"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Wakil k'jaan, pembangkang setuju tangguh parlimen jika ada kes Covid-19'

Malaysiakini

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan bahawa penularan virus Covid-19 varian berbahaya mungkin berlaku jika sidang parlimen khas diteruskan selepas beberapa individu didapati positif wabak berkenaan.

Jelasnya, sebelum sidang khas itu Kementerian Kesihatan telah mencadangkan agar persidangan itu ditangguhkan sehingga tahap vaksinasi di Lembah Klang mencecah sekurang-kurangnya 40 peratus.

Pilihan kedua, kata Noor Hisham, adalah persidangan Parlimen diadakan dengan langkah berjaga-jaga, seperti jumlah kehadiran dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan, namun persidangan harus segera ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 dikesan.

Katanya, mesyuarat dua pihak yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang pada 26 Julai telah bersetuju dengan pilihan kedua.

Noor Hisham berkata walaupun hanya 11 daripada 1,183 orang di Parlimen didapati positif Covid-19, penilaian Kementerian Kesihatan adalah bahawa terdapat risiko tinggi penyebaran virus berkenaan.

"Walaupun jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan semasa sidang Parlimen hanya 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambil kira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19," katanya kata dalam satu kenyataan.

"Terdapat enam kes (satu kes pertama dan lima kes pengesahan lanjut dengan RT PCR) dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi (CT value yang rendah) dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi superspreader," katanya.

Noor Hisham menambah bahawa warga emas di parlimen kemungkinan mempunyai faktor komorbiditi yang meningkatkan risiko jangkitan.

"Tidak semua individu yang hadir di Parlimen telah mendapat vaksinasi Covid-19 yang lengkap," katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, keadaan dewan yang tertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam.

Katanya lagi, kerumunan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan dengan penjarakan sosial yang terhad.

"Mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen, maka KKM telah mencadangkan agar semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua (2) minggu bermula dari 29 Julai 2021," katanya.

Tambahnya lagi, semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan menjalani pemeriksaan sekiranya bergejala.

Tiada ulasan: