"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ismail Sabri dalam keadaan tersepit, kata pemerhati

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilihat berada dalam keadaan tersepit untuk mengumpulkan sokongan parti terhadap Perdana Menteri dan pada masa sama perlu memastikan parti tidak berpecah.

Namun, ia tidak membantu Timbalan Perdana Menteri itu apabila Umno sudah pun berpecah kepada kumpulan yang menyokong Muhyiddin Yassin dan juga yang menentangnya.

“Ismail tersepit di tengah-tengah. Ia adalah dilema yang dihadapi ramai pemimpin dalam Umno,” kata Ibrahim Suffian daripada Merdeka Center.

Bercakap kepada FMT, dia berkata Ismail perlu menangani dua isu teras dihadapi Umno iaitu pertikaian mengenai kedudukan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan isu lain iaitu pembahagian kerusi untuk pilihanraya umum ke-15 (PRU15).

Dia berkata, sebahagian ahli parti melihat Zahid sebagai pemimpin yang lemah dan boleh menjejaskan keyakinan parti untuk bertanding dalam pilihanraya nanti.

“Umno tidak boleh pulih sepenuhnya dalam pilihanraya akan datang selagi Zahid menerajui parti. Bagi kebanyakan orang, parti harus terus bergerak ke hadapan.

“Pada masa sama, Zahid adalah pemimpin parti dan beliau akan menggunakan kedudukannya untuk mempertahankan diri. Dia dibantu dengan hujah yang kuat bahawa Umno tidak boleh menyerahkan kerusi kepada Bersatu atau PAS.

“Mana-mana pemimpin yang tidak ada masalah untuk mengorbankan kerusi atau kedudukan Umno kepada Bersatu akan dilihat sebagai mengkhianati agenda dan kepercayaan parti.”

Ibrahim berkata ini adalah konflik antara mereka yang ingin bekerjasama dengan Muhyiddin atau sebaliknya.

Katanya, Ismail memberitahu terdapat sejumlah Ahli Parlimen bersama beliau dan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) namun kurangnya sokongan Umno mungkin menafikan perkara itu.

“Ismail berdepan risiko konflik dengan parti. Sokongan daripada Ahli Parlimen seperti didakwanya, dipertikaikan apabila partinya sendiri tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.”

Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata kemelut yang berlaku antara Umno dan Bersatu adalah disebabkan Umno begitu yakin dengan peluangnya dalam pilihanraya nanti.

Katanya, Umno yakin boleh menunjukkan prestasi lebih baik dalam pilihanraya tanpa kehadiran Bersatu dan PAS tetapi segelintir Ahli Parlimen yang menyokong perdana menteri, berbuat demikian untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan dalam pilihanraya akan datang.

Hanya tiga menteri Umno iaitu Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, dan Adham Baba belum memutuskan kumpulan mana yang disokong mereka.

“Ketiga-tiga mereka dilihat lebih banyak memberi fokus terhadap isu Covid-19, vaksinasi dan kesihatan,” kata Azizuddin.

“Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pilihan lain tetapi membuat pendirian. Ia tidak dapat dielakkan. Apa saja pendirian yang diambil, ia akan memusnahkan parti.”

Tiada ulasan: