Alex Woon
Keluarga seorang penerima vaksin hari ini menuntut kerajaan menjelaskan apakah punca kematian lelaki itu pada 1 Ogos lalu mempunyai kaitan dengan dos vaksin Covid-19 kedua yang diterimanya di Kuala Lumpur pada hari yang sama.
Dalam sidang media yang diadakan pagi ini, Tan Yee Tom, 58, datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di mana dia menerima vaksin dos kedua Pfizer sebelum tengah hari.
Menurut adik Yee Tom, Yee Ching, lelaki itu berada selama 30 minit di PPV itu seperti yang diarahkan supaya keadaannya boleh dipantau setelah divaksin. Segalanya berjalan dengan baik sehinggalah dia pulang ke rumah keluarganya di Kepong.
"Kira-kira jam 1 tengah hari, kami dapati dia terbaring tidak sedarkan diri di lantai bilik tidurnya dan segera panggil ambulans, dua kali.
"Tapi ambulans hanya sampai pada pukul 3.30 petang dan dia dibawa ke Hospital Selayang, ”katanya.
Yee Ching berkata doktor memberitahu mereka bahawa Yee Tom mengalami pendarahan otak dan hanya mempunyai peluang 28 peratus untuk hidup, dan mendakwa permintaan keluarga untuk mangsa dibedah dan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur ditolak.
Yee Tom disahkan meninggal dunia pada pukul 7.45 malam hari yang sama.
Yee Ching berkata mereka hanya mengetahui punca kematian apabila sijil kematian Yee Tom dikeluarkan pada keesokan harinya yang menyatakan mangsa emninggal dunia kerana ' Hypertensive Emergency' dengan pendarahan teruk intrakanial (bahagian dalam kepala).
"Kami ingin Kementerian Kesihatan memberi jawapan, jika vaksin ada kaitan dengan kematian abang saya," kata adik Tan.
Mereka juga mendakwa bedah siasat tidak dilakukan terhadap mayat walaupun setelah keluarga itu berulang kali memberitahu doktor di Hospital Selayang bahawa Yee Tom baru saja menerima vaksin pada hari yang sama.
Yee Ching berkata keluarganya bingung kerana tiada sesiapa memberitahu mereka untuk meminta bedah siasat diadakan dan tidak ada sesiapa dari pihak KKM membuat tindakan susulan berhubung kematian abangnya sehingga keluarga itu menguruskan pengebumian Yee Tom dua hari lalu.
"Kami tidak diberikan panduan, tidak ada bedah siasat, tidak ada respons," kata Yee Ching kepada wartawan.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam DAP Kuala Lumpur, Yew Jia Haur menggesa kerajaan lebih telus dalam kes-kes kematian yang disyaki berkaitan dengan vaksinasi Covid-19.
"Kami tidak menghalangi orang mendapatkan vaksin, tetapi saya fikir kerajaan harus lebih telus dalam menangani insiden seperti itu," tambahnya.
Yew berkata pejabatnya akan membantu pihak keluarga berkenaan untuk meminta pampasan daripada agensi kerajaan yang berkaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan