"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mampukah Zahid bertahan hadapi tekanan dari dalam, luar?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan dengan 47 pertuduhan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, kini berdepan tekanan untuk memaksanya melepaskan jawatan yang disandang.

Tekanan ke atas Zahid datang dari dalam dan luar parti, namun penganalisis berpendapat Ahli Parlimen Bagan Datoh itu akan dapat mempertahankan kedudukan, sekurang-kurangya sehingga pemilihan parti.

Pakar strategi politik, Syed Arabi Idid berkata, Zahid mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh jika dilihat berdasarkan Perhimpunan Agung Umno yang diadakan baru-baru ini.

Bagaimanapun, maklum balas barisan menteri daripada Umno dalam Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak memberi imej yang baik kepada Zahid.

Menteri terbabit digesa melepaskan jawatan masing-masing selepas Umno memutuskan kerjasama dengan PPBM dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Ia membuatkan Zahid kelihatan lemah,” beliau memberitahu FMT, sambil menambah respons yang bercampur aduk itu tidak mencerminkan persekitaran politik yang sihat kepada Zahid.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata, kekuatan Zahid hanya akan dapat diketahui pada pemilihan presiden Umno nanti, atau seandainya berlaku undi tidak percaya terhadap beliau.

Penganalisis sosio politik Awang Azman Pawi pula percaya rentetan peristiwa yang berlaku menyebabkan Zahid serta bekas presiden Umno, Najib Razak berada dalam suasana “serangan politik”.

Beliau berkata, keputusan mahkamah yang membenarkan permohonanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Najib Razak bagi menuntut pembayaran tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.74 billion antara tahun 2011 hingga 2017 serta pendedahan rakaman audio yang didakwa perbualan antara Zahid dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim menunjukkan terdapat agenda tersembunyi kerajaan untuk “menghapuskan” kedua-dua pemimpin Umno ini.

“Ini berlaku dalam tempoh dua hari.

“Pertama mengenai LHDN, yang kedua rakaman audio pula. Ia mungkin dilihat sebagai ‘serangan politik’,“ tambah beliau.

Awang Azman berkata, Zahid mungkin akan terselamat dan bertahan memandangkan Umno mempunyai struktur dan pentadbiran parti yang tidak memudahkan sebarang usaha menggulingkan presiden, terutamanya jika usaha itu datangya dari luar parti.

Beliau berkata Zahid mungkin berdepan tekanan yang hebat supaya mengundurkan diri, namun beliau akan terselamat sehingga pemilihan presiden parti.

Berdasarkan situasi semasa, beliau menambah PPBM mungkin akan meneruskan usaha memenangi dan meraih sokongan lebih ramai Ahli Parlimen Umno.

Sumber dalaman parti memberitahu FMT, Zahid akan terselamat kerana sekiranya parti membenarkan PPBM menggulingkan Zahid, PPBM akan memperolehi kuasa yang besar dalam Umno.

“Mereka yang mempunyai kes dan bermasalah juga akan ‘berjabat tangan’ dengan Muhyiddin dan yang lain akan menyusul,” beliau memberitahu FMT.

Ini mungkin akan menyebabkan PPBM, yang pada ketika ini mempunyai sokongan akar umbi yang lemah, mengawal Umno dan tidak membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU dalam tempoh dua tahun ini.

“Kami tidak mahu PPBM mempunyai kuasa mengawal kami,” katanya.

Tiada ulasan: