"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki tegur jiran Jerman tanam pokok depan rumah diugut potong tangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Jerman mengugut mahu memotong tangan jiran kerana berang ditegur menanam pokok di hadapan rumah jirannya itu dalam kejadian di Taman Desa Permai, Klang, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Mohd Khairi Shafie, berkata bukan hanya mengugut malah lelaki berusia 60 tahun itu menceroboh rumah jirannya dan melakukan beberapa kerosakan dalam kejadian kira-kira 7 malam itu.

“Ketika kejadian, mangsa dan isterinya berada di rumah. Lelaki itu dilihat masuk ke kawasan tempat letak kereta jirannya itu dan menyebabkan kerosakan pada tayar kereta mangsa.

“Mangsa kemudian membuka pintu rumahnya sebelum lelaki itu mengugut mahu memotong tangan mangsa,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Hasil siasatan, Khairi memberitahu mangsa sebelum ini menegur lelaki berkenaan kerana menanam pokok di hadapan rumahnya dan di taman permainan berdekatan.

“Mangsa merupakan ahli jawatankuasa penduduk taman perumahan berkenaan telah menegur perbuatan lelaki itu. Ini kerana lelaki itu tidak mengurus dengan baik tanaman yang ditanam suspek itu.

“Siasatan turut mendapati suspek sebelum ini pernah mendapat rawatan psikiatri namun telah selesai mendapatkan rawatan berkenaan. Bagaimanapun dia kadangkala sukar mengawal diri,” katanya.

Berikutan itu, polis sudah mengambil keterangan lelaki berkenaan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 427, 447 dan 506 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: