"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sejumlah besar RM4 bilion dana pencen dicuri, kata peguam

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Sejumlah besar pinjaman bernilai RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd daripada dana persaraan kerajaan mungkin dicuri, tetapi laporan polis tidak dibuat mengenainya, hujah peguam ketika prosiding melibatkan rayuan kes rasuah Najib Razak.

Peguambela Harvinderjit Singh berkata, kecurian itu mungkin berlaku “di luar struktur korporat SRC” yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB dan kemudian diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Peguam itu berhujah bahawa Najib yang ketika itu menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC bukan ejen atau diamanahkan dengan RM42 juta untuk mengalihkan wang itu, yang dikatakan sebahagian daripada RM4 bilion terbabit.

Pada peringkat ini, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera yang menganggotai panel hakim bersidang bertanya: “Bagaimana Lembaga SRC membuat keputusan berhubung RM4 bilion itu?”

Harvinderjit: Lembaga SRC tahu bagaimana wang itu masuk tetapi tidak bagaimana ia dikeluarkan.

Berdasarkan dua surat jaminan kerajaan, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) meluluskan pinjaman kepada SRC pada 2011 dan 2012 untuk melaksanakan dan melabur dalam projek berkaitan dengan sumber tenaga konvensyenal dan boleh diperbaharui, sumber asli dan mineral.

Pada Ogos 2011, pinjaman RM2 bilion dilepaskan oleh KWAP kepada SRC dalam empat bahagian berjumlah RM500,000.

Tujuh bulan kemudian, RM2 bilion lagi dilepaskan dalam satu bayaran, tetapi kali ini RM200 juta disimpan sebagai pelaburan modal.

Harvinderjit berkata, RM3.8 bilion ditinggalkan “di luar struktur korporat SRC dan tidak diketahui oleh pengarah syarikat.”

“Ia satu kecurian. Ketika pemeriksaan balas, Pengerusi SRC Ismee Ismail dan Pengarah Suboh Md Yassin tidak tahu apa yang berlaku dengan wang itu,” katanya.

Vazeer: Tetapi tiada laporan polis dibuat?

Harvinder: Tidak. Hanya Suboh boleh membuat laporan polis, tetapi beliau tidak tahu mengenai wang yang hilang itu. Ismee juga terkejut.

Suboh dan CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil adalah penandatangan SRC tetapi pembelaan mendakwa ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, pengurusan kanan SRC dan kakitangan Ambank bersubahat untuk mengeluarkan wang SRC itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya turut berkata, sejumlah besar RM4 bilion itu dipindahkan ke akaun di luar negara hampir serta-merta selepas diterima.

Katanya, ia kini nampak seperti telah dibekukan pihak berkuasa berkaitan di Switzerland. Status terkininya tidak diketahui.

Harvinderjit memberitahu mahkamah hari ini, tiada sesiapa daripada kerajaan yang hadir ke mahkamah untuk mendedahkan status wang berkenaan.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan untuk pinjaman SRC International berjumlah RM4 bilion daripada dana berkenaan.

Beliau turut menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta milik SRC International.

Julai tahun lalu, Nazlan memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan RM42 juta milik SRC International.

Perbicaraan bersambung Isnin.

Tiada ulasan: