"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki putus cinta ‘naik pelamin’, berzikir di pejabat JAWI

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dilaporkan nekad meluru ke ruang majlis akad nikah di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dan duduk di pelamin sambil berzikir serta mengaji dengan kuat, hari ini.

Tindakannya itu, yang dipercayai akibat tekanan selepas putus cinta, dikongsikan oleh JAWI menerusi akaun Twitter rasminya, @myJAWIKL.

“Allahu. Ini kisah benar, bukan rekaan taupun imaginasi novel cinta,” kata JAWI.

“Seorang pemuda tidak semena-mena, tidak berkasut, memasuki ruang majlis akad nikah di JAWI pagi ini, terus duduk di pelamin, berzikir dan mengaji dengan kuat.”

Namun, situasi itu dapat ditangani dengan tenang oleh pihak keselamatan, kata JAWI dalam catatan di Twitter pada 11.19 pagi ini.

“Kami doakan mudah-mudahan Allah berikan kesembuhan, jalan keluar, dan kemudahan kepada pemuda tersebut menghadapi ujian berat di dalam hidupnya.”

Setakat 4 petang tadi, perkongsian JAWI di Twitter itu menerima hampir 3,800 tanda suka dan ‘ditwit’ semula lebih 2,500 kali.

Kebanyakan pengguna laman sosial itu berkongsi rasa simpati terhadap lelaki berkenaan dan mendoakan semoga dia berjaya mengatasi kekecewaan serta menjadi lebih kuat untuk menghadapi hari mendatang.

Tiada ulasan: