"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aktivis Palestin 'tawan' kilang senjata Israel

SINAR HARIAN

Dua aktivis kumpulan Tindakan Palestin ditangkap di atas bumbung sebuah kilang pembuat senjata Israel iaitu syarikat Elbit Systems di Leicester pada Isnin lalu. - Foto: VXP/Vedat Xhymshiti

LONDON - Sekumpulan aktivis kumpulan Tindakan Palestin memanjat bumbung dan 'menawan' selain mengibarkan bendera Palestin di sebuah kilang yang dikendalikan syarikat pembuat senjata Israel, Elbit Systems di bandar Tamworth, Britain pada awal pagi Selasa.

Setakat ini tidak diketahui sama ada para aktivis itu berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap oleh polis Britain.

Kilang itu mengeluarkan sistem komputer, perkakasan dan komponen penting untuk kereta kebal Merkawa 4 yang pernah digunakan oleh tentera Israel di Gaza.

Syarikat Elbit Systems pula merupakan pengeluar senjata terbesar Israel dan ia mempunyai pejabat-pejabat dan kilang-kilangnya di United Kingdom (UK).

Para aktivis kumpulan Tindakan Palestin itu menyemburkan cat merah pada sebuah struktur bangunan kilang sebagai simbolik terhadap penggunaan senjata yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut di Palestin dan seluruh dunia.

Menurut portal berita Middle East Eye, tindakan aktivis tersebut telah menyebabkan kilang berkenaan ditutup iaitu kurang seminggu selepas sebuah lagi kilang senjata milik anak syarikat berkenaan di Leicester, Britain ditutup selama enam hari ekoran perbuatan para aktivis Palestin tersebut.

Penutupan dua buah kilang itu menyebabkan berlakunya gangguan dalam pengeluaran senjata-senjata Israel.

Dalam pada itu, dua aktivis kumpulan Tindakan Palestin ditangkap pada hari Isnin kerana memanjat bumbung kilang syarikat Elbit Systems di Leicester, Britain.

Penolong Ketua Polis Leicester, Kerry Smith berkata, pihaknya menyokong hak penduduknya melakukan protes tetapi ia perlu dilakukan secara sah dan para penunjuk perasaan tersebut ditahan kerana melakukan kerosakan ketika melakukan tunjuk perasaan.

Bagaimanapun, kumpulan Tindakan Palestin dilaporkan mengutuk tindakan polis tersebut dengan menyatakan mereka yang ditahan itu menunjukkan keberanian bersolidariti dengan penduduk Palestin.

Pada 10 Mei lalu, Tentera Udara Israel melancarkan serangan udara selama 11 hari ke atas Gaza sehingga menyebabkan lebih 200 penduduk Palestin terkorban manakala hampir 3,000 lagi cedera sebelum ia berakhir dengan satu gencatan senjata dengan Hamas dan Jihad Islam. - Agensi

Tiada ulasan: