"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Biadab terhadap Agong, PKR lapor polis terhadap Zuraida

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil hari ini membuat satu laporan polis terhadap Zuraida Kamarudin susulan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu yang didakwa tidak menghormati fungsi dan peranan Yang di-Pertuan Agong.

Ini susulan kenyataan Zuraida dalam wawancara bersama Astro Awani baru-baru ini yang mendakwa kenyataan Istana Negara berkenaan pembatalan Ordinan Darurat sebagai tidak wajar.

Ahli Parlimen Ampang itu menyifatkan, Yang di-Pertuan Agong perlu menurut nasihat Kabinet dalam kebanyakan perkara dan boleh mendapatkan penjelasan Kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.

Justeru Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kenyataan tersebut adalah biadab terhadap Seri Paduka Baginda dan meminta agar pihak polis segera jalankan siasatan.

“Pada pandangan saya, (Zuraida) mungkin telah mengeluarkan kenyataan bersifat tidak hormat dan biadab terhadap Agong. Di mata rakyat, beliau telah memperlekeh dan memperkecil fungsi baginda seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini berkemungkinan melanggar Seksyen 505 Kanun Keseksaan. Saya mohon pihak polis siasat kenyataan yang ramai anggap tidak menghormati kuasa dan fungsi Agong selaku Ketua Utama Negara,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kepada pemberita selepas membuat laporan polis hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengulas tentang pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin semalam yang diadakan bersama beberapa Kabinet Perikatan Nasional (PN) dan Peguam Negara di kediamannya.

Fahmi berkata, jika Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah boleh mengarahkan agar Parlimen ditutup, Ketua Pengarah (KP) Kesihatan itu  juga perlu bertindak sama dalam hal ini agar mengeluarkan arahan supaya menteri-menteri tidak berkumpul.

“Saya harap mereka lakukan penjarakan fizikal dan mohon Ketua Pengarah beri nasihat macam mana nereka beri nasihat kepada kami semua bahawa Parlimen tidak boleh bersidang.

“Hari ini mantan KP kesihatan, Tan Sri Abu Bakar mengatakan KP mesti bertindak profesional beri nasihat dan tidak berpihak.

“Saya harap KP beri nasihat tentang tindakan berkumpul ramai-ramai,” kata Fahmi lagi.

Tiada ulasan: