"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemberian ‘bonus’ RM50,000 kepada MB, exco Kelantan tak masuk akal

SITI NUR ZAWANI MISCON
Belum reda isu pembelian Mercedes Benz yang mendapat pelbagai kritikan termasuk kritikan dari AMANAH Kelantan yang menempelak Pas telah melukakan hati rakyat, Exco kerajaan negeri itu kini mula dipersoalkan dengan isu ‘bonus’ RM50,000.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mengakui terkejut dengan pemberian khas berkenaan yang didakwanya sebagai tidak munasabah ketika negeri itu sendiri berada dalam kedudukan negeri termiskin dalam negara.

Mahfuz turut mempersoalkan rasional jawapan balas Timbalan Menteri Besar yang mendakwa ‘bonus’ tersebut diberikan berdasarkan pendapatan kerajaan negeri yang tinggi.

“Bagi saya sudah beberapa kali mereka mendapat pemberian yang begitu tinggi iaitu yang terbaru sebanyak RM400 juta. Tahun lalu, mereka sendiri memohon bantuan daripada kerajaan pusat untuk menampung gaji kepada kakitangan awam termasuk membayar gaji mereka.

“Jadi macam mana dikatakan pemberian tersebut berasaskan pendapatan negeri yang tinggi, sedangkan pencapaian pendapatan itu hasilnya daripada pemberian kerajaan pusat?

“Bagi saya bahawa itu satu benda mengarut yang tak masuk akal diberikan kepada exco kerajaan negeri sedangkan kakitangan awam diberikan RM1,000 sebagai satu pemberian khas,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Pemberian khas itu dipersoalkan oleh kerana perbezaan ketara antara pegawai dan kakitangan negeri itu yang menerima bayaran tambahan RM500, menjadikan keseluruhan RM1,000 seorang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu turut memberi bayangan kerosakan yang bakal berlaku sekiranya pimpinan parti itu diberikan peluang mentadbir negara dengan jumlah pendapatan negara yang tentunya lebih tinggi daripada pendapatan negeri.

Tambahnya lagi, tindakan itu secara tak langsung bukan sahaja telah melukakan hati rakyat, bahkan turut ‘meremuk redamkan’ hati mereka yang masih dibebani dengan kos sara hidup.

“Bagi saya ini satu yang tidak munasabah sedangkan masyarakat yang sepatutnya manfaatkan duit tersebut untuk menjana ekonomi pendapatan rakyat.

“Isu Mercedes telah melukakan hati rakyat dan bagi saya pemberian dengan jumlah besar itu meremuk redamkan lagi hati mereka. Hati rakyat yang tak terubat lagi diparahkan dengan isu seperti ini.

“Ini menggambarkan sikap mereka yang langsung tak memahami denyut nadi rakyat. Saya cuba bayangkan apakah ini gambaran negeri yang bertemakan membangun bersama Islam. Inilah dia politik yang memperdagangkan agama,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Hari ini, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah melalui laporan Malaysiakini berkata, ia bukanlah bonus sebagaimana yang diperkatakan, namun hanyalah pemberian khas

Beliau turut menafikan wang tersebut berkait dengan peruntukan khas oleh kerajaan Persekutuan berjumlah RM400 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Tiada ulasan: