5 crore rupee (kira-kira RM2.6 juta).

Urmila ditahan di Saharanpur, Uttar Pradesh pada Ahad selepas anak perempuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, Suresh Rathore iaitu Deepika Rathore membuat laporan polis terhadapnya.

Memetik laporan, Deepika mendakwa pelakon berkenaan menghubunginya menerusi WhatsApp dan menuntut sejumlah wang selain meminta sebuah hartanah dipindahkan atas namanya.

Urmila Sanawar meminta kira-kira RM2.6 juta kepada keluarga ahli politik tersebut.

Susulan laporan itu, polis menyerbu kediaman Urmila sebelum menahannya bagi membantu siasatan serta merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat ugutan.

Dalam pada itu, Urmila sebelum ini pernah mendakwa dirinya merupakan isteri kepada Suresh, namun bekas ahli politik berkenaan menafikan hubungan perkahwinan tersebut.

Penahanan Urmila turut mencuri perhatian kerana berlaku beberapa hari selepas dia menyebarkan rakaman audio yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita dikenali sebagai Ankita Bhandari pada 2022.

Bagaimanapun, kesahihan rakaman tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa India.

Setakat ini, dakwaan ugutan dan pemerasan terhadap Urmila masih dalam siasatan dan belum diputuskan oleh mahkamah.

Polis tahan sembilan individu disyaki terlibat kes pecah kubur di Miri

Malaysiakini

Oct 28, 2026 

Polis menahan sembilan lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah kubur di Miri menerusi operasi khas dari 11 hingga 17 Okt.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Saifullizan Ishak berkata suspek berusia 16 hingga 73 tahun dengan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Dua daripada tiga suspek itu juga baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman bagi kesalahan sama dan dipercayai merekrut rakan lain untuk terlibat memecah kubur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching hari ini.

Saifullizan berkata antara barangan dirampas bagi membantu siasatan ialah tukul besi, pemutar skru, pelbagai barang kemas, cincin, anting-anting, rantai, gelang tangan serta duit syiling lama.

Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu bermula 6 Ogos.

“Polis percaya 15 laporan kes pecah kubur di daerah Miri berjaya diselesaikan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

- Bernama