"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah kami ‘pelitup muka’ untuk biar Parlimen diketepikan, soal PH

FMT Reporters

PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, darurat bukan saja tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos, sebaliknya ditamatkan segera dan Parlimen bersidang semula untuk memulihkan demokrasi.

Gabungan parti pembangkang itu yang bimbang dengan lonjakan kes melebihi 7,000 jangkitan untuk tiga hari berturut-turut berkata, keadaan itu jelas membuktikan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekang penularan Covid-19, walaupun dengan perisytiharan darurat dan penggantungan sidang Parlimen.

Oleh itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan bersama mendesak Jawatankuasa Khas Bebas Darurat menyuarakan pendiriannya terhadap kerajaan PN yang gagal mengekang penularan Covid-19.

“Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, PH terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil kami di dalam jawatankuasa tersebut atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan ‘pelitup muka’ untuk mengiakan segala penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan Parlimen.

“Strategi menangani Covid-19 sedia ada memerlukan penjajaran semula dan Majlis Presiden mengarahkan Jawatankuasa PH berkaitan mengadakan perbincangan segera bagi meneliti dasar untuk menyelamatkan negara dari pandemik ini.”

Terdahulu, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dilaporkan bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria dan “threshold” dalam menilai sama ada darurat akan diteruskan atau ditamatkan.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak mengulas secara terperinci isu tersebut.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat untuk membendung penyebaran Covid-19 sehingga 1 Ogos atau lebih awal, jika kes dapat dikurangkan dan stabil.

PH mendakwa “lockdown” kendiri politik bertujuan menyelamatkan kerajaan PN daripada kehilangan kuasa dan dilaksanakan tanpa tanggungawab, ketelusan serta proses semak dan imbang yang memburukkan keadaan seperti dipersetujui Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said.

“Maka dalam keadaan hampir semua Ahli Parlimen telah menerima vaksin, Majlis Presiden menggesa semua Ahli Parlimen bersama menuntut agar Parlimen dibuka semula.”

Gabungan parti pembangkang itu turut membangkitkan isu pemberian vaksin pada kadar rendah disebabkan kekurangan bekalan dan pendaftaran yang menyukarkan rakyat, selepas RM70 juta dibelanjakan.

“Kadar pemberian vaksin perlu disegerakan, terutama apabila keperluan dana RM5 bilion tercapai dengan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa kelulusan Parlimen untuk kos pembelian dan pelaksanaan.”

Azalina hari ini dilaporkan berkata, kerajaan boleh mengenakan perintah kawalan terhadap rakyat, tetapi bukannya untuk demokrasi kerana menafikan hak Ahli Parlimen untuk melibat urus dengan kerajaan bermaksud menafikan hak rakyat di negara ini.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan melabur bagi mengadakan sidang Parlimen secara maya ketika darurat kerana tiada cara lain negara untuk maju melainkan Parlimen dibenarkan bersidang semula.

Tiada ulasan: