"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes RM272.99 juta uCustoms: Siasat pegawai tinggi kerajaan, menteri

FAZLI RADZI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat pegawai dan menteri-menteri yang terlibat dalam kelulusan siri pembayaran RM272.99 juta untuk projek sistem uCustoms yang gagal disiapkan, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Wakil rakyat DAP itu menegaskan pegawai tinggi kerajaan dan menteri yang terbabit dalam kelulusan pembayaran kepada syarikat tersebut harus digantung sementara siasatan dilakukan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini merujuk kepada berita penangkapan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang dikaitkan dengan uCustoms berusia 56 tahun pada 1 Oktober lalu.

Lelaki berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi tujuan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mengulas lanjut, Lip Eng berpendapat projek sistem uCustoms, yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), baru-baru ini melibatkan lebih daripada sekadar seorang CEO.

Hal ini memandangkan, jelasnya, satu sindiket tidak akan dapat beroperasi tanpa bantuan pegawai tinggi kerajaan, bahkan menteri-menteri yang meluluskan siri bayaran sejak 2013.

“Mereka ini juga haruslah disiasat, dan jika mereka masih dalam perkhidmatan, mereka harus digantung sementara Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan SPRM menyiasat kes berkenaan,” tegasnya.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah antara yang akan dipanggil PAC bagi menjelaskan mengenai kegagalan menyiapkan sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta, sehingga kini.

Sebelum ini, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, memberitahu kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta bagi projek yang dimulakan pada Oktober 2013 dan diberi pelanjutan sehingga lima kali.

LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, baru-baru ini mendedahkan, sistem uCustoms oleh JKDM bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

Sebanyak RM272.99 juta dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek menurut laporan audit itu manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 dikenakan.

Lip Eng menyoal sekiranya pembayaran kepada syarikat itu dibuat secara telus dan bertanggungjawab.

“Ia perkara yang serius bagaimana satu jumlah sebesar RM272.99 juta boleh dibayar kepada pembekal dan pejabat pengurusan projek, apabila projeknya gagal disiapkan dalam 86 bulan dengan lima lanjutan masa yang diberikan.

“Ini bukan hanya menunjukkan ketikdakcekapan syarikat, tetapi juga agensi pemantau dan menteri-menteri yang memantau projek itu,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: