"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada antibodi dikesan selepas terima 2 dos vaksin, dakwa 3 individu

V Anbalagan & Jason Thomas

PETALING JAYA: Tiga individu, termasuk seorang peguam, mendakwa bahawa antibodi terhadap Covid-19 tidak dikesan dalam badan mereka setelah menerima dua dos vaksin Sinovac.

Peguam, Varpal Singh Sagoo, menerima dos pertama pada 29 Mei dan yang kedua pada 19 Jun.

“Walaupun telah menerima dua dos vaksin Sinovac, ujian antibodi Covid-19 yang dilakukan oleh makmal patologi menunjukkan keputusan negatif,” katanya.

Varpal, 60, berkata, beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada jururawat yang memberinya suntikan dan tidak meminta untuk melihat picagari berisi vaksin.

Malah beliau tidak ditunjukkan isi kandungannya sebelum dan selepas diberi suntikan, dakwanya.

“Saya tidak mengalami sebarang kesan sampingan atau reaksi selepas setiap dos, kecuali sakit di bahagian lengan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, setelah mengetahui tentang kejadian “suntikan kosong” dan tidak mengalami kesan sampingan, beliau memutuskan untuk menjalani ujian antibodi pada 21 Julai, iaitu 33 hari selepas menerima dos kedua vaksin.

Katanya, ujian protein nukleokapsid menunjukkan keputusan negatif atau tidak reaktif, yang bermaksud, tiada antibodi dikesan.

Katanya, beliau kini ragu-ragu sama ada mempunyai perlindungan terhadap virus dan lebih penting lagi, terhadap pelbagai varian virus, terutamanya Delta.

“Saya akan minta penjelasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya.

Dalam satu kes lain, seorang pengurus IT dari Subang Jaya tidak tahu siapa patut dirujuk selepas ibunya berusia 70 tahun, yang turut menerima dua dos vaksin Sinovac, mendapat keputusan negatif dalam ujian antibodi.

Kata Ken, ibunya yang menghidap darah tinggi menerima dos pertama pada 8 Jun dan yang kedua pada 29 Jun.

Bagaimanapun, setelah membaca laporan berita mengenai dakwaan “suntikan kosong” diberikan, ibu Ken menjalani ujian antibodi di sebuah fasiliti saringan kesihatan di Subang Jaya pada 27 Julai, yang menunjukkan keputusan negatif.

“Soalan saya sekarang adalah, apa yang harus kami lakukan?” tanya Ken.

“Doktor tidak memberitahu kami apa yang perlu dilakukan seterusnya. Beliau hanya memberitahu tiada antibodi terhadap Covid-19 dikesan dalam badan ibu saya.

“Saya teringat ada membaca bahawa individu yang tiada antibodi boleh membuat janji temu lain untuk mendapatkan vaksin, tetapi saya tak pasti bagaimana membuatnya.”

Tambahnya, talian MySejahtera yang dihubunginya memberitahu, mereka tidak menerima sebarang arahan tentang apa yang patut dibuat dalam situasi sebegini.

Walaupun Ken berkata beliau ragu-ragu mengenai ketepatan ujian antibodi berkenaan, laman web fasiliti saringan kesihatan menyatakan bahawa ujian itu diiktiraf Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), sebuah agensi bawah KKM.

Ia juga disokong oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).

Di peringkat antarabangsa, ujian ini mendapat kebenaran penggunaan kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat dan menerima Tanda CE, yang membolehkannya digunakan di Kesatuan Eropah.

Dalam kejadian lain, seorang wanita yang telah lengkap divaksinasi di Klang mendakwa hasil ujian antibodi dijalaninya turut menunjukkan bahawa tiada antibodi dikesan dalam badannya.

Dalam sepucuk surat kepada pengarah Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, peguamnya berkata, wanita berkenaan menerima dos pertama vaksin pada 19 Mei dan dos kedua pada 9 Jun di dua lokasi berbeza.

Salinan sijil vaksinasi digital wanita itu dan hasil ujiannya dilampirkan bersama surat itu.

“Kami dengan ini meminta agar set kedua vaksinasi Pfizer diberikan kepada anak guam kami tanpa berlengah lagi,” kata peguam.

FMT telah mengesahkan kesahihan surat itu dengan peguam berkenaan, yang tidak mahu dinamakan.

Terdapat beberapa laporan mengenai individu yang mendakwa disuntik dengan “picagari kosong” bulan lalu.

Pada 23 Julai, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata daripada 16 juta suntikan vaksin yang diberikan setakat itu, hanya 13 laporan polis dibuat oleh individu yang mendakwa mereka diberi vaksin placebo atau langsung tidak diberi vaksin.

Khairy berkata, sebahagian besar dakwaan itu terbukti tidak benar, salah faham atau tidak mencapai kesimpulan, dengan beberapa dakwaan dibuat mereka yang menganggap tidak mendapat vaksin kerana mereka tidak mengalami kesan sampingan.

Tiada ulasan: