"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri maut ditetak anak sendiri

FMT Reporters

Kejadian di Kampung Kemahang, Benta, Lipis, Pahang menyebabkan Mohamad Maasai dan isterinya, Zailan Zainudin meninggal dunia di tempat kejadian. (Gambar IPD)

PETALING JAYA: Menyayat hati apabila sepasang suami isteri maut di tangan anak sendiri selepas dipercayai ditetak dengan parang, dalam kejadian di Benta, Lipis, malam tadi.

Kejadian kira-kira 11.55 malam di Kampung Kemahang itu menyebabkan pengawal keselamatan, Mohamad Maasai, 68, dan isterinya, yang juga pesara penyelia asrama, Zailan Zainudin, 64, meninggal dunia di tempat kejadian.

Tragedi itu dikatakan berlaku selepas suspek, yang juga seorang penganggur, berbual dengan mangsa mengenai ilmu agama dan ketuhanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Azli Mohd Noor, siasatan awal mendapati anak mangsa berusia 34 tahun itu berada di tempat kejadian ketika pembunuhan berlaku.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 11.55 malam di rumah keluarga terbabit, ketika suspek bersama ibu bapanya sedang berbual.

“Ketika wanita warga emas itu masuk ke dalam bilik, suspek terus berborak dengan bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Azli berkata, siasatan mendapati suspek dikatakan melihat mata bapanya menjadi hitam dan seolah-olah ingin menyerangnya sehingga menyebabkan dia mencapai sebilah parang dan bergelut sebelum menetak warga emas terbabit.

“Ibu suspek yang menyedari kejadian itu menghampiri suaminya dan cuba membantu tetapi diserang oleh suspek dengan menetak dan menikam leher dan kepala mangsa.

“Wanita itu berusaha menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah tetapi rebah berhampiran pagar kediaman itu,” katanya.

Azli berkata, ketika ditahan oleh penduduk, suspek berada dalam keadaan bogel serta berlumuran darah.

Katanya, seorang penduduk kampung yang meninjau rumah keluarga itu menemui mangsa (Mohammad) terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah dan telah meninggal dunia.

“Ibu suspek pula ditemui terbaring di atas rumput dan tidak bernyawa di luar rumah mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: