COVID-19: Lelaki pakai alat pernafasan buatan sendiri tarik perhatian ramai
Sinar Harian
COVID-19: Lelaki pakai alat pernafasan buatan sendiri tarik perhatian ramai
Gambar lelaki yang dirakam memakai alat pernafasan buatan sendiri di PPV Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi. -Foto Sinar Harian
LANGKAWI: Gelagat seorang lelaki memakai alat pernafasan buatan sendiri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini menarik perhatian ramai sehingga tular di media sosial Facebook, sejak petang Khamis.
Gambar lelaki bersama alat 'pelik' itu yang dipercayai dirakamkan oleh seorang pengunjung yang turut berada dalam PPV sama dua hari lalu.
Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail berkata, lelaki itu disahkan hadir di PPV tersebut dua hari lepas untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 sambil memakai peralatan tersebut.
Menurut beliau, difahamkan lelaki itu mendapat panggilan untuk menerima suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
"Dia didapati berpakaian biasa dan lengkap dengan pelitup muka sewaktu tiba di kaunter pendaftaran dan menerima suntikan vaksin.
"Namun, lelaki itu dipercayai mengeluarkan peralatan dari beg yang dibawa sebelum memakainya pada muka dan kepalanya ketika berada di sesi pemantauan," katanya pada Khamis.
Dr Mansor berkata, lelaki itu tidak mengalami sebarang penyakit berkaitan pernafasan berdasarkan pengakuan yang diberikan kepada petugas kesihatan di situ.
Tambah beliau, pihaknya tidak tahu tujuan sebenar mengapa individu tersebut melakukan perbuatan itu hingga menarik perhatian ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan