"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana proses untuk mengabsahkan sokongan terhadap Perdana Menteri?

ZULHAZMI SHARIFF

Perdana Menteri pada Rabu 4 Ogos 2021 mengumumkan bahawa beliau menyembah mengadap ke bawah Duli Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Beliau menambah bahawa hanya akan membuktikan keabsahan sokongan tersebut di Dewan Rakyat yang akan bersidang pada September nanti.

Pihak Pembangkang malah sekumpulan daripada Umno yang menarik sokongan mencabar dan mendesak Dewan Rakyat bersidang segera bagi membolehkan keabsahan sokongan dibuktikan.

Sekumpulan daripada Umno bersama wakil komponen BN pula mendakwa kekal menyokong sehingga September.

Pembuktian sokongan terhadap Perdana Menteri tidak hanya boleh dibuat di Dewan Rakyat walau pun itulah yang terbaik . Perlembagaan Persekutuan termasuk Peraturan Mesyuarat Dewan juga tidak menyatakan kaedah pembuktian sokongan.

Walaubagaimana pun, beberapa peristiwa sejarah boleh diambil panduan contohnya di dalam kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada tahun 2010 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pembuktian sokongan selain di dalam Dewan, boleh juga dibuktikan melalui kaedah lain.

Selain itu dalam kejadian Langkah Sheraton yang menjatuhkan Kerajaan PH juga dibuat tidak melalui Dewan. Pembuktian sokongan dibuat oleh Istana Negara dengan memanggil mengadap setiap orang Ahli Dewan menyatakan sokongan.

Sekarang nampaknya Istana Negara tidak mahu mengulangi kaedah yang sama.

Menunggu September akan memberikan pelbagai kesan negatif pada negara samada dari sudut ekonomi dan perundangan. Para pelabur dikhuatiri mengelak untuk berurusan dengan Kerajaan yang tidak absah manakala kedudukan memberikan nasihat mengikut Perkara 40 Perlembagaan juga boleh dipertikai.

Tidak perlu menunggu September dan tidak perlu Dewan bersidang.

Bagaimana untuk penyelesaian mudah?

Sekarang setiap hari kita lihat warga Malaysia hadir di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mendapat suntikan vaksin.

Konsep ini boleh diguna pakai dalam membuktikan sokongan.

Proses membuktikan sokongan boleh dilakukan seperti berikut :

A) Tetapkan lokasi iaitu Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Di sini, Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil dan menitahkan Yang di-Pertua Dewan mengeluarkan notis memanggil Ahli Dewan pada hari, tarikh dan masa tertentu.

B) Pengendali Proses :

1. Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara,

2. Ketua Hakim Negara atau mana-mana Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi,

3. Peguam Negara,

4. Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dan

5. Ketua Whip setiap Parti

C) Proses.

1. Pada hari yang ditetapkan setiap Ahli Dewan hadir seorang demi seorang bermula dengan Ahli Dewan dari P.001 sehingga selesai P.222 di Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat menandatangani Surat Akuan menyatakan pendirian menyokong atau tidak menyokong Perdana Menteri. (Jika mahu nyatakan kepada siapa sokongan diberikan juga boleh berbuat demikian).

2. Surat Akuan dikira.

3. Jumlah sokongan diumumkan dan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

4. Jika sokongan majoriti kepada Perdana Menteri, kekal.

5. Jika sokongan majoriti menolak Perdana Menteri, letak jawatan.

Proses seterusnya bergantung kepada wewenang Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan proses pemilihan seorang Perdana Menteri yang baru.

Jika tidak mahu berpanjangan, semasa proses menyatakan pendirian di hadapan Yang di-Pertua Dewan, boleh terus nyatakan sokongan kepada siapa jika bukan kepada Perdana Menteri.

Dengan cara ini, Dewan Rakyat tidak perlu dipanggil bersidang, tidak akan bersesak berkumpul di Parlimen, lebih mudah dan dipercayai.

Benda boleh buat kenapa tak mahu buat. Benda senang boleh buat kenapa nak susah-susah.

Hendak seribu daya, takut macam-macam la.

Mohon mencadang.

Tiada ulasan: