"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sedih dilayan macam sampah

Mohd Nizam Mohamad Yatim

SAUDARA PENGARANG,

TARIKH 20 Mei lalu ialah hari terakhir berpuasa sunat enam Syawal dan sepatutnya saya gembira meraikan Hari Raya Puasa buat kali kedua tetapi suasana itu bertukar pula menjadi marah.

Segalanya bermula apabila Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksinasi (JKJAV) membuka pendaftaran secara sukarela bagi vaksinasi AstraZeneca dan saya antara yang bertuah apabila mendapat slot setelah tiga kali mencuba nasib.

Niatnya satu kerana sebagai bakal jemaah haji saya perlu mematuhi arahan kerajaan Arab Saudi untuk mengambil vaksin Covid-19 sebagai persediaan sekiranya negara itu membenarkan rakyat Malaysia melakukan ibadah itu kali ini.

Bagaimanapun, sehari sebelum dicucuk vaksin AstraZeneca di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, saya menerima mesej daripada pihak berkenaan bahawa sebagai bakal jemaah haji, saya layak mendapat vaksin Pfizer di Dewan Komuniti Ampang, Selangor, esoknya.

Persoalan yang ingin saya timbulkan adalah mengenai sukarnya untuk membatalkan pendaftaran vaksin AstraZeneca.

Peliknya, nama saya tidak boleh didaftar secara bertindih dalam sistem kerana sudah pun ada rekod dalam MySejahtera untuk vaksinasi AstraZeneca pada hari sama.

Saya cuba merayu kepada petugas Kementerian Kesihatan bahawa saya perlu vaksin Pfizer seperti arahan Tabung Haji selaras dengan peraturan ditetapkan Arab Saudi untuk bakal jemaah haji dari seluruh dunia.

Malangnya, baru saya tahu aplikasi ciptaan kerajaan ini bukan sahaja tiada perasaan ihsan, malah gagal mesra pengguna apabila langsung tidak boleh membatalkan daftar rekod vaksinasi AstraZeneca.

Hakikatnya, saya jadi macam bola ditendang ke sana sini dan dilayan bak sampah dengan alasan kononnya mereka cuma akur arahan pihak atasan tanpa boleh berbuat apa-apa. 

Di manakah  keutamaan untuk bakal jemaah haji kerana tempoh sekarang amat kritikal dengan penerbangan terakhir seminggu sebelum wukuf di Arafah pada awal Julai depan.

AMREE AHMAD

Bangi, Selangor

Tiada ulasan: