Essa Abu Yamin
BATU PAHAT: Rakaman video yang tular menerusi media sosial memaparkan aksi seorang gadis bersama remaja lelaki melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) motosikal dinaiki mereka, menerima padah apabila ditahan polis dekat Taman Pantai dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata jam 2.30 petang semalam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Batu Pahat mengesan rakaman video berkenaan ditunggang seorang perempuan sambil dibonceng seorang lelaki.
"Siasatan awal mendapati, aksi berbahaya yang berdurasi selama 31 saat itu berlaku pada 10 Mei 2021 di Jalan Dato Syed Esa, Batu Pahat
"Susulan itu, pada jam 4.45 petang semalam, polis menahan seorang gadis berusia 21 tahun dan remaja lelaki berumur 16 tahun yang dipercayai terbabit melakukan aksi berkenaan," katanya dalam kenyataan dekat sini.
Ismail berkata, tangkapan itu dilakukan di rumah masing-masing dekat Jalan Pantai, Batu Pahat dan motosikal yang digunakan mereka turut disita.
"Bagaimanapun, kedua-dua tangkapan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan lengkap diambil.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) (Pindaan 2020)," katanya.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara tidak lebih lima tahun dan denda minimum RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
"Pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar tidak melakukan aksi-aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa sendiri dan orang lain.
"Ibu bapa atau penjaga juga perlu memantau aktiviti anak-anak mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan