"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa sokong individu mahu musnahkan Umno, Najib tanya pemimpin ‘Umno 3.0’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Najib Razak membidas gerakan yang dilaporkan mahu menyingkirkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan mempersoalkan kenapa ada pemimpin parti itu mahu menyokong PPBM, yang cuba memecah dan memusnahkan mereka.

Kenyataan itu menyusul spekulasi tersebar luas berhubung rancangan menyingkirkan Zahid dan Najib dari pentas politik menjelang Ogos ini, yang akan digantikan kepimpinan baharu parti dikenali sebagai Umno 3.0.

Terdahulu, FMT hari ini memetik sumber sebagai berkata, Umno 3.0 akan bekerjasama dengan PPBM dan PAS, dengan gesaan untuk Zahid berundur daripada jawatan presiden dijangka lebih lantang tidak lama lagi.

Najib yang juga bekas presiden Umno berkata, bekerjasama dengan PPBM bertentangan suara akar umbi, memandangkan 143 daripada 190 bahagian memutuskan Umno perlu memutuskan hubungan dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin. 

“Kenapa pula mereka mahu sokong parti lain yang telah merampas kerusi-kerusi Umno melalui lompatan katak, menindas Umno, pernah membeku akaun Umno dan cuba membatalkan Umno?

“Kenapa mereka mahu sokong parti yang ternyata gagal dalam pentadbiran ekonomi dan Covid?

“Kenapa mereka tetap sokong parti yang terus memberi alasan mengarut kenapa Parlimen tidak boleh bersambung dan demokrasi tidak dapat dipulihkan?

“Adakah rancangan ‘scheme of things’ untuk pecahkan Umno sudah berjaya dan ramai disogok dengan jawatan-jawatan kerajaan?” tulisnya di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu memberi amaran pemimpin Umno 3.0 akan dihukum dengan dahsyat dalam pemilihan parti, jika bertindak bertentangan hasrat akar umbi.

Najib juga hairan kenapa ada pihak mahu beliau “disingkirkan” sedangkan dirinya bukan presiden mahupun ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

“Malah, saya mungkin tak dapat pertahankan jawatan ketua Umno bahagian Pekan pun, jika hasrat kerajaan Perikatan Nasional untuk membankrapkan saya berjaya.”

Perhimpunan Agung Umno 2020 pada 27 Mac lalu memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 dan tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional selepas Parlimen dibubarkan.

Tiada ulasan: