"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Umno dalam kerajaan PN seperti kudis’

ARIF ATAN

Umno pada masa ini ibarat sejenis penyakit kulit yang gatal dan berjangkit dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, hal tersebut disebabkan keputusan Umno menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kewujudan mereka (Umno) dalam PN adalah seperti kudis. Mereka seolah-olah mahu menikmati kedudukan sebagai parti yang memerintah tetapi pada waktu sama, ego mereka seperti menyampaikan isyarat bahawa tidak rela dibuli,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi FB Live dalam forum “No Anwar, No DAP, No Bersatu: Adakah polisi Umno ini menguntungkan Pakatan Harapan? ” di Facebook Pemuda AMANAH Terengganu malam tadi.

Mujahid berpendapat keputusan Umno yang meneruskan hubungan kerjasama dengan Bersatu sehingga Parlimen dibubarkan merupakan satu pukulan besar kepada PN yang diterajui parti dipimpin Muhyiddin Yassin itu.

Mujahid dan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali (kanan) dalam forum malam tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, perpecahan dalaman Umno serta parti itu dengan Pas yang telah memeterai Piagam Muafakat Nasional (MN) pada September 2019 memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Hubungan Umno dan Pas hari ini kita lihat semakin hari semakin menampakkan keretakan. Ini adalah petanda bahawa Umno tidak memerlukan Pas, sebaliknya Pas yang memerlukan Umno.

“Perpecahan Umno dan Pas ini dilihat sebagai satu kelebihan kepada kita (PH) apabila kita masuk pilihan raya umum nanti.

“Umno itu sendiri berpecah kepada kelompok yang mahu PN dan kelompok yang mahu keluar dari PN secepat mungkin,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mujahid menegaskan PH daripada parti teras iaitu AMANAH, PKR dan DAP mestilah dalam keadaan yang sangat kukuh untuk berdepan dengan kerapuhan PN.

Tiada ulasan: