"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azalina, Ahmad Jazlan sokong penuh keputusan Presiden Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Azalina Othman Said dan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub, menyokong penuh kenyataan Presiden Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri.

Azalina sebagai Ahli Parlimen Pengerang dan Ahmad Jazlan selaku Ahli Parlimen Machang difahamkan dua daripada 11 Ahli Parlimen Umno yang mengutus surat akuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong, menyatakan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Azalina yang juga Ketua Umno Bahagian Pengerang, berkata keputusan itu sememangnya selaras dengan asas dan tujuan Umno seperti termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan Umno untuk mendukung dan mempertahankan Perlembagaan negara, Perlembagaan negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.

“Raja dan rakyat berpisah tiada. Institusi Raja merupakan payung negara yang melindungi rakyat. Umno Bahagian Pengerang konsisten dan menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi yang mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahmad Jazlan, berkata Umno Kelantan menyokong penuh keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) jelas mencerminkan pelaksanaan menyeluruh dari akar umbi yang menyerahkan mandat semasa Perhimpunan Agung 2020 yang lalu.

“Justeru, usaha-usaha untuk menjaga keharmonian ini haruslah disokong kerana Institusi Raja adalah teras utama kepada negara bagi menjaga kedaulatan rakyat dan keadilan sosial,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Dalam pada itu, Pejuang menafikan kenyataan palsu mengaitkan parti berkenaan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Presidennya, Mukhriz Mahathir, berkata parti tidak berhasrat mengulas membabitkan perkembangan baharu iklim politik kerana fokus ketika ini untuk menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, sudah menjadi hasrat parti berkongsi aspirasi dengan Yang di-Pertuan Agong bagi memberi tumpuan terhadap krisis kesihatan dan ekonomi.

“Itulah menjadi niat Pejuang ketika mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Nasional di mana menggerakkan pakar-pakar bagi menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata, parti berkehendak meletakkan kepentingan rakyat terlebih dulu dan susulan daripada itu, pihak parti enggan mengulas perkembangan politik digerakkan parti politik tertentu.

Kenyataan palsu yang dinafikan Pejuang itu turut memaparkan tandatangan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad, di mana turut menyatakan Pejuang tidak akan menyokong Ahli Parlimen terbabit rasuah.

Terdahulu, Umno mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kerajaan dan Muhyiddin.

Presiden Ahmad Zahid Hamidi, berkata susulan itu Umno menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat selepas kegagalannya serta keingkaran kerajaan pimpinan beliau terhadap titah Agong supaya Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan.

Sementara itu, Shamsul Anuar Nasarah daripada Umno turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Ia menyaksikan kedudukan kerajaan Muhyiddin semakin rapuh dan bakal tumbang bila-bila masa jika tiada majoriti.

Tiada ulasan: